Oleh Mubarak Ismail
21 Julai 2022, 20:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis perasmian Festival Antarabangsa Silat Warisan Dunia yang berlangsung pada 21 hingga 24 Julai 2022 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur menjadi penanda aras dalam usaha memartabatkan seni silat sebagai warisan dunia dan wasilah mengangkat serta mempromosi bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa.

Festival ini dianjurkan oleh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), DBP dan Silat Seni Asia serta dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd. Ali Mohd. Rustam selaku Penaung Seumur Hidup Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA).

Terdapat pelbagai program yang diadakan sepanjang festival ini berlangsung. Antaranya termasuklah pertandingan silat seni terbuka, bengkel pembuatan tanjak, gendang silat dan senjata tradisional, Seminar Antarabangsa Silat Warisan Dunia, pameran silat dan gerai-gerai jualan.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dalam ucapan alu-aluannya, penganjuran festival ini menyokong kepada gagasan dan hasrat Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia untuk mengangkat bahasa Melayu menjadi bahasa yang lebih ampuh dan berkesan sebagai wasilah tamadun negara dan pada masa yang sama melonjakkannya sebagai bahasa serantau dan bahasa antarabangsa yang akan digemilangkan semula.

Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Silat merupakan satu cabang ilmu mempertahankan diri merangkumi seni bela diri yang diamalkan orang Melayu sejak dari zaman dahulu lagi seperti yang terkandung dalam pelbagai teks Melayu klasik, iaitu dalam karya agung Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Patani dan beberapa karya agung lain. Selain itu, silat juga mempunyai falsafah tersendiri dengan beberapa unsur yang melengkapkan silat sebagai satu warisan negara yang harus dipelihara dan dilindungi.

Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan turut berkata, dalam silat terkandung kearifan orang Melayu seperti pada alunan muzik silat, gerak seni atau tari silat, teknik bela diri, senjata, busana dan sebagainya. Kearifan dan kebijaksanaan orang Melayu dalam silat diturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain agar silat terus kekal dalam jiwa orang Melayu dan disampaikan secara lisan. Justeru, menjadi suatu kerugian apabila warisan khazanah negara yang berharga ini kurang didokumentasikan dengan baik kerana segala ilmu tentang silat ini milik, identiti serta jati diri masyarakat Melayu.

Dato’ Haji Md Sohaimi Mohamed Shah.

“Festival ini menghimpunkan para pemikir dan penggerak silat di peringkat antarabangsa untuk memberikan buah fikiran dan sudut pandang mereka melalui pengalaman dan pembelajaran bagi menyebarluaskan seni dan budaya silat ke seluruh dunia. Malaysia juga berjaya menghimpunkan beberapa nama besar meliputi tiga buah benua untuk menyertai pembentangan dalam seminar antarabangsa ini,” kata Timbalan Presiden PESAKA, Dato’ Haji Md Sohaimi Mohamed Shah dalam ucapan sambutannya.

Tambah beliau lagi, PESAKA juga menganjurkan Pertandingan Silat Seni Asli yang bertujuan untuk mengangkat seni, tradisi dan ilmu persilatan dalam bentuk persaingan kompetitif serta menggembleng usaha untuk menjadikan kategori silat seni asli popular dan setanding dengan silat olahraga.

Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin.

Manakala menurut Presiden PESAKA, Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin dalam ucaptamanya, rangkaian dan penerimaan yang baik oleh negara antarabangsa terhadap silat merupakan satu nilai tambah kepada Malaysia untuk mendokumentasikan khazanah negara dalam bahasa Melayu. Silat secara langsung dapat membantu mengembangkan bahasa Melayu melalui penggunaan dan pemilihan kata untuk mengungkapkan makna dalam silat. Pelbagai unsur dalam silat boleh dikupas dan diterbitkan untuk rujukan peminat silat atau ahli silat di rantau Asia Tenggara dan peringkat antarabangsa.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran dan Pengarah Festival Antarabangsa Silat Warisan Dunia, Encik Ahmad Fahmi Ahmad A. Domil.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.