Diterbitkan pada 1 Disember 2025, 09:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Julung-julung kali dipersembahkan di pentas teater, gamelan menjadi muzik utama yang melatari lenggok gemalai Tari Tenun Berurai Emas, sebuah tralokal teater gamelan hasil karya dan arahan Syahidatul Munirah Badrul Munir.

Pentas teater dibuka dengan alun muzik dan tari gamelan telah berjaya memaku keasyikan penonton, yang turut terpukau dengan kelunakan suara watak Tengku Ampuan Mariam yang mendendangkan lagu Tari Tenun Berurai Emas diiringi gerak tari yang memanifestasikan gerak-geri menenun kain.

Dalam babak tersebut, dikisahkan bagaimana seni muzik gamelan dan tarian gamelan kemudiannya diperkenalkan sebagai Joget Pahang oleh Che Zubedah dan Tengku Ampuan Tun Besar Fatimah Tun Muhammad, semasa pemerintahan Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah.

Alur kisah teater juga diwarnai dengan babak Sultan Ahmad dan pahlawan Pahang menentang penjajah British yang berjaya menimbulkan rasa tegang dan geram dalam kalangan penonton.

Ditambah pula dengan lagak si pembelot melalui watak Seman dan Husin yang telah membunuh keluarga Datuk Bahaman kerana tidak berjaya menjejak Datuk Bahaman yang bersembunyi di hutan.

Namun begitu, naratif teater ini menggambarkan Datuk Bahaman bukan penderhaka Sultan dan rakyat Pahang tetapi seorang pahlawan yang sangat sayang pada sultan melalui ungkapan popularnya, “pintu istana jangan pecah, baju raja jangan carik”.

Rasa kasihnya Datuk Bahaman pada rakyat Pahang juga ditunjukkan dalam babak Husin yang tidak dibunuh oleh Datuk Bahaman walaupun mengetahui Husinlah pengkhianat Melayu yang membunuh ahli keluarganya.

Teater diakhiri dengan babak Tengku Ampuan Mariam memberi nasihat kepada anakandanya supaya menjaga seni warisan Melayu Pahang agar terus terpelihara, juga menjaga bumi Melayu agar tidak tergadai ke tangan penjajah.

Menariknya teater ini  kerana dilabuhkan tirainya dengan persembahan tarian gergas, diiringi muzik gamelan melalui repertoir mengisahkan burung gergasi yang apabila mengibaskan sayapnya, maka akan bergoyanglah pokok dan rumput.

Lagu gergas antara lagu gamelan Melayu yang telah hilang, namun rekod lagunya ditemui dalam rakaman temu bual Dr. Ghouse Nasuruddin dengan Mohamad Ismail, atau dipanggil Pak Mat, pemimpin Orkes Gamelan Diraja Terengganu pada tahun 1979.

Pak Mat yang telah bersenandung melodi lagu ini, kemudiannya ditranskripsi oleh Encik Muhammad Syaraff Alwi, lalu dipersembahkan dalam teater ini,” demikianlah paparan maklumatnya pada penonton.

Terdahulu, Tralokal Teater Gamelan Tari Tenun Berurai Emas mengangkat kebudayaan dan kesenian tempatan negeri Pahang seperti seni tenun Pahang, tari gamelan dan muzik gamelan Pahang, termasuklah dikir dengan rebana Pahang dan lagu rakyat.

Bukan sahaja menghidupkan budaya warisan negeri Pahang, teater ini turut menyingkap sejarah Pahang di bawah pemerintahan Sultan Ahmad bersama-sama pahlawan Pahang seperti Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat kilau dan Mat Kelubi menentang penjajah Inggeris, J.P Rodger dan Hugh Clifford.

Konflik yang diketengahkan oleh pengarah ialah eksploitasi British terhadap urai emas dan tindakan British yang membuat undang-undang tanpa melibatkan Sultan Ahmad.

Pementasan teater yang didukung oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang, Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Negeri Pahang, Persatuan Gamelan dan Kesenian Lela Indera Pahang, dan Persatuan Anjung Seni Nilakandi ini berlangsung pada 29 dan 30 November 2025 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Barisan pelakon teater terdiri daripada Dean Sitara sebagai Datuk Bahaman, Fizi Zulkifeli sebagai Sultan Ahmad, IraMa sebagai Tengku Ampuan Mariam, Dollah Gambus sebagai Imam Rasu (Tok Gajah), Norliza Yamin sebagai Wan Bainah, Najua P. Ramlee sebagai Wa Zaleha, Abrar Asyraf sebagai Mat Kilau, Suffian Khirham sebagai Tengku Mahmud, Aidil Rosli sebagai Seman, Rashid Shikh Abdullah sebagai Husin, Fattah Fawzy sebagai J.P Rodger, dan Kamarul Shayree sebagai Hugh Clifford.

“Teater ini harus dipentaskan semula di Pahang dan kita akan masukkan dalam kalendar sempena Tahun Melawat Pahang pada tahun hadapan,” demikian ujar Encik Kamaruddin Ibrahim, Pengurus Besar Tourism Pahang selaku tetamu kehormat.

Sebelum itu, Yang Dihormati Orang Kaya Indera Pahlawan Pahang, Dato’ Sri Haji Abdul Wan Wahid Wan Hassan pula hadir menonton teater selaku tetamu kehormat pada 29 November 2025.

Kredit Foto: Khairul Azhar Baharuddin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi