10 Mei 2023, 16:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Balai Seni Negara (BSN), serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bersama-sama Kedutaan Besar Republik Korea di Malaysia, Komuniti Seni Batu Belah, Universiti Malaya, Akademi Pengajian Korea, dan Khidmat Promosi Pengajian Korea menganjurkan Pameran Hallyu: Gelombang Korea di Malaysia di Galeri BSN dari 1 Mei lalu sehingga 16 September depan.

Pameran Hallyu: Gelombang Korea di Malaysia

Pameran Hallyu: Gelombang Korea di Malaysia setiap hari secara percuma dari pukul 10 pagi hingga 5 petang ini diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur bersama-sama Republik Korea.

Pada permulaan pengenalannya, Dasar Pandang ke Timur yang berlandaskan faktor ekonomi merupakan reaksi daripada peristiwa “Penyerbuan Subuh”, dan “Beli Barangan British”. Melalui masa dan hasil perubahan pemikiran dan penerimaan, dasar ini turut menekankan pertukaran sosial budaya yang membabitkan Hallyu atau Gelombang Korea hingga kini.

Pameran Hallyu: Gelombang Korea di Malaysia ini merupakan pameran diplomasi budaya yang turut menjemput Komuniti Seni Batu Belah. Komuniti berkenaan merupakan antara pemenang Anugerah Bakat Muda Sezaman (BMS21), yang dianggotai anak-anak muda yang menghasilkan karya-karya seni secara kolektif.

Mastermind: Flipped in Your Area (2023), karya Aufa Nabila Jafri, Siti Aisyah Zulkifli, Muhammad Syafiq Kholid, Nur Fatiha Aziera Ain Mohd. Khime, dan Mohamad Shahnaz Azlin Abdul Mutalib.

Untuk pameran ini, Komuniti Seni Batu Belah tampil dengan pengetahuan dan pengalaman “gelombang Korea” mereka bagi menterjemah kefahaman berkaitan asimilasi budaya Malaysia-Korea ke dalam bentuk visual menerusi karya-karya yang dipamerkan.

Pameran Hallyu: Gelombang Korea di Malaysia dengan 20 buah karya ini turut menampilkan karyawan-karyawan terkemuka dari Republik Korea, iaitu Jin Youngsun, DaViz (O Eunseuk & Park Kyudong), dan Bu Kyunghee.

Jin Youngsun merupakan salah seorang penerima Budaya Order Merit yang menjalani latihan sebagai artis Fresco Mural di Ecole Nationale Superieure des Beaux-Arts, Paris dan di ICCROM Rom yang membolehkan beliau menghasilkan semula mural lukisan dinding Goguryeo untuk Muzium Negara Korea pada tahun 1996.

Origin of Hallyu Dance (2021), karya artis Korea, Jin Youngsun.

DaViz pula merupakan sebuah projek terbaharu O Eunseuk & Park Kyudong yang menggabungkan data visual, dan teknologi terkini seperti CG, AI dan media immersive. Yang menariknya, Pameran Hallyu: Gelombang Korea di Malaysia ini turut mempamerkan sebuah lukisan karya Allahyarham Datuk Hoessein Enas, berjudul Gadis Korea, daripada Koleksi Tetap Negara.

Karya Allahyarham Datuk Hoessein Enas, berjudul Gadis Korea.

Perasmian pameran selama kira-kira empat bulan ini disempurnakan oleh Menteri Luar Korea, Tuan Yang Terutama Park Jin pada 1 Mei lalu. Turut hadir ialah Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Saraya Arbi, dan Duta Besar Republik Korea di Malaysia, Tuan Yang Terutama Yeo Seung Bae.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.