Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOleh: Dionalyn Gumacial
Tahun 2026 menandakan kemunculan Tahun Kuda dalam kalendar zodiak masyarakat Cina (17 Februari 2026 hingga 5 Februari 2027). Tahun ini juga merupakan tahun Kuda Api dalam kitaran 12 tahun zodiak masyarakat Cina. Bagi mereka yang dilahirkan dalam Tahun Kuda: 1918, 1930, 1942, 1954, 1966, 1978, 1990, 2002, 2014, dan akan datang 2038, tahun ini membawa seribu satu makna istimewa dan ramalan yang unik untuk mereka.
Apakah Tahun Kuda?
Dalam budaya masyarakat Cina tradisional, kuda dianggap sebagai haiwan yang paling penting. Kedudukan istimewa ini bukan diberikan tanpa sebarang alasan.
Pada zaman dahulu, kuda merupakan alat pengangkutan yang paling kerap digunakan oleh masyarakat . Kuda dianggap sebagai haiwan yang kuat, berkuasa dan anggun, sekali gus menjadi simbol kegagahan.
Unsur bagi kuda pada tahun ini adalah api, yakni melambangkan semangat dan tenaga. Perlambangan ini menandakan mereka yang dilahirkan pada tahun kuda mempunyai sifat yang bertenaga dan penuh semangat.
Walau bagaimanapun, adalah penting untuk diingat bahawa zodiak masyarakat Cina dikira berdasarkan kalendar lunar Cina. Oleh itu, seseorang tidak hanya bergantung kepada tahun kelahiran sahaja untuk menentukan zodiak mereka. Hari lahir mereka mungkin jatuh pada tarikh yang berbeza dengan kalendar lunar, malah mungkin berada dalam tahun yang berlainan. Sebagai contoh, seseorang yang lahir pada awal Januari mungkin sebenarnya tergolong dalam zodiak tahun sebelumnya mengikut kalendar lunar.
Bagaimanakah Kuda Menjadi Tanda Zodiak Cina?
Terdapat kisah yang menarik mengenai bagaimanakah kuda terpilih sebagai satu daripada haiwan dalam zodiak masyarakat Cina. Pada zaman dahulu, kuda mempunyai sayap yang menarik, sangat berkuasa, mampu berlari di darat, berenang di dalam air, dan terbang di langit. Kemudian, kuda tersebut digelar sebagai “kuda syurgawi” dan menjadi kenderaan Maharaja Giok, Dewa Syurga di Istana Syurgawi.
Namun kerana terlalu dimanjakan secara berlebihan oleh Maharaja Giok, kuda tersebut berubah menjadi sombong dan berkelakuan mengikut sesuka hatinya. Pada suatu hari, kuda melarikan diri dari Istana Syurgawi dan menyerbu masuk ke Istana Naga.
Usahanya tersebut terhalang oleh seekor penyu yang menjaga Istana Naga. Akibat merasa terhina dan marah kerana dihalang memasuki Istana Naga, kuda tersebut menendang penyu hingga mati.
Apabila kejadian ini dilaporkan ke Istana Syurgawi, Maharaja Giok memerintahkan agar sayap kuda tersebut dibuang dan dipenjarakan di bawah Gunung Kunlun selama 300 tahun sebagai hukuman. 200 tahun kemudian, ketika nenek moyang manusia melewati Gunung Kunlun, kuda tersebut merayu untuk menyelamatkannya, dan sebagai balasan jika sanggup menyelamatkannya, dia bersetuju untuk berkhidmat seumur hidup kepada nenek moyang manusia.
Akibat tersentuh dengan rayuan kuda tersebut, nenek moyang manusia mengambil keputusan untuk menyelamatkan kuda tersebut. Setelah diselamatkan, kuda tersebut menemani nenek moyang manusia ke dunia manusia dan mengabdikan hidupnya untuk berkhidmat kepada beliau dan keturunannya.
Dalam kehidupan seharian, kuda membantu membajak sawah, menarik kereta pedati, selain membantu mengangkat beban berat. Semasa dalam peperangan, kuda tersebut bersedia untuk perang, berkongsi saat-saat hidup dan mati dengan tuannya.
Ketika Maharaja Giok sedang memilih dua belas haiwan zodiak, kuda menjadi haiwan yang dicadangkan oleh manusia. Mempertimbangkan jasa dan sumbangannya kepada manusia, Maharaja Giok berkenan dan memasukkan kuda ke dalam zodiak.
Tuah Tahun Kuda
Individu yang dilahirkan pada Tahun Kuda mempunyai simbol dan elemen yang membawa tuah kepada mereka:
Perkara yang Berkaitan dengan Tuah:
Perkara yang Perlu Dielakkan:
Mengetahui dan menggunakan elemen bertuah dalam kehidupan seharian boleh membantu mereka meningkatkan nasib dan mengelakkan halangan yang tidak perlu.
Berbanding dengan zodiak lain, individu yang lahir dalam tahun kuda kelihatan lebih bertenaga, berani dan bersemangat menjalani kehidupan sendiri serta orang lain. Mereka mempunyai daya pemikiran yang tajam dan seorang yang prihatin.
Lelaki yang Lahir pada Tahun Kuda:
Berperwatakan bertenaga dan sentiasa meninggalkan kesan kepada orang lain. Malah, mereka mempunyai pendirian yang tegas dan jarang untuk teragak-agak, membuatkan mereka mendapat banyak peluang dalam kehidupan mereka.
Selain itu, mereka yang dilahirkan pada tahun ini tidak boleh bertolak ansur dengan perbuatan yang tidak menepati lunas undang-undang yang sepatutnya.
Wanita yang Lahir pada Tahun Kuda:
Wanita mempunyai personaliti, bentuk badan yang menarik, bergaya dan mengikut perkembangan fesyen yang terkini. Mereka mempunyai gaya hidup tersendiri dan pakar dalam menguruskan kehidupan. Hasilnya, mereka dapat mengimbangi kerjaya dan keluarga dengan baik.
Pekerjaan dan Kerjaya yang Sesuai untuk Individu Berzodiak Kuda
Pengembara, penulis, arkitek, ahli perniagaan, penghibur, usahawan, saintis, ahli politik, pengkritik, pemandu pelancong
Mereka yang dilahirkan pada tahun ini turut aktif dalam meneroka dunia. Maka dengan itu, menjadi pengembara dan pemandu pelancong adalah pekerjaan yang sesuai untuk mereka. Selain daripada itu, mereka boleh berjaya dalam pekerjaan seperti penulis, ahli perniagaan, dan artis, di mana mereka boleh mempamerkan bakat mereka tanpa sebarang sekatan.
Sifat tegas dan tidak teragak-agak membantu mereka mendapat banyak peluang. Bermodalkan rasa keadilan yang kuat, mereka cemerlang dalam bidang yang memerlukan kepimpinan dan keberanian untuk membuat keputusan. Walau bagaimanapun, kecenderungan untuk berbelanja secara boros perlu dikawal, terutamanya dalam urusan yang melibatkan perniagaan.
Nasihat Berkaitan Kesihatan dan Kecergasan
Secara keseluruhan, kebanyakan mereka yang dilahirkan pada zodiak kuda berada dalam keadaan kesihatan yang baik. Mereka bertenaga, lincah dan dinamik ketika muda. Walau bagaimanapun, jika tidak dijaga dengan baik mampu mengundang bahaya.
Sebagai contoh, tabiat gemar tidur lewat boleh melemahkan sistem imun badan dan diet yang tidak teratur juga boleh menyebabkan penyakit gastrik.
Sistem imun yang lemah akibat tidur lewat dan penyakit gastrik akibat pemakanan tidak teratur menjadi masalah kesihatan utama yang perlu diberi perhatian. Pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan. Oleh itu, menjaga gaya hidup sihat dari awal lagi adalah kunci kepada kesejahteraan jangka panjang.
Tokoh Terkenal: Personaliti yang Mempunyai Zodiak Kuda
Ramai personaliti terkenal dan berjaya dilahirkan dalam Tahun Kuda, membuktikan bahawa sifat-sifat positif zodiak ini boleh membawa kepada pencapaian yang luar biasa:
Tokoh-tokoh ini mewakili dalam pelbagai bidang; muzik, sukan, politik dan aktivisme alam sekitar, menunjukkan kepelbagaian bakat dan keupayaan yang dimiliki oleh golongan yang dilahirkan pada tahun Kuda.
Kejayaan mereka mencerminkan sifat-sifat dalam tahun kuda, iaitu berani, bertenaga dan keazaman untuk mencapai matlamat.
Walaupun tahun 2026 mungkin membawa cabaran yang pelbagai, dengan kesedaran, persediaan, dan sikap positif, mereka yang dilahirkan pada tahun kuda boleh mengharunginya dengan jayanya. Seperti kuda dalam legenda yang bangkit semula setelah dihukum dan menjadi rakan setia kepada manusia, semangat pantang menyerah dan kesetiaan adalah antara sifat terbaik yang dimiliki oleh mereka yang dilahirkan dalam Tahun Kuda.