Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangWayang kulit yang kita kenal merupakan satu seni budaya yang dikategorikan dalam teater tradisional. Wayang kulit merupakan satu aktiviti melahirkan bayangan menggunakan cahaya dalam bentuk patung ke atas kelir yang berada di panggung khas oleh seorang tok dalang.
Perkara yang perlu dititikberatkan oleh individu sewaktu melaksanakan sesebuah persembahan wayang kulit ialah bentuk dan saiz patung, cara gerakan patung dan iringan muzik yang akan digunakan. Budaya ini juga dilihat sering menggunakan watak-watak bersifat fantasi dan metodologi ketika membina imej bayang. Perkara ini dapat diperhatikan melalui watak dalam cerita Maharaja Wana, iaitu Sri Rama yang dianggap sebagai fantasi.
Budaya wayang kulit dapat dilihat di pelbagai tempat seperti Malaysia dan Indonesia. Hal ini telah membawa kepada kepelbagaian bentuk wayang kulit mengikut negeri dan negara. Terdapat empat jenis wayang kulit di Malaysia seperti Wayang Siam dan Wayang Melayu dari Kelantan, Wayang Gedek dari Kedah serta Wayang Jawa dari Johor. Keempat-empat wayang kulit ini berada di pelbagai negeri di Malaysia dan mencerminkan kepelbagaian jenis wayang kulit walaupun kesemua wayang kulit tersebut adalah budaya seni yang sama.
Seni budaya wayang kulit dibawa dari India sewaktu berlaku penyebaran agama Hindu ke negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia dan Indonesia. Pada awalnya, budaya ini sering dipersembahkan dalam upacara agama, namun kini budaya wayang kulit di Malaysia telah bertukar fungsinya kepada alat pendidikan dan penerangan dalam seni budaya tradisional.
Hal ini menunjukkan bahawa wayang kulit tidak lagi berfungsi sebagai wadah hiburan sahaja, bahkan sebagai saluran untuk mendidik masyarakat berkenaan nilai, norma dan kepercayaan. Walaupun perubahan arah budaya ini telah dilakukan, namun budaya ini tidak lagi menjadi perhatian dan ditelan arus zaman kerana faktor-faktor yang akan diterangkan.
Pengharaman wayang kulit yang berlaku di Kelantan telah menyebabkan kemunduran budaya ini di Malaysia. Tindakan pengharaman wayang kulit dilakukan menerusi sekatan pengeluaran permit kepada tok dalang untuk membuat persembahan secara umum seperti persembahan majlis keraian, namun pengecualian sekatan diberikan sekiranya persembahan bagi premis Gelanggang Seni dilakukan. Walau bagaimanapun, golongan tok dalang masih boleh melakukan persembahan wayang kulit di rumah persendirian.
Hal ini menyebabkan penurunan penglibatan tok dalang dalam persembahan wayang kulit. Walaupun terdapat pengecualian bagi pengharaman tersebut, persembahan yang dijalankan tidak boleh menggunakan cerita asal wayang kulit tradisional seperti cerita kitab Mahabharata dan Ramayana. Hal ini kerana cerita sebegini mengandungi unsur agama Hindu kerana asal usulnya dari India dan penyebaran budaya ini selari dengan peluasan agama Hindu. Perkara ini telah menyebabkan wayang kulit tradisional ini semakin dilupakan oleh masyarakat.
Persembahan wayang kulit yang dibenarkan adalah melibatkan cerita seperti kehidupan harian masyarakat dan pengajaran. Perkara ini telah meninggalkan anggapan bahawa Islam mengharamkan penggunaan figura manusia dan jalan cerita yang bersifat fantasi dalam diri masyarakat sehingga menyebabkan mereka tidak lagi melihat budaya ini sebagai satu seni. Perubahan genre wayang kulit telah menyebabkan masyarakat era ini semakin tidak mengenali wayang kulit tradisional sehingga menyebabkan budaya tersebut hilang ditelan arus perubahan zaman.
Kini wayang kulit tradisional mempunyai signifikan yang kecil sebagai satu bentuk hiburan di kawasan Pantai Barat Malaysia yang telah mengalami urbanisasi berbanding dengan kawasan pedalaman. Hal ini kerana generasi muda tidak lagi berminat untuk menceburi dan melihat persembahan wayang kulit. Perkara ini dapat dilihat menerusi jumlah yang semakin berkurangan dalam penglibatan pengamal, cendekiawan dan pengkaji dalam merungkai budaya ini. Generasi kini tidak mengambil serius berkenaan budaya ini dan mengamalkan sikap tidak ambil tahu tentang kepentingan budaya wayang kulit sehingga menyebabkan kelunturan nilai budaya tersebut di Malaysia.
Hal ini berlaku kerana proses modenisasi yang berlaku secara global menerusi penciptaan teknologi seperti televisyen dan telefon pintar yang menyebabkan generasi kini mempunyai medium hiburan lain. Mereka tidak lagi berminat menonton watak-watak tradisional seperti Seri Rama atau Arjuna, sebaliknya lebih menumpukan perhatian terhadap watak-watak moden dalam drama atau teater muzikal seperti SpongeBob yang kebiasaannya disiarkan di televisyen. Medium modenisasi lebih mudah untuk diakses dan tidak memerlukan generasi muda untuk bergerak ke premis tertentu berbanding persembahan wayang kulit. Hal ini turut menghilangkan minat generasi muda terhadap budaya seni ini.
Kehilangan minat generasi muda dalam mendalami budaya ini turut disebabkan oleh kekurangan dalam pendedahan budaya ini terutamanya di Malaysia. Hal ini berlaku apabila kerajaan Malaysia tidak mengutamakan agenda perkembangan budaya seperti wayang kulit selepas mendapat kemerdekaan pada tahun 1957 apabila kurang usaha serta inisiatif yang dilakukan bagi menyemarakkan kembali budaya tersebut. Hal ini berlaku kerana fokus pembangunan negara ketika itu lebih tertumpu kepada sektor ekonomi dan politik bagi membangunkan semula negara.
Pengabaian terhadap sektor budaya ini sehingga tiada usaha untuk memeliharanya telah mengakibatkan budaya tradisional seperti wayang kulit semakin merudum selepas 20 tahun Malaysia merdeka. Hal ini menyebabkan generasi muda tidak mendapat pendedahan berkenaan budaya kesenian wayang kulit yang membawa kepada penghakisan minat mereka terhadap budaya ini. Justeru, mendatangkan kemunduran terhadap budaya ini kerana kekurangan penyambung legasi budaya ini.
Pemodenan wayang kulit dapat disimpulkan sebagai satu daripada punca kemerosotan wayang kulit. Pemodenan ini berlaku apabila wayang kulit mula dijadikan sebagai animasi dan berlaku perubahan watak serta jalan cerita sewaktu mencipta animasi tersebut. Pemodenan wayang kulit kepada bentuk animasi dilakukan dengan menggunakan ilmu pengetahuan teknologi serta aplikasi yang dapat mencipta watak secara dua dimensi (2D) dan tiga dimensi (3D).
Rentetan itu, pemodenan wayang kulit telah mengakibatkan berlaku penurunan dalam pembinaan patung wayang kulit secara fizikal sehingga menyebabkan kelunturan nilai budaya tradisional. Penumpuan watak yang digunakan tidak lagi melibatkan watak tradisional, sebaliknya watak figura seperti Wok Yoh, Samad dan Said yang dijadikan bahan gurauan dalam animasi serta persembahan wayang kulit. Jalan cerita yang diketengahkan juga lebih tertumpu kepada cerita tentang kehidupan masyarakat yang menyebabkan masyarakat lebih cenderung melihat wayang kulit moden berbanding wayang kulit tradisional.
Pemodenan wayang kulit ini pada dasarnya merupakan satu inisiatif yang dilaksanakan bagi memulihara dan mengekalkan budaya wayang kulit di Malaysia sebagai pendedahan kepada generasi akan datang. Hal ini adalah perkara yang baik, namun penukaran jalan cerita serta watak yang dipaparkan kerana isu pertentangan nilai agama telah menyebabkan kelunturan wayang kulit tradisional. Natijahnya, generasi kini dan generasi akan datang hanya mengetahui wayang kulit dalam bentuk yang moden sahaja.
Isu ini menjadi kerisauan kepada tok dalang kerana kemungkinan yang muncul berkaitan kelenyapan wayang kulit tradisional di Malaysia terutamanya dalam bentuk persembahan langsung kepada penonton. Kemungkinan yang diperkatakan sudah dapat dilihat kerana kebanyakan anak muda tidak lagi mengetahui berkenaan wayang kulit tradisional yang asal.
Kesimpulannya, budaya wayang kulit semakin ditelan zaman kerana beberapa faktor, iaitu pengharaman persembahan wayang kulit di Kelantan sehingga menyebabkan kesukaran untuk masyarakat melihat persembahan wayang kulit. Selain itu, kemunduran ini juga berlaku kerana kekurangan minat dalam kalangan generasi muda terhadap budaya ini dan perkara ini berlaku kerana kurang pendedahan serta modenisasi global yang berlaku. Seterusnya, pemodenan wayang kulit yang melunturkan ciri-ciri wayang kulit tradisional sehingga menyebabkan masyarakat tidak mengenali jenis wayang kulit lagi. Setiap faktor di atas membawa kepada kelunturan wayang kulit tradisional.