Oleh Nalida
1 Julai 2022, 10:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dr. Lim Swee Tin bukan sahaja seorang penyair yang diiktiraf dan disegani tetapi sebagai penyelidik malah pernah menjadi ahli akademik dan pensyarah yang tekun mendokumentasi warisan kesenian khazanah bangsa.

Terkini, Dr. Lim Swee Tin tampil dengan buku penyelidikan terbaharu bertajuk Dari Sebalik Kelir: Wayang Kulit – Tok Dalang Che Ann (DSKWKTDCA) yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Malaysia Kelantan (UMK Press).

Dalam pembentangannya di pentas utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022, Dr. Lim Swee Tin menyatakan mengambil masa yang lama untuk menulis buku wayang kulit itu bersama Lily Ang. Program “Memperkatakan Buku” yang dianjurkan oleh Penerbit UMK pada 9 Jun 2022 telah membuka mata penonton dan masyarakat bahawa kita memiliki satu warisan kesenian yang amat berharga.

Dr. Lim Swee Tin dalam program “Memperkatakan Buku”.

Dr. Lim Swee Tin menghuraikan buku DSKWKTDCA secara ringkas menjalurkan tiga skop isi yang sememangnya dirancang untuk memberikan maklumat dan pengetahuan yang berguna kepada pembaca.

Pertama, tentang kesenian wayang kulit itu sendiri secara amnya, termasuk di sana sini diselitkan perihal Dollah Baju Merah, seorang dalang tersohor di Kelantan malahan juga di seluruh negara. Pengetahuan ini penting memandangkan kesenian kita dalam banyak keadaan diasak dengan rakusnya oleh pelbagai bentuk hiburan moden tatkala ini.

Kedua, tentang penglibatan seorang dalang sejak usia remaja bernama Kang Boon Ann. Kang Boon Ann merupakan seorang Cina Peranakan di Kelantan. Beliau meminati kesenian ini sejak kanak-kanak. Mengikutnya, beliau sering kali diajak oleh nenek menyaksikan persembahan wayang kulit sehingga timbul minat serta keinginan untuk mengetahuinya tentang seni wayang kulit.

Menginjak remaja dan dewasa, keterujaan beliau kepada wayang kulit begitu besar, malahan menubuhkan kumpulan wayang kulitnya sendiri, belajar dan berlatih tanpa jemu. Boon Ann bernasib baik apabila secara kebetulan bertemu Tok Dalang Dollah Baju Merah yang sanggup memberikan bimbingan kepadanya bukan sahaja dalam aspek pedalangan akan tetapi juga menghasilkan patung-patung wayang kulit.

Ketiga, diselitkan juga dalam buku ini teknik serta kaedah menghasilkan patung-patung wayang kulit sendiri sebagai pengetahuan asas yang berguna. Boon Ann dilihat Dollah sedang terkial-kial menghasilkan patung wayang kulit awal perkenalan mereka lalu membawa peralatan, menunjuk ajar dan menurunkan ilmu kepadanya sehingga mahir. Jasa Dollah Baju Merah kepada Boon Ann sangatlah besar.

Sebagai tanda ingatan, kenangan dan keakraban mereka, Dollah meninggalkan kepadanya peralatan muzik wayang kulit, patung-patung wayang kulit gubahan Dollah Baju Merah sendiri sebelum beliau meninggal dunia, dan lebih penting semangat tinggi serta kecintaan mendalamnya kepada wayang kulit yang sentiasa ditunjukkan bagai dicurahkan setiapnya kepada Boon Ann untuk diwarisi yang kini meniti usia bergelar Tok Dalang Che Ann.

Menurut Dr. Lim Swee Tin, kesenian wayang kulit merupakan kesenian tradisional yang terkenal di negeri Kelantan. Kelantan melahirkan sangat banyak tok dalang yang hebat dan terkemuka. Selain Dollah Baju Merah, Seniman Negara yang pertama (1993) Tok Dalang Hamzah Awang Amat juga berasal dari negeri Kelantan.

Tok Dalang yang paling muda, berusia lapan tahun.

Pembentangan Dr. Lim Swee Tin turut diiringi oleh persembahan wayang kulit yang diselang seli dengan persembahan muzik bertabuh, persembahan tok dalang dan persembahan jenaka wak long dan pak dogo yang diiringi oleh kumpulan pemuzik yang dipanggil panjak. Yang lebih memeranjatkan, Tok Dalang dalam persembahan wayang kulit ini adalah yang termuda usianya, iaitu lapan tahun.

Pada akhir pembentangan, Dr. Lim Swee Tin turut mengemukakan pertanyaan kepada penonton bahawa wayang kulit Kelantan merupakan warisan kesenian yang luar biasa. Justeru, siapakah yang akan mewarisinya? Pada masa yang sama, Dr. Lim Swee Tin dengan yakin mempertahankan bahawa wayang kulit kita, wayang kulit Kelantan terutamanya merupakan warisan kita yang sebenar dan sejati kerana terdapat perbezaan yang banyak jika dibandingkan wayang kulit negara-negara lain.

Kesimpulannya, buku DSKWKTDCA yang ditulis oleh Dr. Lim Swee Tin dan Lily Ang merupakan satu khazanah berharga kesenian tradisional warisan bangsa yang wajar dimiliki oleh masyarakat sebagai bahan bacaan dan bahan ilmu yang amat bernilai.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.