Oleh Mubarak Ismail
9 Ogos 2022, 16:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Majlis Perasmian Penutupan Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Siri 31 Bil. 3 Tahun 2022 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berlangsung pada 09 Ogos 2022 (Selasa) di Auditorium Kompleks E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya menjadi penanda aras dalam usaha mewujudkan dan memantapkan integriti warga KPM berpaksikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Majlis perasmian penutupan ini dianjurkan oleh Unit Integriti, KPM dengan kerjasama Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan dirasmikan oleh Yang Berhormat (YB) Datuk Mohamad Haji Alamin selaku Timbalan Menteri Pendidikan II Malaysia.

Menurut Datuk Mohamad Haji Alamin, KPM merupakan kementerian yang pertama di Malaysia yang melaksanakan kursus ini secara berkelompok (in- house) khusus untuk para pegawai KPM. Hal ini menunjukkan keseriusan KPM dalam menangani isu-isu integriti, salah guna kuasa dan risiko rasuah pada peringkat kementerian.

Datuk Mohamad Haji Alamin ketika sedang berucap.

Datuk Mohamad Haji Alamin berkata, Sektor Integriti (SI) ditubuhkan pada peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan lantikan pegawai khusus dibuat di setiap bahagian bagi membantu Unit Integriti (UI) dalam penyelarasan pengurusan aduan, tindakan pengesahan dan pengesanan serta proses tatatertib.

Tambah Datuk Mohamad Haji Alamin lagi, amat penting pengurusan ekosistem dan tadbir urus pendidikan negara ini dapat dilaksanakan secara telus dan berintegriti. Sekiranya setiap peruntukan yang dipertanggungjawabkan dapat diuruskan dengan baik dan berintegriti tanpa sebarang ketirisan, maka tidak mustahil sistem pendidikan negara mampu mencapai dan berada setaraf dengan negara-negara maju.

Justeru, bagi mencorakkan satu sistem yang kukuh dan telus, kita memerlukan individu-individu yang berintegriti tinggi bagi menggerakkan usaha transformasi supaya perkara yang diaspirasikan dapat dilaksanakan seperti yang direncanakan.

Menurut Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Dato’ Haji Idris Zaharudin, seramai 331 peserta Program CeIO Awam, GLC dan Swasta yang menjalani program ini sejak tahun 2019 dan 2020 telah diluluskan pentauliahan pada tahun 2021 dan seramai 316 orang peserta juga bakal ditauliahkan pada bulan September 2022 ini. Justeru, seramai 647 orang peserta dijangka akan menerima sijil pentauliahan pada majlis Konvokesyen CeIO pada bulan Oktober tahun ini.

“KPM telah mencipta sejarah dengan menjadi kementerian yang pertama melaksanakan program CeIO secara “in house” bersama dengan MACA yang melibatkan seramai 57 orang pegawai kanan. Hal ini menunjukkan KPM komited dalam memartabatkan nilai integriti khususnya kepada warga KPM. Program CeIO ini dilihat selari dengan visi dan misi KPM untuk membangunkan potensi individu bagi melahirkan insan terdidik,” jelas Dato’ Haji Idris Zaharudin.

Dato’ Haji Idris Zaharudin sedang menyampaikan ucapan alu-aluan.

Dato’ Haji Idris Zaharudin turut berkata, pelaksanaan Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) juga mendedahkan para peserta dengan modul-modul berkaitan pengurusan integriti, perundangan dan peraturan, pematuhan dan pemantauan dan pengurusan risiko rasuah.

Di samping itu, para peserta juga perlu melaksanakan Enhancing Integrity Project (EIP), iaitu suatu projek berkaitan pembudayaan integriti yang dikendalikan sepenuhnya oleh para peserta program CeIO berdasarkan kreativiti dan inovasi yang melibatkan kolaborasi strategik pelbagai pihak. Program EIP ini merupakan pra syarat utama peserta CeIO untuk melayakkan diri mereka ditauliahkan sebagai Pegawai Integriti Bertauliah oleh Lembaga Pengiktirafan Pegawai Integriti Bertauliah (LPPIB).

Satu langkah penting bagi KPM adalah meletakkan pegawai-pegawai yang bakal ditauliahkan sebagai CeIO menjadi “mata dan telinga” dalam memastikan pengurusan perolehan dan pembangunan yang dilaksanakan ditadbir dengan baik untuk mengurangkan risiko berlakunya ketirisan. Oleh sebab itu, menjadi keperluan bagi KPM untuk meningkatkan peranan 57 pegawai yang lahir daripada program CeIO ini sebagai ejen untuk memperkasakan peningkatan integriti, ketirisan dan pencegahan rasuah.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Setiausaha KPM, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato’ Hj. Pkharuddin Hj. Ghazali.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!