5 Februari 2023, 09:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Art Market Malaysia sedang menganjurkan Pameran Seni Perpaduan atau Unity Art Exhibition di Shoppes at Four Seasons Place, Kuala Lumpur bermula dari 15 Januari hingga 15 Februari 2023.

Majlis perasmian pameran ini telah disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara, Yang Berhormat (YB) Datuk Aaron Ago Dagang pada petang 2 Februari 2023.

Menurut YB Datuk Aaron Ago Dagang, karya seni mampu menyemarakkan lagi semangat perpaduan serta meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia dan seterusnya membawa masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa menuju ke arah Malaysia Madani.

“Madani bermakna beradab dan kerajaan ingin membawa masyarakat Malaysia ke tahap yang lebih tinggi sebab masih banyak yang perlu ditambah baik dalam kalangan masyarakat dari segi keterampilan, kemampanan, kepercayaan dan saling menghormati dalam menuju ke arah masyarakat madani,” kata YB Datuk Aaron Ago Dagang.

Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang ketika berucap dalam majlis perasmian Pameran Seni Perpaduan.

YB Datuk Aaron Ago Dagang turut meluahkan rasa kagumnya terhadap karya-karya yang terdapat dalam Pameran Seni Perpaduan dan ada antara karya-karya tersebut merupakan hasil karya daripada pelukis golongan Orang Kurang Upaya.

“Karya seni yang baik boleh mengumpulkan segenap lapisan masyarakat untuk bersama-sama menikmati keunikan hasil karya yang dihasilkan terutamanya jika karya tersebut membawa pelbagai mesej yang positif, khususnya mesej yang bertemakan perpaduan dan kenegaraan,” ujar YB Datuk Aaron Ago Dagang.

Tambah beliau lagi, kesenian juga mampu menyemarakkan perpaduan apabila artis daripada pelbagai kaum dan etnik berkumpul bersama-sama dalam program seperti Pameran Seni Perpaduan ini.

Dalam majlis tersebut turut diumumkan para pemenang bagi Asia Art Show Sydney Online Art oleh ketua juri pertandingan tersebut, iaitu Encik Zunar. Para pemenang menerima e-sijil di samping hasil karya seni mereka bakal dipamerkan dalam galeri AsiaArtShow @Four Seasons Shoppes KL, Malaysia selama tiga bulan dan disenaraikan dalam laman sesawang asiaartshowgallery.com.

Hasil karya seni 30 pemenang Asia Art Show Sydney Online Art.

Pameran yang berlangsung selama sebulan ini memberi peluang kepada para artis tempatan termasuklah golongan artis kurang upaya, kanak-kanak dan ekspatriat untuk menampilkan karya mereka kepada orang ramai dan pembeli yang berminat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.