20 April 2023, 15:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Kementerian Perpaduan Negara melancarkan program Kembara Perpaduan@Kampus pada 17 April lalu di Universiti Teknologi Mara, Kampus Puncak Alam, Selangor (UiTM Puncak Alam).

Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara sewaktu menyempurnakan program Kembara Perpaduan@Kampus.

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim yang mewakili Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Anak Dagang hadir menyampaikan ucapan dan seterusnya menyempurnakan pelancaran program tersebut.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim, program Kembara Perpaduan@Kampus yang dilancarkan pada hari tersebut merupakan antara program yang telah dirancang berdasarkan kepada Kerangka Perpaduan Malaysia MADANI.

“Mahasiswa merupakan antara golongan penting yang bertindak sebagai ejen agenda perpaduan nasional di negara kita yang berbilang kaum. Oleh sebab itu, program Kembara Perpaduan@Kampus merupakan program pertama yang dilancarkan di bawah program flagship kementerian, iaitu Kembara Perpaduan Malaysia,” ujar Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim yang membacakan teks ucapan perasmian ketika majlis pelancaran program tersebut.

Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim turut berkata, program itu memberi fokus kepada program yang melibatkan mahasiswa berteraskan tiga kluster utama Kembara Perpaduan Malaysia MADANI, iaitu Semarak Kenegaraan, Semarak Perpaduan dan Program Komuniti Rahmah.

Tambah beliau lagi, program ini berupaya dijadikan sebagai platform bagi mahasiswa untuk memperkasakan semangat patriotisme, saling mengeratkan hubungan toleransi antara kaum dan menyemai semangat kebersamaan demi kemajuan negara.

“Saya amat berharap supaya institusi-institusi pengajian tinggi sama ada awam atau swasta, politeknik, kolej matrikulasi atau Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dapat menjadi tapak integrasi dalam memupuk perpaduan dan kesepaduan masyarakat majmuk di negara kita termasuklah menganjurkan pelbagai program berkaitan perpaduan semasa Minggu Perpaduan Negara yang bakal berlangsung dari 20 hingga 26 Mei 2023 depan,” kata Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim.

Program Chit Chat Belia yang bertemakan “MADANI: Bersediakah Kita?” turut diadakan semasa majlis pelancaran tersebut dengan dibarisi oleh panel seperti Pow Mei Foong (Atlet Bola Jaring Kebangsaan), Ahmad Danial  Nor Amin (Mahasiswa Jurusan Undang-undang) dan Mohammad Imral Aqil Mohd Salehuddin (Penyampai Radio).

Program ini disertai lebih 2000 orang mahasiswa termasuklah penyertaan dalam talian yang terdiri daripada ahli Sekretariat Rukun Negara yang merupakan beberapa pelajar daripada institut pengajian tinggi dari seluruh Malaysia. Program yang berlangsung secara santai dan penuh meriah ini merupakan kerjasama UiTM Puncak Alam dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).

Majlis pelancaran dan program Chit Chat Belia tersebut turut disiarkan secara dalam talian melalui Facebook Kementerian Perpaduan Negara di https://www.facebook.com/PerpaduanNegara/videos/237715995469954.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.