Diterbitkan pada 30 April 2026, 17:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melihat cuplikan penuh humor Libang Libu yang bertebaran di media sosial, sudah tentulah penulis sebagai seorang insan yang lemah dan mudah terpengaruh, tidak segan-segan membeli tiket untuk ke panggung. Beberapa jam sebelum waktu tayangan, tangan penulis “gatal” hendak membelek komen warga maya yang sudah pun menonton filem ini. ‘Semoga tidak terbaca bocoran (spoiler),’ bisik hati penulis sambil tersenyum penuh keterujaan.

Namun begitu, senyuman penulis memudar sedikit dan hati menjadi berdebar-debar apabila membaca pendapat yang bertentangan antara satu dengan lain. Ada yang begitu positif sekali dan ada yang begitu negatif. Tiada yang tengah-tengah. Ekstrem! Perlahan-lahan penulis mengosongkan fikiran, membuang antisipasi yang terlalu tinggi, melapangkan dada dan bersedia menyerap apa-apa juga yang ingin disajikan oleh Bobby Husain.

Selepas hampir dua jam bergelap menekuni wayang bergambar yang memilih Kampung Lambor Kanan di Perak Darul Ridzuan sebagai latar utama, ternyata filem ini wajar diperkatakan.

Walau bagaimanapun, penulisan ini bukanlah sebuah ulasan filem. Penulis tidak berhasrat untuk menyentuh tentang plot, hal teknikal mahupun sinematografi. Penulis menyerahkan perkara tersebut kepada pihak yang lebih mahir. Penulisan ini hanyalah daripada pemerhatian penulis yang semata-mata bergantung pada perasaan dan jiwa sebagai seorang penonton yang naif.

Menurut Kamus Dewan Perdana, libang-libu merupakan dialek Perak dan berkelas kata adjektif. Libang-libu sebetulnya dieja dengan sempang dan membawa maksud yang berikut:

Perkataan libang-libu dalam Kamus Dewan Perdana, 2020 ditandai dengan label Pr yang bermaksud dialek Perak.

 

Libang-libu dalam Kamus Dewan Perdana, 2020 ditandai dengan label Pr yang bermaksud dialek Perak.

Pada fikiran penulis, Bobby selaku pengarah mempunyai sebuah cita-cita yang tinggi, lebih-lebih lagi untuk menghasilkan naskhah filem sulungnya ini. Cita-cita yang tinggi ini adakalanya menjadikan seseorang itu tamak. Ya, pada pendapat penulis, Bobby seorang yang tamak.

Lihat sahaja pada barisan pelakonnya; Beto Kusyairi, Amerul Affendi, Syazwan Zulkifil, Datuk Yusuf Haslam, Sabri Yunus, Zahiril Adzim, Azhan Rani – sekadar menanamakan beberapa pelakon. Tidak kurang juga, barisan pelakon wanita seperti Nabila Huda, Ozlynn, Sara Ali dan Khatijah Tan (kameo). Bagi penulis, hal ini umpama hadiah yang “mahal” yang disua oleh Bobby untuk kita. Manakan tidak, kesemua pelakon ini telah mempunyai prestasi yang mapan. Sama ada gabungan ini berjaya ataupun tidak, hal tersebut boleh disuguhkan dalam ruangan yang lain.

Penulis berasa hairan apabila ada yang mempertikaikan pengajaran yang boleh diperoleh daripada karya ini kerana bagi penulis, mesejnya jelas, seperti menyuluh lampu alur tinggi (high beam) kereta kepada mata anda.

“Ketamakan” Bobby jelas meraja dan terlihat melalui setiap inci syot, dialog yang dilontarkan dan gerak tubuh pelakon yang berpengalaman. Kritikan sosial, terutamanya tentang ragam masyarakat Melayu dipaparkan tanpa berselindung. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh sesetengah orang yang mengatakan bahawa ada babak yang terlalu berlebihan. Akan tetapi, adakah hal ini disengajakan oleh Bobby?

Lemparan demi lemparan sindiran yang diberikan, maka izinkan penulis untuk mengutip lima sindiran terbesar tentang masyarakat Melayu daripada filem ini, yang pada hemat penulis, begitu asli dan autentik dalam kehidupan seharian kita.

  1. “Aku lebih mulia daripada orang lain”

Frasa “holier than thou” dalam bahasa Inggeris merujuk sikap seseorang yang mengaku lebih mulia daripada orang lain. Maka itu, sikap seperti ini  sebenarnya tidaklah hanya wujud dalam masyarakat kita, malah wujud dalam diri sesiapa sahaja. Walau bagaimanapun, dalam konteks masyarakat Melayu, sikap ini menjadi sedikit khusus kerana berkaitan rapat dengan jati diri masyarakat Melayu yang pada asasnya beragama Islam. Perasaan “lebih mulia” atau “lebih suci” timbul apabila seseorang itu cenderung hendak melabelkan perbuatan orang lain atas nama dosa dan pahala.

Watak Samad (lakonan Anas Ridzuan) mencerminkan sikap ini dengan begitu baik. Samad mengkritik keras apabila kru produksi filem datang ke kampung untuk menjalankan penggambaran. “Maksiat semua ini, tok!” adu Samad kepada imam masjid (lakonan Datuk Yusuf Haslam).

Ada juga babak lain, iaitu Samad dengan sengaja cuba memburukkan-burukkan agama lain. “Pengarahnya Cina! Tengok tu! Habis kampung kita!” Lebih kurang begini kata Samad sambil menunjuk ke arah beberapa kru berbangsa Cina yang sedang menjalankan ritual agama sebelum memulakan penggambaran. Namun begitu, perkara ini dibidas oleh imam, “Untukmu, agamamu. Dan untukku, agamaku.” (Surah al-Kafirun ayat 6).

Ironi sekali kerana pengarah Cina tersebut, Silver Pang (lakonan Alvin Wong) sedang mengusahakan sebuah filem yang berunsur patriotisme. Filem Libang Libu ini dimulakan dengan babak yang memperlihatkan Silver sedang mengarah filem pendekar ala Mat Kilau. Malahan, filem yang bakal diarahkan di Kampung Lambor Kanan itu juga bertemakan perjuangan bangsa dan negara. Dua klu ini seolah-olah memberikan gambaran kepada penonton bahawa Silver ialah pengarah yang sering terlibat dengan pembikinan filem nasional.

 

  1. Budaya berjudi, gengsterisme dan bomoh

Mahu tidak mahu, kita harus mengakui bahawa tiga perkara ini sudah wujud dalam masyarakat Melayu sejak lama dahulu. Merobek semula lembaran sejarah, dahulu sudah terdapat perbuatan melaga ayam, menyabung burung atau permainan pertaruhan di pelabuhan. Meskipun amalan itu sudah ditelan zaman, namun perjudian berevolusi dalam bentuk yang lebih moden. Contohnya, perjudian dalam talian, kasino atau perlumbaan kuda.

Gengsterisme ialah kegiatan bersifat jenayah yang dijalankan oleh sekumpulan individu, yang biasanya bertujuan untuk menunjukkan kuasa. Penulis tidak mengatakan bahawa gengsterisme sinonim dengan masyarakat Melayu, cuma sejarah sosial menunjukkan unsur gengsterisme wujud sejak dahulu lagi. Perbalahan merebut kuasa pada suatu ketika dahulu, baik pada peringkat raja-raja mahupun peringkat rakyat jelata, mencetuskan kehidupan berpuak-puak untuk membuat sempadan kuasa.

Amalan perbomohan pula muncul daripada tradisi Melayu, lahir daripada kepercayaan spiritual sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu. Sebelum perubatan moden, bomoh menjadi tempat bergantung sebagai penyembuh dan juga penjaga adat.

Keadaan libang-libu dalam cerita ini berpunca daripada sikap Man Filem (lakonan Amerul Affendi) yang suka berjudi. Walaupun sudah mempunyai duit yang banyak, Man Filem masih dahaga akan harta yang lebih banyak dan berlipat kali ganda sehingga sanggup berhutang dengan along atau ceti haram.

Ketagihannya berjudi menyebabkan dia sanggup meleburkan duit syarikat penggambaran dan mencuri duit abangnya, Along Alid (lakonan Beto Kusyairi), malahan sebelum itu, menggadaikan tanah milik arwah opahnya. Apabila keadaan semakin terdesak, Man Filem pergi pula mendapatkan khidmat bomoh. Antara sindiran yang diselitkan dalam babak bomoh ini termasuklah logo halal yang terpampang sebagai latar.

 

  1. Hutang: “Biar papa, asal bergaya”

Dalam hadis riwayat al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat membayarnya semula, maka Allah SWT akan menunaikannya untuknya. Sesiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah SWT akan membinasakannya.”

Dalam Islam, hutang wajib dibayar. Penundaan untuk membayar hutang ialah suatu kezaliman. Bahkan, selepas seseorang meninggal dunia, perkara pertama yang perlu diselesaikan oleh waris ialah hutang si mati.

Saya tertarik dengan ayat Kapak (lakonan Syazwan Zulkifly) ketika ditugaskan untuk mengutip hutang daripada Man Filem. Katanya, “Hutang ni wajib dibayar, tau! Dia dah berhutang, tiba-tiba bila kita minta balik hutang kita, kita pula yang jadi jahat!” dan “Kalau lapar, makan. Kalau penat, tidur. Kalau hutang, bayar!”

Walaupun sebenarnya Kapak ceti haram, namun inti pati ucapannya tepat. Pada hari ini, dengan kepesatan dunia, kita berlumba-lumba hendak menunjukkan gaya hidup yang mewah. Ada yang sanggup bergolok-gadai dan berhutang kerana ingin “bergaya”.

Secara umumnya, daripada kebanyakan watak dalam filem ini, watak Kapak ialah watak kegemaran penulis. Bukan kerana watak ini dilakonkan oleh Syazwan Zulkifly, tetapi wataknya melekat di jiwa. Wataknya tepat menggambarkan ragam orang sekarang. Jika diteliti, Kapak sebenarnya hidup dengan prinsip yang lurus, tetapi malangnya keterdesakan hidup mentakdirkan dia berada dalam dunia ceti haram dan gengsterisme.

Perkara ini terlihat apabila Kapak mengajak rakannya, Lan Naga untuk menunaikan solat Asar sebelum meneruskan tugasnya untuk “membeduk” seorang penghutang yang lain. Kapak juga dilihat bertanya kepada Lan Naga jika perbuatannya menyepak lauk bungkus Man Filem agak keterlaluan. Ketika Lan Naga bersetuju bahawa perbuatannya sedikit melampau, Kapak segera berpusing untuk memohon maaf sebelum dihalang oleh Lan Naga.

Bagi penulis, Kapak ialah representasi yang sinonim dengan diri kita sendiri. Adakalanya, kita sebagai manusia biasa juga terkeliru untuk membezakan perkara yang baik dengan yang buruk. Kadang-kadang, kawasan kelabu lebih jelas daripada hitam atau putih. Garis sempadan yang memisahkan antara yang betul dengan yang salah terlalu halus, menyebabkan akhirnya kita tergelincir.

 

  1. Umpat, fitnah dan gosip

Kisah legenda Mahsuri sering dijadikan gambaran tentang bagaimana fitnah menjadi barah dalam masyarakat Melayu. Kisah rakyat tidak wujud secara tiba-tiba melainkan daripada pemerhatian sosial yang berlaku dalam sesebuah masyarakat. Dalam legenda ini, Mahsuri difitnah melakukan perbuatan zina ketika suaminya keluar berperang sehingga dia dihukum bunuh.

Kata-kata sebenarnya lebih tajam daripada senjata. Malahan, terdapat banyak peribahasa Melayu yang menggambarkan ketajaman kata-kata seperti “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa” atau “mulut tempayan boleh ditutup, mulut manusia bagaimana menutupnya.” Perkara ini berakar dalam masyarakat kita sehingga pada hari ini, kita dapat melihat masyarakat sangat menyukai berita sensasi dan gosip. Semakin liar gosipnya, semakin rancak!

Dalam Libang Libu, Andak Meor (lakonan Dato Razak Ahmad) tiba-tiba menjerit dan mengamuk selepas mendapat kiriman video misteri melalui telefon bimbitnya. “Aku tak mahu kahwin dengan perempuan macam kau! Penggambaran filem ini semua, hentikan! Keluar dari rumah aku! Sudahlah percuma!”

Timah Lebor (lakonan Nabila Huda) terpinga-pinga melihat kekasihnya sebegitu rupa. Pada ketika itu jugalah, tersingkap perbuatan Man Filem yang menggelapkan duit syarikat penggambaran yang sepatutnya menjadi bayaran sewa lokasi kepada Andak Meor. Pada penghujung filem, konflik ini selesai selepas dalang fitnah ditemukan.

 

  1. Sikap pemaaf yang tidak bertempat

Kita amat berbangga dengan sikap orang Melayu yang biasanya dilihat amat berbudi, lemah-lembut dan bersopan santun. Bagi penulis, sindiran ini sepatutnya menjadi sindiran yang terkuat dalam filem ini.

Setelah begitu banyak onar yang dilakukan oleh Man Filem akibat sikapnya yang suka berjudi, semua orang di sekelilingnya kelihatan seperti reda sahaja dan menerimanya semula dalam komuniti.

Hal ini mengingatkan penulis kepada sebuah esei Faisal Tehrani dalam bukunya Babi, Kongkang, Panda dan Hal-hal yang Dipungut Kembali. Dalam esei yang bertajuk “Hikayat Ketua Jabatan”, Faisal Tehrani menulis:

Ceritanya OB ambil alat penghawa dingin milik pejabatnya dan pindahkannya ke kilang roti isteri. Itu sebab isteri pertama OB selalu panas sejak dia kahwin lagi. Justeru untuk beri kedinginan, OB hadiahkan penghawa dingin. Cuma alat penyejuk itu datangnya dari aset kerajaan.

Mula-mula orang yang dengar macam tak percaya. Oh my god, ….. – Itulah dia, bak kata Ayob, “….. lepas itu dia minta ampunlah.”

Man Filem mencuri geran dan menggadaikan tanah milik arwah opahnya. Man Filem mencuri duit milik abangnya yang bernilai RM30 ribu. Man Filem berhutang puluhan ribu dengan ceti haram sehingga menyebabkan kekacauan di set penggambaran. Man Filem menipu dan memberikan harapan cinta yang palsu kepada Chom tentang Andak Meor semata-mata kerana ingin mendapatkan duit daripada Chom. Semuanya dileburkan melalui judi.

Walaupun pada akhirnya bukan Man Filem yang menjadi dalang fitnah di kampung, tetapi hukuman yang diberikan oleh orang kampung kepada dalang fitnah itu lebih berat daripada Man Filem. Dalang finah dihantar ke stesen polis, tetapi Man Filem kekal tersengih-sengih dalam kalangan orang kampung.

Bukankah penipuan dan kecederaan emosi yang disebabkan oleh Man Filem itu lebih besar impaknya? “Sorry, tau …,” kata Man Filem. Lepas itu, dia minta ampunlah ….”

Penulis keluar dari panggung dengan perasaan yang bercampur baur. Penulis bersetuju bahawa adegan terakhir yang menampilkan unsur gengsterisme menjadikan kita berteka-teki tentang niat yang hendak diutarakan oleh pengarah. Adakah orang yang gedeber selayaknya menjadi pemenang dalam kehidupan?

Namun begitu, apabila difikirkan semula, realiti kehidupan kita tidak seperti sebuah filem. Seorang pengarah boleh menyimpulkan ceritanya dengan pengakhiran yang lebih murni dan memuaskan hati penonton. Seperti yang selalu kita bahaskan – hal ini berkaitan dengan kebertanggungjawaban seorang pengkarya kepada masyarakat. Tetapi sampai bilakah kita perlu menyogok pengakhiran yang sempurna, mewujudkan harapan yang tidak realistik sehingga melahirkan generasi warisan yang tidak kental? Sesekali, pengakhiran filem seperti Libang Libu ini perlu muncul untuk mewujudkan rasa “tidak puas hati” itu. Sepertimana kegeraman yang masih terbuku dalam hati penulis ini, apabila watak Man Filem, penyebab segala kacau-bilau dan malapetaka ini dimaafkan begitu sahaja tanpa apa-apa balasan.

Secara keseluruhannya, penulis mendapati Libang Libu ialah sebuah naskhah yang jujur dan berani. Jujur; kerana memaparkan apa-apa yang berlaku dalam masyarakat kita dengan “betul”. Sering kali kita mendengar orang menyebut, “Merangkaklah engkau mencari aku di Padang Masyhar nanti!” Mengapa pula apabila dialog ini diangkat dalam filem, kita menganggapnya klise, padahal sememangnya itulah yang terjadi dan yang ingin digambarkan.

Keduanya, berani; kerana pengarahnya tidak lokek dan memberikan apa-apa sahaja sumber dan naratif kepada khalayak. Begitu sarat dan melimpah ruah, Libang Libu tidak takut hendak melanggar dan menghentam dari setiap sudut.

Secara peribadi, penulis berpendapat bahawa komen seperti “buang duit saja beli tiket untuk tengok filem ini” ialah suatu pemikiran yang dangkal. Ada ungkapan yang menyatakan, “lihatlah dengan mata lebah, bukan dengan mata lalat”. Seberapa “teruk” sesebuah karya, pasti ada sedikit nilai yang boleh dikaut jika dilihat dengan mata hati yang jernih. Mungkin filem ini tidak menepati cita rasa dan selera anda, tetapi untuk menidakkan mesej yang hendak disampaikan ialah sesuatu yang absurd.

Dalam kebisingan pada hari ini, daripada isu dalam kehidupan seharian seperti masalah kesempitan wang, masalah rumah tangga sehinggalah isu dunia seperti  krisis ekonomi akibat pertelingkahan Asia-Barat, isu penyelewengan duit zakat oleh orang terpercaya dan banyak lagi, Libang Libu mengingatkan kita untuk berhenti sebentar, duduk sejenak dan bertenang. Kegelisahan dan rasa kacau-bilau dalam diri akan tetap berterusan sepanjang kita masih bernyawa. Tuhanlah yang membolak-balikkan perasaan makhluk-Nya.

Maka itu, tariklah nafas dan timbanglah akal fikiran pada setiap kali kita menghakimi, mengambil tindakan atau memaafkan sesuatu keadaan, sebelum kemudian melangkah untuk meneruskan kehidupan sehari-hari: semua ini selagi mata belum tertutup.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi