Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSetiap kali Thaipusam menjelma, beberapa kawasan berubah wajah. Jalan raya yang tampak biasa menjadi laluan suci, perjalanan kaki menjadi saksi doa dan lautan manusia bergerak perlahan dengan niat yang sama – pengabdian. Di celah kesibukan itu, ada warna yang akan mencuri perhatian. Warna kuning. Pernahkah kita bertanya, mengapa kuning? Mengapakah bukan warna lain yang lebih mencolok atau lebih suram?
Thaipusam bukan sekadar perayaan tahunan dalam kalendar penganut Hindu, khususnya masyarakat Tamil. Sambutan tersebut merupakan peristiwa spiritual yang menuntut ketabahan jasmani dan kekuatan rohani, memperingati kebesaran Dewa Murugan; simbol keberanian, kebijaksanaan dan kemenangan kebaikan terhadap kejahatan.
Dalam peristiwa inilah, warna kuning muncul bukan sebagai hiasan semata-mata, tetapi sebagai bahasa simbolik yang merentasi masa, generasi dan makna. Pada zaman dahulu, fabrik atau baju yang dipakai oleh penganut akan direndam atau dicelup dalam air yang dicampur dengan serbuk kunyit kerana dalam tradisi Hindu kunyit dianggap suci dan dikaitkan dengan kebersihan serta pemurnian sebelum upacara yang suci.

Menurut warisan ritual, warna kuning tersebut bukan sahaja melambangkan kesucian dan tenaga positif, tetapi kunyit juga dikatakan memiliki sifat antibakteria dan antiseptik semula jadi yang membantu membersihkan dan mengurangkan gangguan mikroorganisma pada kulit atau bahan pakaian sebelum pelaksanaan upacara keagamaan.
Penggunaan air kunyit dipercayai turut memberi kesan menenangkan serta membantu mencipta suasana yang bersih, harmoni dan penuh keberkatan menjelang Thaipusam.
Mengikut teori warna, kuning diklasifikasikan sebagai warna yang memiliki frekuensi cahaya yang tinggi, secara saintifik dikaitkan dengan simulasi kognitif dan kejelasan intelektual. Apabila diteliti melalui lensa sosiobudaya dan rohani, warna tersebut melampaui sekadar persepsi visual.
Warna ini menjadi manifestasi kepada kebijaksanaan dan tahap kesedaran rohani yang murni. Dalam konteks tradisi masyarakat Tamil seperti Thaipusam dan Ponggal, dominasi warna kuning; sama ada pada pakaian penganut mahupun melalui penggunaan elemen semula jadi bunga ataupun serbuk kunyit yang melambangkan kemakmuran berfungsi sebagai simbol penyucian diri dan transformasi jiwa.
Penggunaan warna tersebut yang konsisten dalam ritual ini sebenarnya bertindak sebagai jambatan psikologi yang menghubungkan penganut dengan nilai estetika ketuhanan yang lebih mendalam. Perarakan pedati (Chariot Procession) yang dibanjiri penganut yang berpakaian serba kuning menandakan bermulanya sambutan Thaipusam.
Bayangkan suasana hening malam yang dipecahkan oleh paluan gendang dan tiupan nadeswaram, sementara pedati yang membawa arca Dewa Murugan dihiasi gemerlapan lampu serta bunga-bungaan segar mula berarak perlahan melalui jalan-jalan utama. Bagi penganut, setiap langkah pergerakan tersebut ialah simbolik kehadiran Tuhan yang turun menyantuni rakyat.

Pernahkah anda melihat sendiri bagaimana ribuan buah kelapa dipecahkan di hadapan pedati? Tindakan memecahkan kelapa tersebut sebenarnya melambangkan penghancuran ego manusia untuk mencapai kesucian jiwa sebelum memohon restu daripada Tuhan.
Perarakan pedati secara besar-besaran boleh disaksikan di berapa lokasi di Malaysia, iaitu dari Kuil Sri Maha Mariamman, Kuala Lumpur ke Kuil Sri Subramaniar Swami, Batu Caves, dari Kuil Nagarathar Kovil Veedu, Lebuh Penang ke Kuil Nattukottai Chettiar, Penang, dari Kuil Arulmigu Maha Mariamman, Queen Street ke Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthabani, George Town, dari Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Sungai pari ke Kuil Kallumalai Sri Subramaniar, Ipoh dan sekitar Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam, Kedah.
Warna yang Tidak Pernah Diam
Warna sering berbicara tanpa suara. Dalam tradisi Hindu, warna kuning melambangkan kesucian, pencerahan dan pengetahuan. Warna tersebut dikaitkan dengan cahaya matahari, sumber kehidupan serta unsur intelektual dan spiritual yang menyinari perjalanan manusia. Warna ini juga rapat dengan bahan semula jadi seperti kunyit, yang sejak berkurun lamanya digunakan dalam ritual penyucian dan perubatan tradisional.
Warna kuning dalam Thaipusam bukan sekadar “warna pilihan”, sebaliknya satu simbol kolektif yang dipersetujui oleh tradisi. Warnanya menenangkan, namun dalam masa yang sama membangkitkan kekuatan dalaman. Warnanya tidak menjerit seperti merah, tidak tenggelam seperti hitam, tetapi hadir dengan ketegasan yang bersahaja. Warna ini bak menyelimuti seseorang penganut itu dengan kesucian dan kerohanian yang mendekatkan lagi dirinya ke arah Tuhan.
Thaipusam sebagai Pengalaman Visual dan Rohani
Thaipusam sering dikaitkan dengan kesakitan fizikal (pain endurance) seperti kavadi yang berat dan cucukan pada tubuh. Namun begitu, jika kita berhenti seketika dan memerhati sekeliling, perayaan ini juga sarat dengan keindahan visual yang terancang. Warna kuning menjadi benang halus yang menyatukan pengalaman tersebut.
Bermula di pintu utama kuil, kita boleh lihat penganut yang berpakaian serba kuning, menggunakan bunga yang berwarna kuning malah periuk susu dan kavadi juga diikat dengan kain berwarna kuning.
Setiap elemen membawa maksud kepercayaan, harapan dan doa. Menariknya, warna kuning juga berfungsi sebagai penenang dalam psikologi. Dalam lautan manusia yang sesak, warna kuning mencipta suasana yang lebih damai, seolah-olah mengingatkan bahawa di sebalik kesakitan dan pengorbanan, terdapat cahaya yang menunggu di penghujung perjalanan.
Dialog Senyap antara Generasi
Generasi terdahulu sering mengungkap bait-bait; “Beginilah cara kami melakukannya sejak dahulu.” Jika ditanya kepada generasi muda pula, jawapannya mungkin, “Ini identiti kami.” Di sinilah menariknya kesinambungan warna kuning, kewujudannya tidak memerlukan penjelasan panjang untuk terus diamalkan.
Kesinambungan tersebut menjadi bentuk pendidikan budaya tidak formal. Masyarakat bukan Hindu mengenali Thaipusam melalui visualnya—kavadi yang menjulang, bunga yang berwarna cerah dan dominasi warna kuning yang menenangkan. Tanpa sedar, warna tersebut menjadi simbol pengenalan budaya yang merentas batas agama dan etnik.
Tradisi dan Dunia Moden
Adakah warna kuning kehilangan maknanya dalam era moden? Jawapannya, tidak. Sebaliknya, warna ini berevolusi. Hari ini, imej Thaipusam tersebar luas melalui media sosial, fotografi dan dokumentari. Warna kuning sering menjadi fokus lensa, kontrasnya dengan langit biru, jalan tar hitam, dan wajah-wajah penuh emosi menjadikannya simbol visual yang kuat.
Pereka grafik, pencipta kandungan dan aktivis budaya mula menggunakan warna kuning sebagai elemen utama dalam poster, video dan kempen kesedaran berkaitan Thaipusam. Ini menunjukkan bahawa kesinambungan tidak bermakna kaku, malah boleh lentur, menyesuaikan diri dengan zaman, tanpa kehilangan roh asalnya.
Makna yang Terus Menyala
Akhirnya, warna kuning dalam Thaipusam mengajar kita satu perkara penting, kesinambungan budaya tidak selalu bergantung pada kata-kata atau teks sejarah. Kadangkala, rona tersebut hidup melalui keselesaan, ritual dan pengalaman kolektif yang diulang dengan penuh kesedaran.

Warna kuning dan Thaipusam bukan sekadar gabungan visual dan perayaan, sebaliknya hubungan antara cahaya dengan pengabdian, masa lalu dengan masa kini, individu dengan komuniti. Selagi perayaan ini diraikan, selagi itulah warna kuning akan terus menyala, menjadi saksi kepada kesinambungan tradisi dan kekuatan spiritual yang tidak pernah pudar.