7 Disember 2023, 10:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Muzium Telekom bakal ditransformasikan dengan paparan kesenian, kebudayaan, warisan dan inovasi melalui pameran IMMERSIO 2023 yang bakal berlangsung dari 15 Disember 2023 hingga 7 Januari 2024.

Poster pameran IMMERSIO 2023.

IMMERSIO 2023 bakal memenuhi ruang Muzium Telekom yang seluas 27 ribu kaki persegi dan menggabungkan lebih daripada 20 artis kebudayaan dan media baharu. Pameran yang memasuki edisi kelima pada tahun ini dianjurkan oleh Filamen dan dikuasakan oleh Yayasan Telekom Malaysia sebagai rakan strategik melalui Program Inkubasi Teknologi Digital.

IMMERSIO 2023 memaparkan jalinan warisan Asia Tenggara yang menakjubkan, menawarkan sebuah perspektif kontemporari terhadap inti pati zaman silam, identiti budaya, tradisi, nilai, dan kisah peribadi. Pameran ini bakal membawa penonton menyusuri ekspedisi pelbagai deria yang menggabungkan elemen lama dan baharu, serta membolehkan mereka melayari kontinum antara masa lalu, kini dan masa hadapan.

Pameran IMMERSIO 2023 bakal berlangsung di Muzium Telekom.

Gabungan pelbagai artis yang ternama, baharu serta para pemikir imaginatif dari Multimedia University akan terlibat dalam pameran ini. Antaranya termasuklah Chong Yan Chuah, Anwar Suhaimi, Suzy Sulaiman, James Ly, Digi Arafah, Ammar Hazman, Roger Ng, Ahnaf Hakimi, Abdul Shakir “Grasshopper”, dan ramai lagi.

Menurut Kurator IMMERSIO 2023, Abdul Shakir “Grasshopper”, beliau berasa sangat teruja untuk menampilkan barisan artis yang dinamik dan baharu daripada pelbagai latar belakang bagi menjayakan pameran ini. Bagi beliau, cabaran yang perlu dihadapi oleh barisan artis ialah untuk mentransformasikan sebuah ruang menjadi sesuatu yang mengasyikkan dan memberi pengalaman yang menakjubkan kepada pengunjung.

“Dalam usaha mewujudkan sebuah ‘alam’ yang menyentuh pelbagai deria, matlamat kami ialah agar penonton tidak hanya teraspirasi untuk mencipta pengalaman yang bermakna dengan karya seni, tetapi dapat melakar sebuah harapan dan inspirasi yang mendalam selepas mereka melawat pameran ini,” kata Abdul Shakir “Grasshopper”.

Program Inkubasi Teknologi Digital, yang diperkenalkan oleh Yayasan TM, merupakan program jangka panjang yang diwujudkan untuk merangsang integrasi antara ekspresi kreatif dan amalan seni dengan pengetahuan teknologi bagi menjana ekosistem seni. Program ini menjadi platform untuk memupuk artis digital tempatan, pengamal kreatif, dan bakat muda, serta komuniti seni melalui geran, dana, bengkel pembangunan kapasiti, dan ruang pameran.

Bayaran masuk IMMERSION 2023 ialah RM15 untuk dewasa RM5 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun, manakala bagi komuniti orang kurang upaya adalah percuma. Para pengunjung yang berminat untuk menyaksikan keunikan IMMERSIO 2023 boleh mendapatkan tiket di laman sesawang https://www.cloudjoi.com/shows/immersio-2023

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.