Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFilem Khadam arahan sutradara Shamyl Othman dan hasil nukilan lakon layar Fariza Azlina telah berjaya membuka mata jiwa penulis tentang betapa mendalamnya isu dan juga nilai kekuasaan wanita yang cuba disampaikan. Khadam bukan sebuah filem seram budaya rakyat semata-mata sekalipun mengangkat kisah tentang saka keturunan ataupun hantu raya, malah menjadi suatu karya yang menekankan simbol tentang feminisme yang diperhalusi cukup teliti dari awal hingga akhir cerita melalui watak wanita yang dipaparkan.
Khadam membawakan kisah ketika era pascakolonial Tanah Melayu yang sudah merdeka menjadi negara Malaysia, dan latar ini dihadirkan melalui sebuah keluarga Melayu yang hidup di sebuah rumah di pedalaman kampung yang laluannya hanya terhubung melalui sebatang sungai. Keluarga ini terdiri daripada Melor lakonan Aghniny Haque, Awang (Remy Ishak) sebagai suami Melor serta anak-anak mereka, iaitu Putih (Zarra Zhaff) dan Hitam (Karl El). Mereka juga disertai dengan Manis lakonan Siti Khadijah, iaitu adik kepada Melor, dan rumah itu milik ibu mereka yang hanya dipanggil sebagai Nek Mak (Jun Lojong) oleh anak-anak Melor.
Nek Mak, ibu kepada Melor dan Manis mempunyai saka keturunan atau digelar sebagai khadam dalam filem ini yang menjadi pendampingnya, dan perlu diwariskan kepada Melor. Namun begitu, perkara ini tidak dipersetujui oleh Melor, malah dia dan Manis ingin memutuskan pertalian dengan saka ini kerana melanggar hukum syarak dalam Islam. Melalui hal ini kita dapat melihat bahawa saka keturunan telah menjadi tradisi atau “keluarga” keturunan orang Melayu sejak zaman lampau lagi yang sekali gus memaparkan betapa nilai Islam di Tanah Melayu menjadi semakin progresif dari tahun ke tahun melalui penerimaan generasi baharu.
Namun begitu, hal tersebut tidak semudah yang disangkakan oleh Melor. Hidup bersendirian bersama anak-anaknya di pedalaman tanpa bantuan sesiapa mahupun suaminya sendiri yang sentiasa bekerja jauh, menyebabkan tugasan harian Melor sebagai ibu menjadi sukar. Hal ini ditambah pula dengan ketiadaan Manis yang bekerja di bandar, dan sentiasa terlewat muncul untuk membantu Melor. Perkara ini membuatkan Melor akhirnya akur dan perlu menerima khadam dalam hidupnya, bukan sekadar untuk membantu tugasan harian, bahkan juga untuk mengelakkan saka keturunan ini berpaut pada anak perempuannya, Puteh.
Melalui watak Melor, kita dapat melihat elemen feminisme pascakolonial kerana pada era 1950-an, Melor memperlihatkan bentuk kekuasaan wanita Melayu yang berakar dalam tradisi, keluarga dan tanggungjawab komuniti. Melor bukan wanita moden Barat, agak kontra dengan adiknya, Manis yang hidup di bandar, mempunyai pemikiran yang progresif dan lebih berani berhadapan dengan lelaki seperti Awang yang bersifat misoginis.
Kekuasaan wanita yang ditunjukkan pada watak Melor bertepatan dan sejajar dengan zaman pascakolonial kerana kepercayaan dan warisan saka menjadi titik penentu bagi memastikan kehidupan harian Melor terjaga. Di sebuah dunia dan zaman wanita hanya diberikan peranan sebagai seorang anak perempuan, kakak, isteri dan ibu, Melor tidak bebas sekalipun hidup pada zaman kemerdekaan. Hal ini merupakan suatu sisi ironi yang bijak dipaparkan oleh penulis skrip filem ini bagi memaparkan beban dan legasi yang perlu dihadapi oleh wanita seperti Melor.
Bercerita pula dari sudut khadam Melor selepas diwarisi daripada ibunya, hal tersebut sangat bertepatan dengan teori monstrous-feminisme yang diperkenalkan oleh pakar teori media Australia, Barbara Creed yang menterjemahkan konsep feminisme dan psikoanalisis wanita yang digambarkan sebagai ahli sihir pada suatu masa dahulu. Bagi sudut lokal seperti dalam Khadam, Melor dan khadamnya bertepatan dengan pemaparan watak ini sebagai simbol raksasa atau ahli sihir (witch) yang menggerakkan cerita serta menjadi penyelamat, punca, kesan dan akibat pada segala perkara yang terjadi.
Teori ini juga memperlihatkan Melor sebagai mangsa kepada pandangan suatu dimensi oleh figura patriarki seperti Awang yang hanya melihat Melor sebagai seorang isteri yang perlu menjaga rumah, memasak dan menunaikan tuntutan nafsunya semata-mata. Peranan ini secara perlahan-lahan bertukar menjadi sisi raksasa yang dahsyat dan menjadi senjata yang memakan elemen patriarki dan maskulinitas ini.
Sisi feminisme dan kekuasaan wanita ini bukan hanya ditunjukkan pada watak Melor, tetapi juga pada Nek Mak, Manis dan Puteh yang mewakili setiap generasi wanita dalam keluarga ini. Nek Mak menjadi elemen matriarki lapuk yang ingin menurunkan legasinya sebagai wanita kuno kepada Melor dan Manis yang sudah bersedia untuk menjadi lebih progresif. Apabila tidak mempunyai kesempatan itu, Nek Mak juga cuba untuk mempengaruhi Puteh sebagai generasi baharu yang pada mulanya diperlihat sebagai penyambung tradisi, namun sebenarnya menjadi simbol gerakan wanita moden yang menidakkan perspektif dunia terhadap konsep kewanitaan lapuk.
Melor dan Manis cuba untuk menolak ajaran dan nilai tahayul daripada ibunya, namun akibat terbelenggu dengan pemahaman masyarakat terhadap peranan wanita, Melor terpaksa akur, namun sebaliknya pula pada Manis yang kuat menolak dan menjadi watak kontra daripada Melor.
Puteh juga menjadi kunci kepada penolakan kepercayaan tahayul daripada nenek moyangnya, dan hal ini memberikan pemahaman baharu kepada penonton bahawa generasi akan datang lebih kuat dan ampuh untuk menolak pemikiran kolot dan konservatif walaupun pada awalnya agak sukar untuk mereka membendungnya. Daripada Nek Mak, saka tersebut diperturunkan, kemudian diwariskan kepada Melor, dan Puteh akhirnya menjadi definitif generasi yang menamatkannya.