5 September 2022, 09:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Lanchang – Seramai 42 pelajar Sekolah Kebangsaan Felda Bukit Damar, Lanchang, Pahang diberi pendedahan mengenai seni mempertahankan diri Silat Tarung Tapan Tiga sebagai antara seni warisan bela diri Melayu. Menurut Guru Besar SK Felda Bukit Damar, Ahmad Shakri Hamzah, bagi merealisasikan tujuan itu, sebuah kelab silat ditubuhkan bagi mencungkil bakat-bakat baharu dan memberi peluang kepada murid-murid untuk mewakili sekolah dalam pertandingan silat pada peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

“Pertubuhan Silat Tarung Tapan Tiga Malaysia ditubuhkan pada 24 Jun 2022 setelah beberapa perbincangan melibatkan pelbagai pihak kerana pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Felda Bukit Damar melihat potensi para pelajar sekolah ini dalam seni silat.

Selain itu, aktiviti kokurikulum ini mampu membina semangat waja, jati diri dan patriotik demi agama, bangsa dan negara melalui pelbagai disiplin silat yang diajar sepanjang sesi latihan dan pertandingan.

Kelab ini mendapat sokongan mantan guru besar, Saripah Maisarah Syed Zainal, penolong kanan kokurikulum, Khairulzaidi Daud dan Pengerusi Teknik Silat Sekolah-Sekolah Daerah Temerloh, Amien Syirwan Abd Rahman,” jelas Ahmad Shakri.

Silat Sebagai Kebitaraan SK Felda Bukit Damar

Ahmad Shakri Hamzah, Guru Besar SK Felda Bukit Damar.

Menurut Ahmad Shakri lagi, beliau memilih sukan silat sebagai kebitaraan atau aktiviti yang menjadi identiti SK Felda Bukit Damar seiring dengan konsep “Sekolahku Sejahtera” yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi melahirkan generasi muda yang hebat dan mampu bersaing dalam pelbagai lapangan, bukan sahaja di Malaysia, malah pada peringkat global.

SK Felda Bukit Damar Menyediakan Dua Orang Pelatih Silat

Guru penasihat merangkap Penolong Jurulatih Silat SK Felda Bukit Damar, Liza Juliana Mohd. Yasin dengan tegas berkata, walaupun usia kelab silat yang dikendalikannya masih setahun jagung, namun beberapa orang pelajar telah menunjukkan potensi yang tinggi untuk menyertai dan berjaya dalam pertandingan pada peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Penolong Jurulatih Silat SK Felda Bukit Damar, Liza Juliana Mohd. Yasin.

“Pertubuhan Silat Tarung Tapan Tiga Malaysia berjaya mengenal pasti beberapa pelajar yang boleh diketengahkan dalam pelbagai pertandingan silat. Pada pertandingan silat Kejuaraan Sirkit, 1 Sekolah 1 Silat Peringkat Negeri Pahang 2022, pelajar yang mewakili SK Felda Bukit Damar berjaya membawa pulang tiga pingat emas, tiga pingat perak dan tiga pingat gangsa.

Wakil pesilat perempuan, Nurlin Solehah Mohd. Shariman dinobatkan sebagai Pesilat Terbaik Kategori Puteri Bawah 12 Tahun. Selain itu, tiga orang pelajar Pertubuhan Silat Tarung Tapan Tiga Malaysia akan mewakili Pahang sempena Kejuaraan 1 Sekolah 1 Silat Peringkat Kebangsaan pada 30 September hingga 3 Oktober 2022 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor, Puncak Alam,” jelas Liza Juliana.

Selain Liza Juliana yang melatih pelajar perempuan, seorang lagi jurulatih, iaitu Mohd. Shariman Hamdan ditugaskan bagi melatih pelajar lelaki SK Felda Bukit Damar.

“Para ahli Pertubuhan Silat Tarung Tapan Tiga Malaysia berlatih sebanyak sekali dalam seminggu, iaitu pada setiap hari Khamis, bermula pada pukul 5.00 petang hingga 6.30 petang di Dewan Perdana, SK Felda Bukit Damar. Kekerapan latihan akan dipertingkatkan menjelang ketibaan hari pertandingan yang disertai oleh pesilat terbabit.

Pada setiap sesi latihan, para pelajar akan diberi pendedahan mengenai kemahiran ”Bela Diri Silat Tapan Tiga, Pengenalan Silat, Adab Silat dan Kemahiran Asas Silat” yang melibatkan pergerakan tumbukan, tendangan, tangkisan, kemahiran silat olahraga, kemahiran silat seni tari dan tempur,” terang Mohd. Shariman.

Sukan Silat Mampu Tingkat Disiplin Diri

Putera Adam Khuzaimi, Pengerusi Pertubuhan Silat Tarung Tapan Tiga Malaysia SK Felda Bukit Damar menjelaskan bahawa penglibatan beliau dan murid-murid sekolah berkenaan dalam sukan silat dapat mendisiplinkan diri mereka.

Putera Adam Khuzaimi, Pengerusi Pertubuhan Silat Tarung Tapan Tiga Malaysia.

“Kami perlu gigih berlatih setiap minggu dan menguasai ketangkasan pergerakan silat yang diajar oleh jurulatih. Dalam sukan silat, selain disiplin, minat dan kesungguhan perlu seiring agar mampu menyekat pergerakan musuh atau lawan dalam pertandingan silat yang kami sertai,” jelas Putera Adam.

Manakala Penolong Pengerusi Pertubuhan Silat Tarung Tapan Tiga Malaysia, SK Felda Bukit Damar, Nurlin Solehah Mohd. Shariman menegaskan bahawa penglibatannya dalam sukan silat kerana minat dan galakan ibu bapa.

“Ibu dan bapa saya menggalakkan saya terlibat dalam sukan ini, Mereka amat berbangga dengan pencapaian saya, lebih-lebih lagi apabila saya terpilih sebagai Pesilat Terbaik Kategori Puteri Bawah 12 Tahun baru-baru ini. Saya mahu pergi lebih jauh dan mengimpikan gelaran pesilat profesional serta menyertai lebih banyak pertandingan silat pada pelbagai peringkat khususnya peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” jelas Nurlin Solehah.

Barisan pesilat cilik daripada SK Felda Bukit Damar yang menjadi kebangaan warga Bukit Damar, Lanchang, Pahang.

Untuk rekod, pesilat SK Felda Bukit Damar berjaya membawa pulang satu pingat perak dan satu pingat gangsa sempena Kejuaraan 1 Sekolah 1 Silat Peringkat Kebangsaan 2021 serta tiga pingat emas, dua pingat perak dan satu pingat gangsa sempena Kejuaraan 1 Sekolah 1 Silat, Peringkat Negeri Pahang 2021.

Manakala pada Kejuaraan Silat Olahraga Jemputan Kebangsaan kali ke-3 anjuran Pertubuhan Silat Cekak Harimau Malaysia (PSCHM) 2021, pesilat SK Felda Bukit Damar berjaya membawa pulang satu pingat emas dan satu pingat perak. Meneruskan kecemerlangan, pesilat sekolah ini juga berjaya menggondol pingat gangsa sempena Cabaran Pencak Silat Peringkat Negeri Pahang 2021.

Para pesilat SK Felda Bukit Damar.

Mengulas tentang harapan dan perancangan masa depan, Ahmad Shakri mahu melihat para pelajar yang cemerlang dalam sukan persilatan ini bukan sahaja dapat mengharumkan nama SK Felda Bukit Damar, bahkan beliau mampu menyertai pertandingan yang lebih besar apabila meninggalkan sekolah berkenaan.

“Kami menyediakan platform terawal sebelum para pelajar ini memasuki alam persekolahan peringkat menengah, kolej dan universiti. Saya berharap ada antara mereka mampu bergelar pesilat negara dan mengharumkan nama Malaysia pada pertandingan silat berprestij. Usaha ini ibarat melentur buluh, biarlah dari rebungnya,” ujar Ahmad Shakri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.