Oleh Abd Razak Osman
10 Januari 2023, 14:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar  Dalam usaha meningkatkan semangat patriotisme dan jati diri dalam kalangan rakyat, Kementerian Perpaduan Negara akan menganjurkan dua inisiatif utama berskala besar pada tahun 2023, iaitu Program Minggu Perpaduan dan Ini Malaysia Kita.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang (tengah) menyempurnakan Majlis Perjumpaan dan Amanat Menteri Perpaduan sempena program lawatan kerja di Perlis.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, inisiatif tersebut berlandaskan prinsip asas kepada Rukun Negara dan bertujuan untuk menyemai semangat perpaduan dalam kepelbagaian rasa cinta kepada tanah air.

“Banyak kebaikan bakal dinikmati oleh penduduk di negara ini jika sentiasa menghayati program yang diperkenalkan itu. Di samping itu, warga kementerian ini yang terdiri daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Arkib Negara Malaysia (ANM) dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) perlu serius dalam menjayakan hal tersebut,” ujar Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata demikian sewaktu menghadiri Majlis Perjumpaan dan Amanat Menteri Perpaduan kepada hampir 700 orang warga kementerian itu di Dewan 2020, Kangar, Perlis.

Datuk Aaron Ago Dagang sedang diwawancara oleh wakil-wakil media yang hadir.

Datuk Aaron Ago Dagang berada di negeri Perlis selama dua hari semasa mengadakan lawatan kerja rasmi bermula pada 8 Januari 2023. Turut hadir bersama-sama dalam lawatan kerja itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Noridah Abdul Rahim.

Menerusi lawatan kerja itu, beliau  berkesempatan membuat tinjauan ke Projek Pembinaan Kompleks Perpaduan Perlis di mukim Seriab. Pembinaan kompleks itu bakal menempatkan Pejabat Perpaduan Negeri, Tabika Perpaduan, Taska Genius Perpaduan, Pusat Rukun Tetangga dan Pusat Mediasi Komuniti Perpaduan.

Sebelum itu, beliau mendengar taklimat mengenai pelbagai aktiviti perpaduan yang disampaikan oleh Pegawai JPNIN Negeri Perlis, Hanita Ahmad sebelum mengadakan lawatan ke Muzium Kota Kayang, Galeri Diraja Istana Arau. Pada sesi petang pula, Datuk Aaron Ago Dagang menyertai Program Kayuhan MAIPs Peduli Menyantuni Asnaf bersama-sama Duli Yang Teramat Mulia, Tuanku Syed Faizuddin Putera ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!