Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFilem Tarung Unforgiven; dihantui bayang-bayang silam dan tragedi yang meragut segalanya.
Hatta, seorang bekas jaguh silat kini terperangkap dalam dilema. Demi menyelamatkan insan yang disayangi, iaitu kakaknya, dia terpaksa menjunam ke kancah gelanggang haram yang kejam. Di situ, bukan sekadar ketangkasan fizikal yang diuji, malah dia dipaksa berdepan dengan dendam dari masa lalunya, saat kawan jadi lawan.
Gelanggang underground Marga menjadi saksi pertemuan dua sahabat yang terpisah oleh takdir. Hatta terpaksa menentang Isa yang kini bertarung di bawah naungan Khalid. Bukan sekadar memburu takhta “Ketua Paduka” dalam acara tahunan Tarung, Isa hadir dengan satu misi peribadi, menuntut bela atas kematian abangnya.
Filem ini membawakan genre aksi dan juga merupakan filem pertama pelakon Aedy Ashraf sebagai penerbit. Selain Aedy Ashraf sebagai salah seorang teraju utama, filem ini turut menampilkan barisan pelakon hebat dan terkenal seperti Mierul Aiman, Zul Ariffin, Bront Palarae, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, dan Sharifah Sakinah.
Secara dasarnya, Tarung Unforgiven merupakan filem aksi, genre yang paling sukar untuk dihasilkan. Namun begitu, dari sudut jalan cerita, kebiasaannya tidak memerlukan sebuah plot yang kelam kabut atau terlalu mendalam.
Dalam filem tersebut, plotnya jelas, watak-wataknya pelbagai dan menarik, penuh aksi serta drama, dan berakhir dengan satu pertembungan yang dinantikan dari awal penulis menonton filem ini.
Walaupun formulanya bagi sesetengah penonton akan berasa agak klise, kisah sebuah dendam dan berlawan demi keluarga, namun bagi penulis formula ini tetap berkesan bagi sebuah filem aksi. Percubaan yang baik oleh penulis skrip dan juga pengarah untuk menghasilkan filem aksi yang tidak menjemukan.
Walaupun penulis sendiri merasakan, jika filem ini diberikan peluang untuk diadaptasi kepada drama, pasti lebih banyak babak dan isu yang boleh diolah.
Dari sudut lakonan, Mierul Aiman berjaya membawa watak Hatta dengan baik. Dapat dilihat beliau melakukan kajian tersendiri untuk memainkan watak Hatta yang berada di antara seorang pelawan tegar dengan jiwa yang terseksa dan hati yang mulia dalam memilih jalan yang salah demi keluarga.
Walaupun premisnya kedengaran biasa, Mierul Aiman memberikan adunan intensiti fizikal dan nuansa emosi yang hebat, menjadikan setiap keputusan yang diambil mudah difahami penonton. Penulis mengambil contoh sebuah teori yang disebut oleh Henri Bergson, iaitu dorongan tenaga (Elan Vital).
Dorongan tenaga mampu mengubah sesuatu perkara yang tidak bernyawa atau tidak hidup kepada hidup dan aktif. Perubahan pasif kepada aktif ini tidak semestinya negatif kepada positif, disebaliknya menghasilkan perkara positif kepada negatif.
Hal ini yang disebut sebagai evolusi kreatif oleh Bergson. Melalui watak Hatta, perkara yang tidak bernyawa atau tidak hidup yang ada pada dirinya ialah sifat berani dan keinginan untuk menyelamatkan kakaknya, Aisha. Watak Hatta yang terpaksa memilih jalan yang salah walaupun bertentangan dengan kepercayaan dan pendiriannya sebagai seorang pesilat.

Bront Palarae juga membuktikan bahawa beliau pelakon senior yang berbakat dan mengingatkan kita bahawa beliau masih relevan untuk filem aksi sebegini dalam memegang watak berpengaruh seperti Khalid. Beliau berjaya menterjemahkan aura watak seorang pemegang kuasa seperti Yakuza dan cuba menggunakan apa sahaja cara dalam mendapatkan takhta ketua paduka.
Dari segi visual, filem ini memang layak dipuji semasa babak pertarungan. Inilah kekuatan sebenar filem ini. Pertarungan yang dipaparkan adalah antara yang terbaik pernah ditonton oleh penulis bagi filem tempatan, terasa sangat realistik dan dipaparkan dengan penuh tersusun.
Semasa menonton babak pertarungan, penulis yakin produksi telah melakukan latihan dan meletakkan dedikasi yang tinggi dalam menjayakan babak pertarungan yang baik. Secara jujurnya, babak pertarungan mempunyai ketegangan dan konflik yang jauh lebih hebat berbanding keseluruhan plot filem ini sendiri.
Berbaloi atau tidak menonton filem ini? Ya, berbaloi. Dalam dunia sinema yang penuh dengan filem aksi, penulis merasakan tidak banyak naratif yang mampu menyentuh hati seperti Tarung Unforgiven yang mengangkat perjuangan demi nyawa insan tersayang dan juga persahabatan yang tercemar akibat dendam.
Filem ini juga membuktikan bahawa perjuangan paling hebat bukanlah demi harta atau kuasa, tapi demi insan yang paling kita sayang, sama ada keluarga atau sahabat. Tarung Unforgiven tidak menggunakan aksi sebagai hiburan kosong, tetapi sebagai metafora kepada perjuangan kelas dan kelangsungan hidup sebuah keluarga.
Ingat, ini bukan filem santai, ini filem bantai!