Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Siri ketiga Pameran Hanya Satu – Single di Balai Seni Negara diteruskan dengan karya terbaharu oleh Red Hong Yi, iaitu “Once Upon A Longtang”. Pameran ini telah bermula dari 22 Disember 2022 dan bakal berlangsung sehingga 22 Mac tahun ini selaras dengan sambutan Tahun Baharu Cina.
Once Upon A Longtang merupakan sebuah karya yang memfokuskan tentang sesuatu yang tidak kekal, tradisi dan urbanisasi. Karya ini dirujuk menerusi memori peribadi rakaman foto beliau semasa menetap di Longtang, Shanghai, China bersama-sama datuk dan nenek saudaranya.
Karya Once Upon A Longtang ini mengandungi lapan karya seni yang telah dihasilkan dengan kertas kaligrafi merah terbakar yang merupakan bahan baharu yang menjadi permulaan karya ini.
Menurut Red Hong Yi, beliau menggunakan pakaian-pakaian lama, batang-batang buluh serta kaligrafi merah sebagai bahan utama untuk menghasilkan karya Once Upon A Longtang. Tambah beliau lagi, pakaian merupakan satu simbol kehidupan dan petunjuk tentang jenis penduduk yang tinggal dalam ruang-ruang sebegini.
“Pakaian-pakaian lama ini menyentuh tentang kawasan-kawasan perumahan yang mungkin terlepas dari pandangan sewaktu berjalannya usaha-usaha perkembangan bandar dan kota,” ujar Red Hong Yi.
Di samping itu, Balai Seni Negara turut menganjurkan bicara sembang karya dengan menampilkan Red Hong Yi sebagai panel jemputan bagi bersama-sama menelusuri lorong memori silam dan menghayati karya Once Upon A Longtang.
Orang ramai boleh mengunjungi pameran ini di ruangan lobi utama bangunan galeri Balai Seni Negara dan melayari laman sesawang www.artgallery.gov.my atau mengikuti media sosial rasminya bagi mengetahui maklumat lanjut mengenai pameran ini.