Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada era globalisasi yang menyaksikan makanan bergerak merentasi sempadan dengan begitu pantas, gastronomi tidak lagi boleh difahami sekadar sebagai aktiviti memasak atau menikmati hidangan.
Gastronomi telah berkembang menjadi suatu bidang ilmu yang merangkum sejarah, budaya, antropologi, ekonomi, pelancongan, sains makanan dan identiti sesebuah masyarakat. Oleh itu, penganjuran Seminar Gastronomi Kebangsaan kali ke-3 (SEGEMUK III) bertemakan “Juadah: Asli VS Lakuran” hadir tepat pada waktunya sebagai wadah memperkukuh wacana tentang masa depan gastronomi Malaysia.
Seminar yang menghimpunkan lebih 30 pembentang dari dalam dan luar negara itu membuktikan bahawa gastronomi kini semakin mendapat tempat sebagai disiplin ilmu yang perlu diberi perhatian serius dalam pembangunan negara.
Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya. Kepelbagaian ini diterjemahkan dengan begitu jelas melalui makanan. Setiap negeri memiliki cita rasa tersendiri, setiap etnik mempunyai resipi warisan yang diwarisi turun-temurun, manakala setiap komuniti menyimpan cerita, falsafah dan nilai yang diterjemahkan melalui juadah.
Oleh sebab itu, gastronomi bukan sekadar mengenai apa yang dimakan, sebaliknya bagaimana sesuatu makanan itu lahir, berkembang dan menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat.
Tema “Juadah: Asli VS Lakuran” yang diketengahkan dalam SEGEMUK III sebenarnya membuka ruang kepada satu perbahasan yang amat menarik. Dalam dunia moden, hampir mustahil sesuatu makanan kekal dalam bentuk yang benar-benar asli.
Perdagangan, penghijrahan manusia, kolonialisme dan perkembangan teknologi telah menyebabkan pelbagai budaya makanan saling mempengaruhi antara satu sama lain. Lakuran atau fusion bukan lagi sesuatu yang asing. Namun demikian, persoalan utama ialah sejauh mana inovasi tersebut masih menghormati akar budaya asal sesuatu makanan.
Perbahasan inilah yang menjadikan gastronomi sebagai suatu bidang yang jauh lebih kompleks daripada sekadar resepi masakan. Sesebuah hidangan membawa bersama sejarah migrasi, hubungan perdagangan, kepercayaan agama, perubahan ekonomi malah perkembangan politik sesuatu zaman.
Sepinggan nasi lemak misalnya bukan sekadar gabungan nasi, santan dan sambal, tetapi merupakan naratif panjang tentang hasil bumi, budaya agraria, ekonomi desa serta perubahan gaya hidup masyarakat Melayu.
SEGEMUK III turut memperlihatkan bagaimana penyelidikan gastronomi semakin berkembang melalui pelbagai disiplin ilmu. Antara subtema yang diketengahkan merangkumi aspek tradisional dan warisan, ilmu serta dokumentasi, memori dan identiti, budaya masyarakat, kelestarian, industri dan sains makanan.
Kepelbagaian tema ini menunjukkan bahawa gastronomi bukan lagi bidang pinggiran, sebaliknya telah menjadi ruang penyelidikan yang bersifat multidisiplin dan mempunyai nilai akademik yang tinggi.
Apa yang lebih penting, seminar seperti ini membantu usaha mendokumentasikan warisan makanan tempatan sebelum hilang ditelan zaman. Kebanyakan resipi tradisional sebenarnya hanya hidup melalui ingatan generasi terdahulu tanpa sebarang dokumentasi yang sistematik.
Apabila generasi tersebut tiada, bersama-samanya turut lenyap pelbagai teknik memasak, penggunaan ramuan tempatan, istilah kulinari dan falsafah di sebalik penyediaan makanan. Dokumentasi melalui penyelidikan akademik menjadi benteng utama dalam memastikan khazanah tersebut terus dipelihara.
Dalam konteks Malaysia MADANI, gastronomi juga mempunyai nilai sosial yang amat besar. Makanan sentiasa menjadi jambatan yang merapatkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum.
Di meja makan, perbezaan budaya sering kali bertukar menjadi ruang perkongsian pengalaman. Rendang, lemang, nasi kerabu, laksa, capati, tosai atau kuih bulan, bukan sekadar mewakili kaum tertentu, tetapi telah menjadi sebahagian daripada pengalaman kolektif rakyat Malaysia.
Hakikat ini menjadikan gastronomi sebagai medium perpaduan yang sangat berkesan. Apabila masyarakat saling mengenali makanan antara satu sama lain, mereka sebenarnya sedang memahami sejarah, nilai dan budaya komuniti tersebut. Kefahaman inilah yang akhirnya melahirkan rasa hormat terhadap kepelbagaian budaya negara.
Selain nilai budaya, gastronomi juga mempunyai potensi ekonomi yang sangat besar. Pelancongan gastronomi kini menjadi antara segmen industri pelancongan yang berkembang pesat di seluruh dunia.
Kebanyakan pelancong memilih destinasi bukan semata-mata kerana keindahan alam, tetapi kerana pengalaman menikmati makanan tempatan yang autentik. Malaysia memiliki kelebihan luar biasa dalam aspek ini kerana kepelbagaian gastronominya sukar ditandingi oleh negara lain.
Namun begitu, kekuatan tersebut hanya dapat dimanfaatkan sekiranya warisan makanan terus dipelihara. Globalisasi menyebabkan semakin banyak makanan tradisional mengalami perubahan sehingga hilang identiti asalnya.
Ada resipi yang dipermudahkan demi keuntungan komersial, ada pula yang diubah bagi memenuhi cita rasa pasaran. Inovasi sememangnya diperlukan, tetapi inovasi yang memutuskan hubungan dengan sejarah akhirnya hanya menghasilkan produk komersial tanpa roh budaya.
Justeru, pendekatan yang dibincangkan melalui SEGEMUK III menjadi amat signifikan. Persoalan “asli” dan “lakuran” tidak sewajarnya dilihat sebagai dua kutub yang saling bertentangan. Sebaliknya, kedua-duanya perlu bergerak secara seimbang. Keaslian perlu dipelihara sebagai sumber rujukan dan identiti, manakala lakuran pula boleh berkembang sebagai ruang kreativiti yang berpaksikan penghormatan terhadap warisan asal.
Pada masa yang sama, seminar seperti ini memperkukuh jaringan kerjasama antara ahli akademik, penyelidik, pengusaha makanan, penggiat industri kreatif, pengusaha pelancongan dan pembuat dasar. Pertemuan pelbagai pihak membolehkan hasil penyelidikan diterjemahkan kepada dasar, pembangunan produk, dokumentasi digital serta strategi pemuliharaan warisan makanan negara.
Lebih membanggakan, perkembangan seminar gastronomi seperti SEGEMUK menunjukkan bahawa Malaysia semakin serius mengangkat gastronomi sebagai satu bidang ilmu yang mempunyai kedudukan setanding dengan bidang-bidang penyelidikan lain. Hal ini penting kerana makanan bukan sahaja memenuhi keperluan fizikal manusia, malah menjadi cerminan tamadun, identiti dan memori kolektif sesuatu bangsa.
Akhirnya, kejayaan SEGEMUK III membuktikan bahawa gastronomi bukan sekadar mengenai rasa, aroma atau teknik memasak. Gastronomi ialah bahasa budaya yang merakam perjalanan sejarah, memperkukuh identiti dan menyatukan masyarakat. Dalam setiap juadah tersimpan cerita tentang asal-usul manusia, hubungan dengan alam, nilai kekeluargaan dan perjalanan sesuatu tamadun.
Oleh itu, seminar seperti SEGEMUK III wajar diteruskan sebagai platform ilmiah yang mempertemukan tradisi dengan inovasi, warisan dengan penyelidikan, serta budaya dengan pembangunan ekonomi. Melalui usaha berterusan inilah khazanah gastronomi Malaysia akan terus hidup, bukan sekadar di meja makan, tetapi dalam wacana ilmu, dasar negara dan ingatan generasi yang akan datang.