Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam lipatan sejarah politik Malaysia, naratif mengenai “kehilangan negara” atau “hilang kuasa” bukanlah isu baharu. Hal tersebut telah menjadi satu kepastian yang berulang kali dibicarakan dan berfungsi sebagai imaginasi politik yang sentiasa menimbulkan rasa cemas dan ketidakpastian tentang masa depan Melayu. Wacana tersebut secara konsisten membingkaikan pihak “lain”—sama ada entiti luar, kaum lain, atau lawan politik sebagai musuh yang sentiasa mengintai peluang untuk merampas kedaulatan politik dan ekonomi.
Satu daripada manifestasi kontemporari yang paling ketara ialah teks tular di media sosial bertajuk “Resipi Melayu Hilang Negara”. Teks tersebut yang ditulis mendakwa bahawa kehancuran politik Melayu akan berlaku melalui dua jalan strategik: pertama, melalui perubahan demografi yang disebabkan oleh pembangunan semula bandar; dan kedua, melalui pakatan politik yang didorong ke arah penyatuan semula Malaysia–Singapura, yang kononnya akan membawa kepada dominasi politik Cina yang mutlak.
Pada pandangan penulis, teks tersebut mungkin menyerupai satu bentuk analisis politik yang sinis. Namun begitu, matlamat utamanya jauh lebih berakar dalam senario politik. Perkara tersebut jelas merupakan sebuah retorik paranoia yang efektif—usaha untuk memvisualisasikan konspirasi besar yang kompleks dan tersusun, direka oleh musuh yang tidak dinamakan secara jelas.
Retorik ini berjaya mengubah keresahan awam yang kabur menjadi ancaman yang konkrit dan boleh difahami.
Esei ini bertujuan untuk membaca teks “resipi” ini secara kritis dan seimbang. Kita tidak menolak sepenuhnya bahawa terdapat keresahan nyata yang dialami oleh masyarakat Melayu, terutamanya dalam menghadapi perubahan sosioekonomi yang pantas.
Walau bagaimanapun, tumpuan analisis adalah untuk meneliti bagaimana politik ketakutan ini diinstrumentasikan dan digunakan secara bergilir oleh hampir semua pihak dalam landskap politik Malaysia, sama ada yang berkuasa (pemerintah) mahupun yang mencari kuasa (pembangkang).
Dengan membongkar retorik tersebut, kita akan melihat bahawa isu sebenar yang perlu dihadapi oleh rakyat Malaysia—ketidakadilan kelas, kos sara hidup dan ketidaksamaan struktur, sering kali dikaburkan demi mengukuhkan sempadan etnik dan mengekalkan sokongan politik.
Kekuatan teks tersebut terletak pada kaedah penyampaiannya. Dengan menggunakan format senarai bernombor—seperti langkah-langkah dalam manual atau formula kimia—berjaya mewujudkan ilusi kepastian (the illusion of certainty). Strategi retorik ini sangat berkesan kerana menyusun perasaan takut yang tidak teratur ke dalam bentuk yang kemas dan logik menyebabkan pembaca merasakan bahawa ancaman tersebut sistemik, terancang dan boleh diramal, walaupun bukti empirikal yang menyokongnya mungkin rapuh atau mudah disangkal.
Fenomena ini selari dengan konsep ‘paranoid style in politics’ yang diperkenalkan oleh sejarawan Amerika, Richard Hofstadter. Hofstadter menjelaskan bahawa gaya politik ini dicirikan oleh keyakinan terhadap kewujudan konspirasi besar yang mengawal peristiwa sosial dan politik di sebalik tabir.
Dalam konteks resipi ini, pembangunan bandar dan hubungan dengan Singapura ditafsir bukan sebagai proses sosioekonomi yang kompleks atau interaksi geopolitik yang pragmatik, tetapi sebagai helah sistematik yang bertujuan menjatuhkan kedaulatan politik Melayu. Lalu, menukar isu pengurusan bandar dan perdagangan serantau menjadi pertempuran moral yang baik melawan kejahatan.
Namun begitu, seperti yang ditekankan sebelum ini, gaya paranoid ini bukanlah dimonopoli oleh satu kumpulan politik. Di Malaysia, gaya tersebut adalah alat yang bersifat dua hala. Bagi segmen politik yang berteraskan kaum Melayu, ketakutan yang dijual ialah kehilangan kedaulatan(sovereignty) dan hak istimewa (privilege).
Bagi segmen politik yang berteraskan bukan Melayu, ketakutan yang dijual ialah bahaya teokrasi, ekstremisme agama, atau ancaman ke atas kebebasan awam dan hak asasi. Dalam kedua-dua senario, yang menjadi komoditi utama ialah ketakutan yang membahagi, bukannya tawaran penyelesaian yang membina.
Retorik berfungsi untuk mengalihkan perhatian daripada kegagalan tadbir urus dan isu-isu sosioekonomi yang merentasi kaum.
Naratif pertama dalam “resipi” ini menuduh pembangunan semula bandar (urban redevelopment) sebagai strategi yang halus, bertujuan untuk mengubah demografi bandar dan seterusnya menyingkirkan penduduk asal Melayu dari pusat kekuasaan ekonomi.
Kes Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur sering diangkat sebagai simbol kemusnahan “benteng terakhir” (last fortress) Melayu di tengah kota.
Pada peringkat permukaan, masalah Kampung Sungai Baru melibatkan isu-isu teknikal seperti pewarisan tanah yang rumit, masalah spekulasi hartanah, dan kelemahan dasar pampasan perumahan. Dalam imaginasi politik resipi, masalah tersebut dibingkaikan semula sebagai usaha penghapusan identiti yang bersifat etnik.
Proses inilah yang dikaji oleh ahli teori budaya, Stuart Hall, sebagai ‘othering’—tindakan membina identiti diri dengan meletakkan identiti “lain” (the other) sebagai ancaman. Dalam bingkai, penduduk baharu, pelabur asing, atau pembangunan moden yang pesat diposisikan sebagai musuh kepada identiti Melayu yang tulen. Akibatnya, isu pembangunan tidak lagi dilihat sebagai masalah struktur kapitalisme bandar yang tidak terkawal, tetapi sebagai konspirasi kaum yang terancang.
Kita harus meneliti pandangan David Harvey, ahli geografi British, yang menyebut fenomena ini sebagai “accumulation by dispossession”. Hal ini merupakan cara kapitalisme global mengumpulkan keuntungan bukan hanya melalui pengeluaran, tetapi juga melalui perampasan ruang, aset dan sumber komuniti, yang dalam konteks moden disebut sebagai gentrifikasi.
Golongan Melayu yang terpinggir daripada pusat bandar bukanlah semata-mata kerana “muslihat parti lawan”, tetapi kerana gabungan dinamika pasaran hartanah yang agresif dan kepentingan politik elit yang membenarkan proses perampasan itu berlaku. Ironinya, seringkali elit politik Melayu sendiri terlibat dalam proses ini, dan mendapat manfaat daripada penswastaan tanah serta projek pembangunan semula.
Dengan kata lain, masalah sebenar pembangunan bandar adalah ketidaksamaan kelas dan kuasa kapitalis yang menindas golongan berpendapatan rendah, tanpa mengira etnik. Tetapi apabila dibingkaikan sebagai isu “Melayu hilang negara”, pandangan rakyat dialihkan daripada punca sebenar yang bersifat struktural (kapitalisme dan ketidakadilan sosio-ekonomi) kepada musuh etnik yang lebih mudah dibenci dan dijadikan sasaran emosi.
Ini membolehkan elit yang bertanggungjawab ke atas masalah kelas untuk menanggalkan tanggungjawab dan menyalahkan pihak ‘lain’.
Ketakutan adalah salah satu modal politik yang paling berkesan. Corey Robin, dalam kajiannya mengenai sejarah idea ketakutan dalam Fear: The History of a Political Idea, berhujah bahawa ketakutan berupaya menyatukan komuniti lebih kuat daripada janji atau harapan.
Logik ketakutan ini secara konsisten menguatkan kerangka ‘zero-sum’ (menang-kalah) dalam politik etnik: jika satu kaum meningkat, kaum yang satu lagi pasti akan jatuh. Padahal, masalah-masalah asas yang dihadapi oleh rakyat Malaysia—harga rumah yang tidak mampu milik, kos sara hidup yang meningkat, gaji yang tidak bergerak, dan peluang pekerjaan yang semakin kompetitif—adalah masalah yang merentasi etnik. Hal ini mampu menjejaskan komposisi kaum.
Namun begitu, politik yang berasaskan paranoid ini mempunyai fungsi penting untuk elit. Krisis dan ancaman yang berterusan ini bagaikan “manufactured crisis” bukan sahaja memenangi undi, tetapi juga menghalalkan kewujudan dan kesinambungan parti politik yang berasaskan kaum.
Kewujudan dasar-dasar yang dipertahankan atas nama perlindungan kaum, walaupun dasar tersebut seringkali hanya menguntungkan golongan elit dalam kaum tersebut dan gagal meningkatkan taraf hidup majoriti rakyat. Dalam erti kata lain, kemarahan terhadap ketidakadilan sosioekonomi dialihkan menjadi kemarahan terhadap kaum lain.
Akar Naratif dan Peranan Media Sosial
Daya tarikan naratif “resipi” ini berakar umbi dalam memori sejarah kolektif Melayu. Dari zaman penjajahan British, di mana kuasa politik tradisional dicabar, sehinggalah kepada trauma rusuhan 13 Mei 1969, politik Melayu sentiasa dibina di atas rasa cemas yang mendalam terhadap kemungkinan kehilangan kuasa muktamad. Setiap kali wacana mengenai pembangunan pesat atau hubungan serantau dibangkitkan, memori trauma ini diaktifkan semula dengan mudah.
Peranan media sosial pula menyediakan ruang yang subur dan sangat efisien untuk penyebaran naratif sebegini. Teks yang ringkas, penuh drama, sarat emosi, dan mudah dikongsi akan lebih cepat tular berbanding analisis ekonomi atau perlembagaan yang kompleks.
Media sosial, dengan algoritma bilik gema (echo chamber) yang mengutamakan kandungan yang paling emotif, memudahkan proses ‘misrecognition’ yang disebut oleh sosiologis Pierre Bourdieu, iaitu kegagalan masyarakat untuk mengenal pasti punca sebenar penderitaan mereka. Kemarahan yang wajar terhadap jurang kekayaan dan sistem yang tidak adil dengan mudah disalurkan kepada kaum lain atau pihak lawan, menghasilkan polarisasi yang semakin mendalam.
Implikasi Sebenar: Kos Peluang dan Kehilangan Masa Depan
Politik ketakutan yang menguasai wacana awam menimbulkan kesan sampingan yang sangat besar, dikenali sebagai kos peluang (opportunity cost).
Waktu dan tenaga kolektif negara dibazirkan untuk membahaskan ancaman hantu dan perdebatan etnik yang tidak produktif, sedangkan masalah sebenar yang menghambat kemajuan ekonomi dan sosial terus berlarutan.
Apa yang hilang bukanlah negara (kerana kedaulatan fizikal kekal), tetapi keupayaan kolektif kita untuk membayangkan dan membina politik yang lebih adil, pragmatik, dan inklusif. Retorik ini memastikan masyarakat sentiasa berada dalam mod pertahanan, menjadikannya lemah untuk berfikir tentang masa depan yang lebih terbuka dan berani.
Membebaskan Imaginasi Politik ke Arah Solidariti
“Resipi Melayu Hilang Negara” adalah cerminan yang terang mengenai bagaimana trauma sejarah, realiti pembangunan bandar, dan hubungan serantau diinstrumentasikan dan dibingkaikan semula sebagai ancaman eksistensial demi mengukuhkan sokongan politik dan mengekalkan struktur kuasa sedia ada.
Untuk mencapai kematangan politik, Malaysia perlu beralih daripada politik ketakutan kepada politik solidariti. Soalan kritikal yang perlu kita tanya dan jawab secara kolektif bukanlah: Bagaimana Melayu akan hilang negara? tetapi: Bagaimana rakyat Malaysia—tanpa mengira kaum—boleh membina sebuah negara yang lebih makmur, adil, berani, dan inklusif, di mana kejayaan satu kumpulan tidak perlu bermakna kegagalan kumpulan yang lain? Ini adalah resipi baharu yang perlu kita tulis bersama.