Oleh Syaza Wardina
5 Ogos 2023, 16:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Los Angeles – Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan promosi “Perlis: The Undeniable Charm” sempena Tahun Melawat Perlis 2024 – 2025 bersama-sama para pemain industri pelancongan bagi pasaran Los Angeles, Amerika Syarikat, semalam.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama para pemain industri pelancongan bagi pasaran Los Angeles pada majlis promosi “Perlis – The Undeniable Charm” sempena Tahun Melawat Perlis 2024 – 2025 yang diadakan di Tingkat 9, 777 Tower, Figueroa Street, semalam.

Sebanyak 28 orang wakil daripada kalangan agensi pelancongan, syarikat penerbangan dan media, serta pempengaruh di Los Angeles menghadiri sesi rangkaian industri yang diadakan di Tingkat 9, 777 Tower, Figueroa Street, Los Angeles, California yang dianjurkan oleh Pejabat Tourism Malaysia Los Angeles dengan kerjasama Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles.

Tuanku Pemangku Raja menitahkan bahawa baginda sangat menyokong sebarang pelaburan oleh para pelabur yang percaya bahawa ekopelancongan akan menjadi satu trend pelancongan pada masa hadapan.

Turut sama berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda bongsu baginda berdua, iaitu Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail, yang disambut oleh Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles, Anil Fahriza Adenan serta Naib Presiden Tourism Malaysia Los Angeles, Akbal Setia selaku tuan rumah.

Sementara itu, Akbal dalam taklimat beliau memaklumkan bahawa antara perkara yang menarik perhatian sempena Tahun Melawat Perlis 2024 – 2025 ialah destinasi dan produk ekopelancongan yang ada di negeri tersebut, seperti Wang Kelian, Gua Kelam, Bukit Keteri, Tasik Timah Tasoh serta lokasi strategiknya yang berdekatan dengan Pulau Langkawi serta Pulau Pinang.

Menurut beliau, Perlis merupakan destinasi menarik untuk pengembaraan eko dan alam semula jadi.

Kami sangat teruja untuk mempamerkan tarikan pelancongan yang indah dan unik di Perlis sebagai langkah penting dalam usaha meletakkan negeri ini sebagai destinasi baharu yang mesti dilawati di Malaysia untuk pelancong Amerika Syarikat, terutamanya bagi pelancong yang melawat Pulau Pinang dan Pulau Langkawi.

“Perlis merupakan sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia yang mempunyai bentuk muka bumi yang menarik dan keunikan tersendiri,” jelas beliau.

Berdasarkan rekod, Tourism Malaysia mencatatkan sebanyak lebih 7.0 juta kemasukan pelancong antarabangsa ke Malaysia pada tahun 2022 dan menyasarkan sebanyak 16.1 juta kemasukan pelancong antarabangsa yang melibatkan jumlah pendapatan sebanyak RM49.2 bilion untuk industri pelancongan di Malaysia pada tahun 2023.


Foto: Ihsan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.