Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSempena sambutan Minggu P. Ramlee yang berlangsung di Pulau Pinang pada 2-4 Julai 2026 lepas, sejumlah maklumat mengenai perjalanan seni Tan Sri P. Ramlee, cita-cita dan proses kreatif beliau yang diperolehi melalui majalah-majalah yang diterbitkan ketika kegemilangan filem Melayu era studio disorot dalam tulisan ini.
Bagaimanakah perjalanan seni dan alur pemikiran Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee dapat diketahui oleh khalayak? Pada dekad beliau berkarya, khususnya sebelum kedatangan televisyen, segala maklumat mengenai beliau hanya dapat diketahui melalui media cetak, iaitu majalah dan surat khabar. Filem beliau hanya boleh dinikmati di pawagam, lagu-lagu nukilan beliau hanya boleh didengar menerusi rakaman piring hitam, siaran radio dan pertunjukan pentas.
Majalah
P. Ramlee sendiri memimpin sebuah majalah bernama Bintang yang menemui khalayak pada 10 Mac 1953. Dalam sidang editorial yang pertama, P. Ramlee menceritakan kisah bahawa menerima tidak kurang dari 30 pucuk surat setiap hari dari para peminat.
Ada yang hanya ingin berkenalan semata-mata dan ada juga yang bertanyakan tentang dunia hiburan. Oleh itu, beliau dan rakan-rakannya telah bermuafakat untuk menerbitkan majalah Bintang.
Tidak hanya untuk memperhubungkan tali muhibah antara saudara dengan bintang-bintang filem yang menunjukkan gerak-gayanya di layar putih semata-mata tetapi juga dengan para bintang yang mengisi angkasa raya dengan suaranya yang merdu dan para bintang yang mengeluarkan peluh dengan tenaganya di gelanggang sukan.’
Dalam majalah Bintang, terdapat ruangan P. Ramlee dari Dekat yang ditulis oleh Abdullah Hussain mulai keluaran ke-7 (13/6/1953) yang kemudiannya tulisan tersebut dihimpunkan hingga terbit buku membaca Riwayat Hidup P. Ramlee.
Abdullah Hussain menulis kisah P. Ramlee belajar bermain piano semasa remaja dan dalam masa yang singkat sahaja, beliau telah mahir. Menurut Abdullah, beliau dan rakan pengarang majalah Bintang gemar ke rumah P. Ramlee di Singapura bukan semata-mata untuk meminta tandatangan atau datang seperti peminat yang lain. Akan tetapi mereka datang untuk menikmati hidangan kopi yang dikatakan oleh P. Ramlee sebagai ‘kopi Pulau Pinang’ yang sentiasa dikirim oleh ahli keluarganya dari sana.
Abdullah turut menulis tentang saat bersejarah semasa pengarah filem Malay Film Productions (MFP), BS Rajhans menyaksikan persembahan P. Ramlee di Pesta Pertanian Bukit Mertajam. Ketika menyertai pesta tersebut, ditulis bahawa P. Ramlee bukanlah orang baharu dalam bidang seni persembahan. Beliau telah bergelar juara nyanyian di sebelah wilayah utara dan suaranya telah memikat BS Rajhans yang Ketika itu sedang membuat pencarian bakat, khasnya untuk penyanyi latar lelaki di Studio MFP.
P. Ramlee bermula di MFP sebagai seorang penyanyi latar dan kemerduan suaranya itulah menyebabkan beliau mengecap kemasyhuran yang luar biasa di seluruh Nusantara, sebelum bergelar pengarah dan pemikir bangsa.
Ini dibuktikan melalui kisah seorang gadis dari daerah Lampung, Sumatera, Indonesia yang dilaporkan jatuh sakit dan berada dalam keadaan mengkhuatirkan. Berita ini tersiar di majalah Pedoman, Indonesia dan dikongsi dalam majalah Bintang. Gadis berusia 17 tahun itu telah sakit teruk gara-gara merindui P. Ramlee. Doktor yang cuba merawatnya telah menasihatkan supaya P. Ramlee didatangkan terus ke daerah Lampung. Hal ini menunjukkan populariti P. Ramlee yang sangat hebat dan meluas di seluruh Nusantara yang sukar ditandingi pada ketika itu.
Abdullah Hussain turut menulis bagaimana P. Ramlee sewaktu di sekolah merupakan pelajar yang sulit untuk diawasi oleh guru-gurunya kerana lebih berminat dengan ukulelenya berbanding dengan mata pelajaran di sekolah. Tulisan Abdullah Hussain dalam majalah berserta siri tulisan ‘P. Ramlee Yang Kukenal’ yang terbit dalam majalah Gelanggang Filem telah dihimpunkan menjadi buku Kisah Hidup Seniman Agung P. Ramlee terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (2016).
Impain P. Ramlee
Dalam majalah Hiboran Filem bil.86, dilaporkan P. Ramlee mengadakan uji bakat untuk pemeran wanita utama bagi filem magnum opus beliau, Semerah Padi (1956). Tiga orang pelakon wanita yang diuji bakat oleh P. Ramlee ialah Mislia, Seri Dewi dan pelakon baru bernama Hasnah Rahman.
Namun begitu, peranan penting itu jatuh ke tangan Seniwati Saadiah yang ketika itu baru sahaja melahirkan anak. Anak tersebut dikandung oleh Saadiah semasa beliau sedang berlakon dalam filem pertama arahan P. Ramlee, iaitu Penarik Beca (1955). Majalah Bintang bilangan 10 melaporkan bahawa penggambaran untuk semua babak melibatkan Saadiah disegerakan sebelum kandungan beliau bertambah sarat.
P. Ramlee sangat dikenali menerusi filem bergenre komedi sehingga beliau menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Beliau juga berminat untuk menghasilkan sebuah filem berunsur tawarikh dengan penyelidikan yang rapi serta berskala epik.
Dalam majalah Kisah Bintang dan Filem bilangan 1, P. Ramlee menyatakan hasratnya untuk mengarah suatu cerita tawarikh yang mengisahkan peri kebesaran kerajaan Melayu di zaman dahulu. Dalam majalah tersebut, filem yang dihasratkan oleh P. Ramlee bertajuk ‘Kota Feringgi’ (laporan dari sumber lain menyebut ‘Robohnya Kota Melaka’). Hal ini turut dibincangkan dalam akhbar Berita Harian bertarikh 7 November 1958. Menurut pegawai penerangan Shaw Brothers, iaitu Jaffar Abdullah, beliau bersama P. Ramlee dan beberapa orang pegawai tinggi Jalan Ampas akan berangkat ke Melaka untuk meninjau tinggalan sejarah Kota Feringgi. P. Ramlee turut dilaporkan sebagai ‘ingin berhubungan dengan orang-orang atau ahli-ahli sejarah yang dapat memberi bahan tentang pakaian orang-orang Portugis serta pakaian orang-orang Melayu di zaman Melaka dahulu’. Namun hasrat beliau tidak kesampaian.
Pada kredit pembukaan filem pertama arahan Jamil Sulong, iaitu Batu Belah Batu Bertangkup (1958), tercatat bahawa cerita Batu Belah Batu Bertangkup ini diadaptasi dari cerita rakyat seperti mana yang disyorkan oleh S. Kadarisman dan P. Ramlee. P. Ramlee juga dalam satu keratan akhbar Berita Harian bertarikh 10 Julai 1959 menyatakan hasratnya untuk memfilemkan sebuah cerita rakyat, iaitu Badang. Namun filem ini dibawa ke Cathay Keris dan diarahkan oleh S. Roomai Noor pada tahun 1962.
Selain filem bergenre sejarah dan adaptasi sastera rakyat, P. Ramlee turut bercita-cita untuk menghasilkan filem bercorak keagamaan. Selepas Semerah Padi, P. Ramlee ingin menghasilkan filem bertajuk Mencari Keampunan yang didaktik serta banyak merujuk ayat-ayat suci al-Quran. Sebagai persiapan, P. Ramlee dan S. Sudarmaji telah meminta pandangan pegawai-pegawai Majlis Agama Islam Johor Bahru. Selepas pertemuan dengan pihak majlis agama tersebut, tajuk filem Mencari Keampunan ditukar kepada Hidayah, seperti yang dilaporkan dalam majalah Arena Filem bilangan 89 (28 Julai 1961). Sebelum itu dalam majalah Arena Filem bilangan 86 (7 Julai 1961), terdapat artikel yang menyebut bahawa jumlah bintang utama filem Mencari Keampunan ialah seramai 7 orang. Seniwati Kasma Booty dan Seniwati Sarimah beserta Seniman Ahmad Mahmud bakal membintangi Mencari Keampunan. P. Ramlee juga menyatakan bahawa beliau sedang mencari pelakon wanita yang boleh membaca al-Quran serta mempunyai pengetahuan dalam hukum-hukum agama. Namun rancangan untuk menghasilkan filem ini terbengkalai juga.
Berdasarkan corak atau genre yang ingin diterokai oleh P. Ramlee, ternyata beliau ialah pengarah filem yang mendahului zaman. Perbandingan corak antara Penarik Beca dengan Semerah Padi memperlihatkan satu perbezaan yang radikal, seolah-olah P. Ramlee telah menanti lama untuk meledakkan hasrat hatinya sebagai pejuang filem untuk bangsa dan tanah air. Begitu juga dengan Panca Delima yang bercorak epik fantasi dan Sumpah Orang Minyak yang meneroka elemen noir melalui pemaparan alam bunian. Selepas filem-filem tersebut, P. Ramlee tidak lagi muncul dengan karya eksperimental dan hanya menumpukan kepada filem-filem ‘sukaramai’. Ini merupakan salah satu yang menunjangi hasrat P. Ramlee untuk menubuhkan syarikat perfileman sendiri supaya lebih bebas berkarya. Namun P. Ramlee juga memahami tentang adanya kekangan yang mengharuskan beliau akur dengan kehendak majikan dan kehendak masyarakat.
Anugerah dan Penghargaan
P. Ramlee sering disebut sebagai seniman yang tidak dihargai semasa hayatnya. Namun hal ini perlu disorot dari sisi yang berbeza. Anugerah dan penghargaan yang beliau terima semasa hidup bukanlah sedikit, antaranya memenangi Pesta Filem Asia Pasifik dalam pelbagai kategori seperti kategori lakonan, filem komedi terbaik, fotografi, muzik dan bakat luar biasa.
Kejayaan tersebut belum mampu ditandingi oleh mana-mana karyawan dari Malaysia. Beliau juga sering memenangi anugerah dalam pelbagai kategori secara undian, lantas membuktikan beliau seniman yang serba boleh. Misalnya dalam laporan Album Bintang keluaran Jun 1957, P. Ramlee telah diundi sebagai Seniman Terbaik, Pengarah Terbaik, Penggubah Lagu Terbaik dan Biduan Terbaik untuk tahun 1956.
Begitu juga dengan gelaran dari istana kepada anak seni bukanlah sesuatu yang mudah dikurniakan mengikut konteks zaman tersebut. Berdasarkan faktor umur dan merit sosiopolitik, P. Ramlee dianggap masih muda untuk menerima gelar Datuk atau Tan Sri. Pemergiannya yang agak mengejut juga adalah ketentuan takdir.
Beliau dihargai selepas meninggal dunia; diberi gelaran kehormat, namanya diabadikan pada jalan, auditorium dan sekolah. Beliau turut diberikan gelaran Seniman Agung, pemikirannya banyak dibincangkan dalam wacana, forum dan kajian ilmiah. Malah beliau juga paling banyak dijadikan kandungan di media baharu termasuklah dalam bentuk manipulasi imej kecerdasan buatan.
Populariti P. Ramlee sangat sarwajagat. Sanjungan itu tidak menjadikan beliau mudah lupa diri, sebaliknya beliau mengambil tanggungjawab sebagai pengarah untuk menghasilkan karya yang bermanfaat kepada masyarakatnya.
Beliau ingin menghasilkan filem mengenai sejarah perjuangan bangsa dan filem yang memberi pesan moral kerana kewajibannya sebagai anak watan serta sebagai seorang insan yang tetap berpesan-pesan kepada kebenaran.
___________________________________________________
RAIHANI MOHD. SAAID kini bertugas sebagai penyelidik di Universiti Monash Malaysia. Buku terbaru beliau yang membincangkan elemen satira dalam filem-filem P. Ramlee, iaitu P. Ramlee: Membingkai Kearifan Tempatan baru saja diterbitkan oleh Smart Forum Resources (2026).