4 Februari 2023, 08:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Thaipusam merupakan hari perayaan yang disambut oleh penganut yang beragama Hindu di seluruh dunia bagi menghormati dewa Hindu, iaitu Dewa Murugan atau juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam. Tujuan utama sambutan hari Thaipusam adalah untuk menunaikan nazar dan menebus dosa atau memohon keampunan kerana dosa-dosa yang telah dilakukan.

Pedati emas Kuil Arulmigu Balathandayuthabani, Pulau Pinang.
Penganut agama Hindu melawat pedati perak Kuil Arulmigu Balathandayuthabani, Pulau Pinang bersempena sambutan perayaan Thaipusam.

Bulan Thai yang juga dikenali sebagai Pausa merupakan bulan ke-10 dalam kalendar Hindu dan kalendar kebangsaan India serta sepadan dengan bulan Disember atau Januari dalam kalendar Gregorian. Manakala harinya pula bertepatan dengan bintang Pusa, iaitu bintang kelapan antara 27 bintang dalam zodiak astronomi dan astrologi India serta serupa dengan buruj γ, δ, dan θ dalam buruj Kanser astronomi Barat dengan terbitnya bulan purnama, maka akan berlangsung sambutan hari Thaipusam.

Hari yang istimewa ini dianggap sebagai hari yang paling optimum untuk Dewa Murugan. Ramai penganut Dewa Murugan berpuasa pada hari Thaipusam untuk menunaikan nazar sebagai tanda kesyukuran kerana hajat yang diimpikan telah dimakbulkan dengan membawa dan mengusung kavadi, menjunjung belanga yang mengandungi susu (paal kudam), melaksanakan adat menindik (alagu kuthuthal), mencukur kepala dan menyembah Dewa Murugan dengan mempersembahkan buah-buahan, kuntuman bunga, setanggi, kemenyan dan lain-lain lagi berdasarkan nazar seseorang itu.

Terdapat juga pasangan penganut Hindu yang menunaikan nazar dengan membawa bayi menggunakan anduh yang diikatkan pada beberapa batang tebu sebagai tanda berterima kasih kerana dikurniakan cahaya mata setelah sekian lama menanti untuk mempunyai zuriat sendiri.

Kavadi

Kavadi merupakan satu daripada persembahan yang dibuat kepada Dewa Murugan oleh penganut agama Hindu yang soleh. Kavadi dalam bahasa Tamil bermaksud memikul berat di bahu. Pada asasnya, kavadi merupakan struktur berbentuk busur yang dihiasi dengan bulu merak, karya kaca, dan banyak lagi barang hiasan. Berat sesetengah kavadi boleh mencecah sehingga 35 kilogram.

Perlambangan membawa kavadi berasal daripada mitos kavadi yang mewakili gunung dan Dewa Murugan di puncaknya. Persembahan ini memerlukan banyak kuasa kehendak dan pengabdian. Antara perlambangan lain ialah kavadi dianggap sebagai persembahan yang paling bertuah dan teliti yang dipersembahkan kepada Dewa Murugan.

Dalam agama Hindu, terdapat pelbagai jenis kavadi merangkumi Pookavadi (berasaskan bunga), Vel Kavadi (berasaskan vel, iaitu lembing ketuhanan yang dikaitkan dengan Dewa Murugan selaku dewa perang Hindu), Mayil Kavadi (berasaskan bulu merak), Pazha Kavadi (berasaskan buah-buahan) dan banyak lagi. Hanya penganut Hindu lelaki sahaja yang akan mengambil dan membawa kavadi kerana hal tersebut memerlukan kekuatan fizikal yang tinggi untuk melaksanakannya.

 Paal Kudam

Paal Kudam yang bermaksud penawaran susu merupakan satu lagi bentuk persembahan yang popular semasa perayaan Thaipusam. Paal bermaksud susu, manakala kudam pula bermaksud bejana dalam bentuk periuk yang kebiasaannya dijunjung di atas kepala untuk dipersembahkan kepada Dewa Murugan.

Susu tersebut kemudiannya akan digunakan oleh sami Hindu untuk melakukan upacara Paal Abhishegam, iaitu upacara agama Hindu yang mencurahkan bahan suci pada berhala Tuhan sambil mendendangkan mantra. Abhishegam merupakan perkataan daripada bahasa Sanskrit yang bermaksud memandikan atau membasahkan.

Upacara paal kudam atau menjunjung belanga yang mengandungi susu bersempena sambutan Thaipusam.

Alagu Kuthuthal

Alagu kuthuthal (Adat Menindik) merupakan sejenis nazar yang ditunaikan oleh penganut agama Hindu pada hari Thaipusam. Nazar ini ditunaikan dengan menindik mulut, lidah atau bahagian belakang badan menggunakan jarum logam atau cangkuk yang tajam. Upacara ini dilakukan selepas melakukan Pooja untuk Dewa Murugan agar nazar penganut itu diberkati dan kemudiannya, jarum tersebut ditusuk ke dalam mulut penganut agama Hindu melalui satu pipi ke pipi yang lain.

Penganut Hindu tidak akan berasa sakit disebabkan berkat daripada Tuhan serta bakti dan kesetiaan mereka melakukannya. Saiz jarum yang dicucuk pada mulut dan lidah serta bilangan cangkuk yang dicucuk pada bahagian belakang badan bergantung pada nazar seseorang itu kepada Tuhan.

Perayaan Thaipusam mempunyai sejarah yang menakjubkan di sebalik menjadi hari istimewa untuk Dewa Murugan. Menurut kepercayaan penganut agama Hindu, pada suatu masa dahulu, Dewa Shiva yang merupakan dewa tertinggi dalam mazhab Saivisme mengurniakan anugerah kepada tiga Asura, iaitu Soorapadman, Tarakasura dan Singamukhan.

Persembahan Pookavadi kepada Dewa Murugan bersempena perayaan Thaipusam.

Anugerah kurniaan Dewa Shiva itu menyebabkan ketiga-tiga Asura tersebut menjadi gagah dan unggul serta mempunyai kuasa kesaktian yang hebat. Kemudian, ketiga-tiga Asura tersebut telah memenjarakan para dewa dan dewi sehingga menyebabkan mereka hidup dalam ketakutan. Para dewa dan dewi melaporkan tentang situasi dan kesusahan yang dialami mereka kepada Dewa Shiva dan memintanya untuk melindungi mereka daripada kumpulan Asura itu.

Dewa Shiva yang prihatin mendengar keluhan penderitaan para dewa dewi telah mencipta enam biji api daripada dahinya untuk memusnahkan kumpulan Asura tersebut. Kemudian enam api itu bertukar menjadi enam kanak-kanak kesemua enam kanak-kanak itu dibesarkan oleh wanita-wanita Karthigai (para isteri kepada enam daripada tujuh Saptarishi). Mereka melatih kesemua enam kanak-kanak itu supaya mahir dalam seni mempertahankan diri.

Pada suatu hari, Dewi Parvati muncul dan memeluk kesemua anaknya itu dan menyebabkan enam kanak-kanak tersebut bergabung menjadi satu. Dewa Murugan yang menjelma daripada gabungan kekuatan, tenaga dan ilmu enam kanak-kanak tersebut menjadi cemerlang dalam pelbagai bidang seni.

Persembahan Mayil Kavadi kepada Dewa Murugan bersempena perayaan Thaipusam.

Dewi Parvati memberikan Gnanavel, iaitu sejenis senjata untuk menghapuskan ketiga-tiga Asura kepada Dewa Murugan yang berada dalam Aandikolam di Palani apabila dosa-dosa Asura telah penuh dan melimpah. Aandikolam merujuk kepada jelmaan Tuhan yang menggambarkan bahawa manusia yang hidup di dalam dunia khayalan harus melepaskan perasaan keangkuhan dan kemegahan diri di samping keperluan hidup untuk tidak terikat dengan sebarang kepalsuan duniawi.

Selain itu, Aandikolam juga merujuk kepada falsafah walau seberapa banyak kekayaan yang manusia peroleh, pada pengakhiran hidup dan ajal kematian tetap akan sampai kepada Tuhan dalam keadaan yang sama seperti dilahirkan. Dewa Murugan memusnahkan ketiga-tiga Asura yang kejam itu menggunakan Gnanavel di Thiruchendur. Justeru, hari pemberian Gnanavel oleh Dewi Parvati kepada Dewa Murugan disambut sebagai hari Thaipusam.

Thaipusam disambut dan diraikan di semua kuil Dewa Murugan termasuklah Aarupadai Veedu, iaitu tempat-tempat Dewa Murugan tinggal untuk berperang dengan para Asura meliputi Thiruparangunram, Thiruchendur, Palani, Swamimalai, Thiruthani, Solaimalai dan semua kuil Dewa Shiva. Thaipusam disambut dengan meriah bukan sahaja di Tamil Nadu, bahkan di setiap pelosok dunia seperti Malaysia dan Singapura oleh masyarakat India yang berbilang etnik.

Persembahan Vel Kavadi kepada Dewa Murugan bersempena perayaan Thaipusam.

Di Malaysia, terdapat lima lokasi terkenal untuk sambutan Thaipusam. Lokasi paling popular dalam kalangan masyarakat Malaysia ialah Kuil Arulmigu Balathandayuthabani, George Town, Pulau Pinang dan Kuil Sri Subramaniyar Swami, Batu Caves, Selangor. Para penganut agama Hindu turut membanjiri Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh, Ipoh, Kuil Sivasagar, Kuching dan Kuil Sri Muniswarar, Tampoi, Johor bersempena sambutan hari Thaipusam.

Tidak ketinggalan upacara paling penting pada hari Thaipusam, iaitu berhala Dewa Murugan yang diusung di atas pedati perak dan emas serta diiringi dengan muzik tradisi dari rumah ibunya (kuil Dewi Parvati) hingga ke tempat kediamannya (kuil Dewa Murugan). Penganut Hindu yang menunaikan nazar harus berpakaian warna kuning supaya hasrat mereka tercapai dan diberkati.

Secara keseluruhannya, Thaipusam bukan sahaja merupakan perayaan tradisi tahunan, malah dizahirkan sebagai sebahagian daripada keunikan budaya majmuk di Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.