Oleh Syaza Wardina
7 Februari 2022, 16:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pauh Putra ‒ Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut serta dalam menjayakan “Projek Diraja Kampung Warna-warni Program Transformasi Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis” melalui “Program Kampung Seberang Ramai Lestari”.

Dalam satu sesi taklimat kepada Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM)  Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail baru-baru ini, Naib Canselor UniMAP, Profesor Ts. Dr. Zaliman Sauli menyatakan, “Inisiatif yang dilaksanakan UniMAP adalah dengan memberikan fokus untuk merapatkan jurang perbezaan sosioekonomi yang ketara; sifar risiko kemalangan industri; serta sifar penyakit dan wabak akibat pencemaran. Hal ini bakal dicapai menerusi pemindahan ilmu yang praktikal daripada pihak pelaksana program kepada penduduk kampung khasnya pelajar sekolah dan golongan remaja di kawasan berkenaan.”

Menurut Profesor Ts. Dr. Zaliman, “Sejak awal tahun 2021 lagi, UniMAP bersama-sama pelbagai agensi, institusi pendidikan dan sekolah, badan beruniform, agensi swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu perseorangan lain menjayakan inisiatif yang didukung oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) ini.”

Program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha ‘UniMAP for Society (U4S)’ yang dibahagikan kepada enam tema utama, iaitu Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Kesihatan, Alam Sekitar dan Bantuan Kemanusiaan.

“Untuk tahun 2021 sahaja, UniMAP telah melaksanakan 193 projek di bawah U4S yang melibatkan kerjasama antara UniMAP dengan 182 pihak agensi dan industri, serta 14 485 orang ahli komuniti,” jelas Profesor Ts. Dr. Zaliman.

Dalam perkembangan lain, Tuanku Raja Muda Perlis berkenan berangkat meluangkan masa meninjau perkembangan terkini tahap kebersihan kawasan Kampung Seberang Ramai yang kian mendapat kesedaran dan kerjasama yang cukup baik dalam kalangan masyarakat setempat.

Papan tanda arah memudahkan pengunjung melawat Kampung Seberang Ramai.

Baginda turut menitahkan ucapan terima kasih kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perlis yang telah memasang papan tanda arah ke kampung nelayan tradisional tersebut yang merupakan destinasi pelancongan terbaharu di Perlis. Papan tanda arah tersebut diletakkan di beberapa lokasi strategik di sekitar Kuala Perlis bagi memudahkan para pelawat datang untuk berkunjung ke kampung berkenaan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.