4 Julai 2022, 12:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Istana Budaya (IB) ialah pusat kecemerlangan seni yang berupaya menyediakan bakat dan kepakaran tenaga kreatif untuk merealisasikan apa-apa sahaja bentuk persembahan terutamanya tari, muzik dan teater.

Sambutan yang memberangsangkan daripada para peminat seni tanah air terhadap program tari seperti Corak Pentas Malaysia (Malaysian Floor Pattern), dan persembahan muzik, antaranya Pesta Muzik Gamelan Sedunia dan Konsert OTM Malaysian Diversity, telah mencetuskan idea untuk mementaskan persembahan yang berkonsepkan penciptaan muzik dan koreografi tari pula pada tahun ini. Persembahan tersebut yang diberikan judul Sulur Nakasari, akan dipentaskan pada 23 dan 24 Julai 2022, bermula pada pukul 8.30 malam di Panggung Sari, IB.

Sulur mewakili seni tari yang bakal menampilkan keunikan identiti negeri-negeri di Malaysia, sementara Nakasari pula mengambil unsur gabungan etnik tradisional Malaysia dengan irama muzik dunia yang kaya dengan pelbagai rentak.

Sulur Nakasari dianggap sebagai judul yang unik bagi sebuah pementasan yang bertujuan untuk memberikan pendedahan, memupuk minat dan meningkatkan aspirasi masyarakat terhadap pementasan seni tari serta gubahan muzik yang baharu dan tersendiri.

Program ini melibatkan persembahan 16 gubahan lagu baharu oleh pemuzik-pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia (OTM). Sepuluh daripadanya akan diiringi dengan 10 reka cipta koreografi tari oleh koreografer senior IB. Lagu-lagu yang selebihnya akan dimainkan tanpa iringan tarian.

Antara komposer yang terlibat ialah Rosli Abu Bakar yang mencipta lagu Rentak Berentak, dengan koreografernya Sharifah Raha Syed Mustafa; Shamsul Zin (lagu Puteri Gunung Emas dan koreografernya, Hanipah Hairi), Radzi Rosli (Jeraus/Samsuraya Sulaiman); Zamzahardi Mohamad Zambrin (Bakarano/Abdul Mutalif Abu Bakar), dan Nik Nizam Jaafar (Perahu 12/tanpa koreografer). Mohd. Fikri mencipta tiga buah lagu, iaitu Ukhuwah dengan koreografernya, Saifful Hirman Mohd. Sofian, serta Prakasa dan Putar tanpa koreografi.

Shahwal Hussin, dan Noor Leyzam Ali pula masing-masing menghasilkan dua buah lagu. Shahwal mencipta Joget Cemara Sukacinta dengan koreografi oleh Azman Abu Bakar dan Dimosi. Noor Leyzam menghasilkan Sa Rung dengan koreografi oleh Khalid Mohamad Nor, dan Mulik (Pulang) tanpa koreografi. Konduktor OTM, Mohd. Yazid Zakaria sendiri mencipta dua buah lagu, iaitu Galang Baiduri dengan Zainal Abidin Bujang sebagai koreografer dan Daya Tari Ritma (Rudy De Luna).

Tiket boleh didapatkan di laman sesawang Istana Budaya bermula pada 4 Julai 2022, dan di Kaunter Box Office bermula pada 18 Julai 2022, dari pukul 10.00 pagi hingga 4.30 petang. Jika ada sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, hubungi Bahagian Pemasaran dan Pengurusan Panggung menerusi talian 03-4026 5555/5546/5553.

Orang ramai yang ingin menonton persembahan ini perlu lengkap divaksin, memakai pelitup muka sepanjang persembahan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara, serta peraturan sedia ada di IB. Kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas dibenarkan menonton dengan syarat ditemani oleh ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap vaksinasi. Pihak IB berhak menghalang orang ramai yang bergejala dan tidak mematuhi SOP daripada memasuki premis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.