Oleh Mubarak Ismail
13 Februari 2023, 15:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Bersempena penganjuran Sarawak Design Week 2023 (SDW 2023) yang bakal berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) bermula dari 13 hingga 16 Februari 2023 bakal menampilkan lebih buah 200 gerai pameran.

Penganjuran SDW 2023 yang dianjurkan dengan kerjasama Sarawak Design Centre (SARADEC) dan Institut Teknologi Bandung (ITB) Indonesia turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan.

Selain itu, pameran yang julung-julung kali diadakan ini bakal menampilkan pelbagai produk kraf tangan yang menarik dan direka khas sesuai dengan hiasan dalaman rumah serta produk rekaan kayu-kayan buatan tempatan dan antarabangsa. Pameran SDW 2023 turut menampilkan pelbagai produk kraf tangan dan produk perkayuan yang dihasilkan khas dari Indonesia.

Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Sarawak (empat dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Tan Sri Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Premier Sarawak (lima dari kanan) selepas majlis pelancaran.

Menurut Tan Sri Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Premier Sarawak, SARADEC bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan ITB untuk melatih pereka kreatif dengan menghantar para graduan untuk menimba ilmu, pengalaman serta kemahiran bagi mencipta perabot yang unik untuk dipasarkan ke pasaran global.

“Kerajaan negeri Sarawak mengambil pendekatan yang serius bagi mengubah industri berasaskan kayu dengan melaksanakan beberapa langkah merangkumi melahirkan pereka muda yang memiliki kreativiti yang mampu menghasilkan produk perabot. Selain itu, penganjuran SDW 2023 juga bermatlamat untuk menonjolkan hasil rekaan serta prototaip perabot oleh golongan pereka muda,” ujar Tan Sri Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Premier Sarawak sewaktu merasmikan SDW2023.

Pameran SDW 2023 tersebut turut disertai beberapa nama besar yang amat dikenali dalam industri produk tempatan. Antaranya termasuklah Yayasan Tun Jugah, Centexs Commercial, Ran & Nong Creations serta UNIMAS.

Persatuan Industri Perabot Sarawak (SFIA) bakal mempamerkan pelbagai teknologi elektrik dan elektronik merangkumi rekaan dalaman dan perabot di reruai mereka. Manakala Pavilion SayD’Signers yang bertempat di ruangan utama pameran pula bakal menampilkan pelbagai rekaan perabot yang dihasilkan oleh para pereka muda Bumi Kenyalang.

Pameran SDW 2023 ini mendapat sokongan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Terminal Industri (MINTRED), Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (STIDC), Jabatan Perhutanan Sarawak serta beberapa syarikat swasta lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.