24 Februari 2023, 16:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Young Art Entrepreneurs (YAE!) sekali lagi diteruskan pada tahun ini anjuran Balai Seni Negara dalam usaha untuk melengkapkan pengetahuan dan kemahiran pelukis muda menjadi usahawan seni yang berdaya saing. Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, kemuncak kepada program ini adalah sebuah pameran produk seni yang memaparkan hasil usaha 16 peserta program YAE! Showcase 2023 Kohort ke-7.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Mohd Yusri Mohd Yusoff mengunjungi pameran produk seni para peserta program YAE! Showcase 2023 Kohort ke-7.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Mohd Yusri Mohd Yusoff berkata, seramai 130 orang graduan telah berjaya dilahirkan daripada program YAE! hingga kini dengan pendapatan keseluruhan mencecah sebanyak RM1.5 juta dari tahun 2017 hingga tahun 2022.

“Program ini diwujudkan menerusi inisiatif Balai Seni Negara untuk membantu golongan muda berkreatif dalam mengembangkan dan menghasilkan hasil seni kreatif dengan lebih mantap dan berkesan,” ujar Mohd Yusri sewaktu berucap dalam Majlis Perasmian YAE! Showcase 2023 Kohort ke-7 baru-baru ini.

Menurut Mohd Yusri, sebanyak tujuh kohort telah dilaksanakan oleh program ini hingga tahun 2022 dan para graduan dilihat mampu berdaya saing dalam dunia keusahawanan. Selain itu, jumlah pendapatan keseluruhan program YAE! Showcase 2023 Kohort ke-7 ialah sebanyak RM151 853 menerusi penglibatan dalam pelbagai acara kesenian seperti The Godown Arts Market, Festival Permainan Malaysia, Program Boot Camp YAE! Tasik Kenyir, Program Komuniti Simunjan dan lain-lain lagi.

“Inisiatif YAE! memberi galakan kepada para peserta untuk mempraktikkan segala ilmu yang diperoleh, membuat jaringan profesional, membentuk persekitaran dinamik dalam perniagaan dan menitikberatkan unsur bantu-membantu dalam memajukan prospek keusahawanan,” kata Mohd Yusri.

Mohd Yusri turut menyatakan bahawa menerusi latihan intensif selama empat bulan, para peserta dapat meneroka peluang dalam pasaran domestik sehingga ke peringkat antarabangsa. Selain itu, pendekatan YAE! pada tahun 2023 juga akan menumpukan kepada tiga elemen penting, iaitu peluang pekerjaan, jaringan kerjasama dan generasi berpendapatan.

“Cetusan usaha ini juga dapat memacu kepada pembangunan Malaysia Madani menerusi salah satu tonggaknya, iaitu kemampanan terutamanya dalam aspek mengukuhkan kreativiti dan ekonomi serta menyerlahkan kepelbagaian daya cipta dengan lebih yakin dan berinovasi,” jelas Mohd Yusri.

Mohd Yusri turut berkata bahawa segala tindakan dalam mencapai kejayaan dan bergelar usahawan seni tidak hanya terhad kepada kaedah konvensional, bahkan dapat dicapai menerusi pendekatan transformasi digital data raya agar lebih ke hadapan dan berdaya saing dengan negara luar.

Majlis Perasmian YAE! Showcase 2023 Kohort ke-7 ini juga disiarkan secara dalam talian menerusi laman Facebook Balai Seni Negara, https://www.facebook.com/nationalartgallerymalaysia/videos/732677145106791.

YAE! Showcase 2023 yang bertemakan “Engage, Enlighten and Connect” boleh dikunjungi bermula 17 Februari hingga 26 Februari 2023 dari jam 11.00 pagi hingga 8.00 malam bertempat di Tingkat 2, GMBB, Kuala Lumpur.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.