5 April 2023, 15:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Samarahan – Alena Ose Murang atau lebih dikenali sebagai Alena Murang merupakan seorang penyanyi, penulis lagu, pemain sape dan artis visual yang menyanyikan lagu dalam bahasa Kelabit dan Kenyah telah berjaya menganjurkan Pameran Lukisan Solo bertajuk Colours of the Highlands bertempat di Galeri Hoan, La Promenade Mall, Kota Samarahan, Sarawak bermula dari 18 Mac hingga 30 April 2023.

Alena Murang bersama-sama koleksi lukisan kegemarannya, iaitu lukisan Pu’ Ayam.

Selain itu, Pameran Colours of the Highlands merupakan sebuah pameran lukisan medium campuran yang menggunakan dakwat, kapur, akrilik, cat air, kanvas, kertas, rakaman audio dan abu di sebuah rumah panjang yang pernah terbakar. Kehebatan Alena Murang menghasilkan koleksi lukisan yang dipamerkan di Pameran Colours of the Highlands menyerlahkan bakat dan minatnya dalam seni lukisan sejak kecil lagi.

Menurut Alena Murang, walaupun bidang muzik memerlukan penggunaan masa yang banyak, namun apabila terdapat masa lapang dan tidak mengembara untuk membuat persembahan, beliau akan mula berasa rindu untuk melukis. Di samping itu, kemahiran melukis merupakan satu cabang bakat tambahan Alena Murang selain bakat yang terserlah dalam bidang nyanyian. Hasilnya, penglibatan Alena Murang dalam bidang lukisan bertujuan untuk mengembangkan minatnya dalam dunia seni.

Pameran lukisan solo Alena Murang bertemakan Colours of the Highlands menceritakan pelbagai kisah kontemporari suku kaum Kelabit dalam lukisan, lukisan potret dan abstrak yang dihasilkan sejak sedekad lalu. Selain itu, Pameran Colours of the Highlands tercetus hasil daripada pelawaan Galeri Hoan pada tahun 2022 yang berminat untuk mempamerkan 50 koleksi lukisan hasil karya Alena Murang selama 10 tahun. Rentetan itu, Alena Murang bersetuju menerima pelawaan daripada Galeri Hoan untuk mempamerkan 50 koleksi lukisan hasil karya seni ciptaannya kerana faktor kelembapan industri muzik pada awal tahun 2022 ekoran kesan pandemik COVID-19.

Lukisan berjudul Ranera merupakan kategori lukisan Arit atau pusaran yang dihasilkan oleh Alena Murang pada tahun 2022.

Di samping itu, Alena Murang turut berkongsi kepada pihak media bahawa dirinya tidak pernah berasa letih, bahkan mempunyai limpahan idea dalam setiap penghasilan karya seni di studio peribadinya yang berada di Kuala Lumpur. Lebih membanggakan, Alena Murang menjadikan Vincent van Gogh, seorang pelukis terkenal Belanda sebagai idola dan inspirasi demi menghasilkan lukisan hebat dan menambah baik kemahiran seni lukisan pada masa hadapan.

Keindahan Pameran Colours of the Highlands menampilkan koleksi lukisan kegemaran Alena Murang, iaitu lukisan Pu’ Ayam yang mengisahkan tentang seorang anak kecil lelaki yang comel dan menarik yang berasal dari Long Banga, Marudi, Timur Laut Sarawak. Bahkan lukisan Pu’Ayam turut dipamerkan dalam Pameran Colours of the Highlands bermula dari 18 Mac hingga 30 April 2023.

Pameran Colours of the Highlands dibuka secara percuma untuk dilawati oleh pencinta seni lukisan, pelancong dan masyarakat tempatan. Sebanyak 50 koleksi lukisan solo Alena Murang dipamerkan dalam Pameran Colours of the Highlands dan dijual bermula dengan harga RM1000 sehingga RM25 000. Dalam pameran ini juga terdapat pameran penghasilan lukisan berdasarkan reka bentuk pusaran lingkungan besar serta seni gambar hitam putih yang diukir pada batu dan kayu yang digunakan oleh masyarakat suku kaum Kelabit pada masa dahulu.

Lukisan potret bertajuk When I Breathe hasil karya Alena Murang pada tahun 2023 menggunakan akrilik, lukisan kapur dan arang atas kanvas.

Harapan Alena Murang agar Pameran Colours of the Highlands dapat memperkenalkan warisan kesenian kontemporari suku kaum Kelabit kepada pencinta karya lukisan, pelancong dan masyarakat tempatan. Lebih membanggakan, ibu Alena Murang menyokong minatnya serta menggalakkannya berkecimpung dalam bidang lukisan sejak pada usia yang muda untuk menghasilkan lakaran dan warna, penghasilan kolaj, menyulam dan melukis.

Tuntasnya, Pameran Colours of the Highlands merupakan hasil pameran lukisan solo koleksi sulung Alena Murang yang menggambarkan pelbagai idea menerusi seni lukisan dan seni hiburan. Hakikatnya, gambaran pelbagai idea menerusi seni lukisan dan seni hiburan sememangnya saling berkaitan dalam dunia fesyen dan muzik.

Maklumat lanjut berkaitan dengan Pameran Colours of the Highlands boleh didapati menerusi laman web rasmi Galeri Hoan dan laman web rasmi Promenade Mall, iaitu rashoangallery.com dan lapromenademall.com.my.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.