Oleh Avatar photo Mubarak Ismail
25 Februari 2023, 10:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Konsert Diraja Kementerian Pendidikan Malaysia 2023 (KDRKPM 2023) yang bertemakan “Mulanya di Sini … Cerita Cinta” diadakan bermula pada 24 Februari 2023 hingga 26 Februari 2023, pukul 8.30 malam hingga 11.00 malam di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.

KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (tengah) bersama-sama barisan tetamu kehormat yang lain sewaktu menghadiri Konsert Diraja Kementerian Pendidikan Malaysia 2023 di Istana Budaya.

Matlamat dan objektif konsert ini diadakan adalah sebagai lambang taat setia dan menjunjung kasih warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda (KDYMM SPB) Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

KDRKPM 2023 yang dianjurkan oleh KPM dengan kerjasama Istana Budaya turut dimeriahkan dengan kehadiran KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj; Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Siddiq; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato’ Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin Haji Ghazali dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Dr. Hazami Jahari.

Penganjuran KDRKPM 2023 memberikan ruang dan peluang kepada murid dan guru untuk mempamerkan bakat dan potensi diri mereka menerusi seni persembahan yang merangkumi seni visual, muzik, tarian dan teater. Persembahan ini juga menggabungkan secara harmonis elemen muzik tradisional dan muzik kontemporari serantau serta dunia.

KDYMM SPB Raja Permaisuri Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bergambar bersama-sama pelajar yang membuat persembahan bersempena dengan Konsert Diraja Kementerian Pendidikan Malaysia 2023.

KDRKPM 2023 juga menzahirkan persembahan hasil gabungan seni muzik dan kesenian daripada pelbagai genre sebagai santapan jiwa. Kombinasi elemen tradisional dan moden dalam muzik berjaya ditonjolkan dalam konsert ini menerusi latihan yang intensif dan disiplin diri yang kental. Hal ini menjadi tunjang KDRKPM 2023 dapat direalisasikan dengan jayanya pada tahun ini.

Di samping itu, KDRKPM 2023 turut menggabungkan persembahan muzik orkestra dan lagu menerusi pelbagai genre merentas zaman, nyanyian, tarian serta sisipan teater sebagai elemen jalinan penceritaan konsert mengikut segmen. Sebahagian lagu yang dipersembahkan juga merupakan gubahan semula dan diberi nafas baharu untuk mendapatkan kesan yang berkualiti serta menjalinkan rasa persaudaraan dalam kalangan warga penghibur. Bahkan, KDRKPM 2023 diilhamkan sejajar dengan hasrat untuk mewujudkan Malaysia MADANI yang kaya dengan budaya, warisan dan kesenian yang luhur serta beridentiti.

Elemen “Cinta” yang digambarkan menerusi KDRKPM 2023 pula merupakan kisah cinta yang meliputi seluruh batas kehidupan termasuklah cinta kepada Yang Maha Esa, keluarga, sahabat, negara, masyarakat dan cinta antara dua insan. Kemuncak kepada tema ini dapat dilihat menerusi garapan segmen “1000 Wajah” yang menggambarkan kisah warga KPM khususnya guru dan murid sewaktu mengharungi cabaran dan dugaan pandemik COVID-19, banjir besar, ribut serta pengorbanan murid dan guru di kawasan pedalaman.

KDRKPM 2023 dijayakan oleh 248 orang jawatankuasa produksi yang terbahagi kepada enam pasukan merangkumi pengurusan, teknikal, muzik, teater, tarian dan vokal. Sesi pemilihan bagi pemuzik, penyanyi, penari dan pelakon diadakan mengikut zon di seluruh negara bermula pada 29 Mac hingga 20 Julai 2022. Selain itu, KDRKPM 2023 turut dimeriahkan dengan penampilan istimewa daripada artis terkenal tanah air seperti YBhg. Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tarudin, YBhg. Dato’ Wan Aishah Wan Ariffin dan Noraniza Idris.

YBhg. Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tarudin membuat penampilan istimewa bersempena dengan Konsert Diraja Kementerian Pendidikan Malaysia 2023.
YBhg. Dato’ Wan Aishah Wan Ariffin mendendangkan lagu Janji Manismu dengan penuh penghayatan.
Noraniza Idris menyampaikan lagu genre muzik etnik kreatif yang penuh bertenaga.

Semoga penganjuran KDRKPM 2023 dapat memberikan impak positif kepada warga KPM khususnya kepada pelajar yang bakal mewarisi kepemimpinan negara dengan menyediakan platform berprestij untuk menzahirkan rasa penghargaan dan kasih sayang kepada institusi diraja dan negara selain memanfaatkan bakat pelajar dalam pelbagai bidang demi masa hadapan mereka yang lebih cemerlang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.