Oleh Karmila Azmi
30 Ogos 2024, 15:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Komitmen “Wanita Pertama” teater Malaysia, Dato’ Dr. Faridah Merican, 84, terhadap seni sudah bermula sejak era 1960-an, malah pembabitannya atas perkongsian minat dengan suami, Joe Hasham.

Justeru, ketika mengulas Anugerah Merdeka 2024 yang diterimanya semalam, beliau berkata selagi hidup, beliau ingin melihat lebih banyak persembahan teater diadakan.

Katanya, walaupun kini banyak aktiviti teater muncul, tetapi lebih tertumpu di Kuala Lumpur dan agak malang tidak berlaku di seluruh negara.

“Jadi, menjadi harapan saya agar aktiviti teater ini diadakan di seluruh negara,” katanya.

Faridah menerima anugerah itu daripada DYMM Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Penaung Diraja dan Pengerusi Merdeka Award Trust (MAT) berkenan menyampaikan anugerah berprestij itu pada Majlis Pengumuman dan Penyampaian Anugerah Merdeka 2024.

Faridah dipilih kerana komitmen yang tidak berbelah baginya dalam mencorakkan landskap seni persembahan negara dan memberi rakyat Malaysia akses serta pendedahan berharga kepada seni.

Pengasas bersama Actors Studio, Kuala Lumpur Performing Arts Centre, dan Performing Arts Centre of Penang itu berharap bahawa industri seni persembahan tempatan menjadi pusat yang dinamik dan inklusif bagi menyuburkan kreativiti dengan bimbingan kepada artis baharu, merayakan karya inovatif dan supaya masyarakat dapat bersatu melalui perkongsian pengalaman serta pengayaan budaya.

Foto: Merdeka Award

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.