29 September 2022, 23:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Bersempena dengan sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) dan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) Sektor Sosial 2022, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Ensiklopedia dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menganjurkan Karnival Bahasa Jiwa Bangsa pada 27 hingga 29 September 2022 yang bertempat di Menara KBS, Putrajaya.

DBK adalah gagasan bagi memastikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang menjadi pilihan utama rakyat Malaysia serta menjadi satu daripada bahasa utama dunia. DMK pula bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara membaca dalam tempoh masa 10 tahun, iaitu dari tahun 2020 hingga tahun 2030 dan seterusnya melahirkan masyarakat berilmu bertaraf dunia menjelang tahun 2030.

Perasmian Karnival Bahasa Jiwa Bangsa ini disempurnakan oleh Dato’ Jana Santhitan Muniayan, Ketua Setiausaha KBS. Turut hadir bagi menyerikan majlis perasmian karnival ini ialah Tuan Haji Abd. Halim Haji Harun, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP; Encik Richard Barahim, Setiausaha Bahagian (SUB) Bahagian Khidmat Pengurusan KBS dan Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP.

Tuan Haji Abd Halim Haji Harun, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Dewan Bahasa dan Pustaka menyampaikan ucapan alu-aluan.

Antara inti pati ucapan Dato’ Jana Santhitan Muniayan adalah KBS sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab terhadap belia dan sukan di Malaysia akan terus memastikan bahasa kebangsaan terus dimartabatkan dan budaya membaca akan terus diterapkan kepada golongan sasar kementerian ini, iaitu golongan muda dan atlet. Beliau dan tetamu kenamaan yang hadir turut merasmikan pelepasan para peserta bagi Pertandingan Eksplorasi Bahasa di lobi Menara KBS.

Antara pengisian Karnival Bahasa Jiwa Bangsa ini adalah pertandingan berkaitan pengetahuan bahasa dan budaya membaca serta program Bicara Santai. Sebanyak tiga pertandingan diadakan sepanjang tiga hari karnival ini berlangsung, iaitu Pertandingan Eksplorasi Bahasa, Pertandingan Pintar Eja dan Pertandingan Pengacaraan Majlis. Objektif utama pertandingan yang dianjurkan ini adalah bagi menerapkan semangat cinta terhadap bahasa kebangsaan dan menyemai amalan membaca, khususnya kepada warga KBS bertepatan dengan sambutan DBK dan DMK bagi tahun 2022 ini.

Di samping itu, pertandingan ini diadakan bagi menguji tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan warga KBS serta mencungkil bakat baharu berkaitan bahasa, khususnya dalam bidang pengacaraan majlis. Sambutan yang menggalakkan daripada warga KBS serta agensi di bawahnya terhadap ketiga-tiga pertandingan yang dianjurkan membuktikan keazaman dan tekad kementerian ini untuk terus mendaulatkan bahasa Melayu.

Karnival Bahasa Jiwa Bangsa turut disemarakkan lagi dengan program Santai Bahasa yang bertajuk Pengaruh Media Sosial: Terpinggirkah Bahasa Kita? yang menampilkan Dr. Mohd Ghazali Taib, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Institut Perguruan Kampus Bahasa Antarabangsa, Kuala Lumpur sebagai panel. Dalam program tersebut, Dr. Mohd Ghazali menjelaskan etika penggunaan bahasa sebagai perlambangan diri dalam media sosial serta ciri-ciri bahasa. Menurut Dr. Mohd Ghazali, bahasa berfungsi sebagai alat komunikasi, pemikiran dan pelarasan tingkah laku. Selain itu, pameran oleh Muzium Diraja dan DBP serta jualan buku oleh Ujana DBP turut berlangsung di ruang legar Menara KBS.

Para pemenang pertandingan Karnival Bahasa Jiwa Bangsa bergambar dengan hadiah yang diterima.

Karnival Bahasa Jiwa Bangsa melabuhkan tirai dengan majlis penutupan dan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan. Encik Abdullah Hasan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS dalam ucapan penutup Karnival Bahasa Jiwa Bangsa menyeru masyarakat, khususnya warga KBS agar terus memberi sepenuh komitmen dalam memartabatkan bahasa kebangsaan. Beliau juga menasihati warga KBS agar menggunakan bahasa Melayu dengan laras bahasa yang betul dalam semua urusan rasmi seperti mesyuarat, penulisan surat serta memo rasmi. Tambah beliau lagi, penggunaan bahasa sama ada dalam penulisan mahupun pertuturan melambangkan imej diri dan organisasi yang diwakili.

Turut hadir dalam majlis penutupan dan penyampaian hadiah tersebut ialah Tuan Haji Md Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP; Encik Richard Barahim, SUB Bahagian Khidmat Pengurusan KBS; Puan Wardati Md Sheriff, Ketua Bahagian Ensiklopedia DBP dan Encik Nik Aman Nik Yusoff, Ketua Pusat Dokumentasi Melayu DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.