Oleh Mubarak Ismail
15 Februari 2023, 19:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kaki Bukit – “Pekan Kaki Bukit di negeri Perlis mempunyai pelbagai tarikan yang tersendiri merangkumi sejarah, tempat ibadat, keunikan dan keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara. Selain itu, keunikan dan kepelbagaian biologi di Taman Negeri Perlis khususnya Wang Kelian mempunyai potensi yang sangat tinggi untuk menarik pelancong dari dalam dan luar negara. Antaranya termasuklah Jalan Tasik Meranti yang berpotensi untuk dijadikan sebagai jejak warisan (heritage trail) bagi peminat aktiviti pendakian dan mengembara atau berbasikal untuk menikmati keindahan hutan hujan tropika serta menjalankan hobi memerhati hidupan liar.”

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) berkunjung ke Kompleks Taman Negeri Perlis, Wang Kelian, Perlis.

“Pada masa yang sama, terdapat pelbagai produk menarik disediakan di sekitar Kaki Bukit dan Wang Kelian, Perlis yang mampu diintegrasikan menjadi satu produk pelancongan yang terbaik.”

Demikian makluman yang dipersembahkan kepada Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersempena dengan Sesi Taklimat Kemajuan Projek Warisan Budaya di Wang Kelian oleh Team Roots & Shoots Malaysia yang disampaikan oleh Peter Ong selaku ketua projek di Kompleks Taman Negeri Perlis, Wang Kelian, Perlis.

Turut hadir mengiringi Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyaksikan perkembangan pelaksanaan projek buku, pameran dan dokumentari yang dihasilkan oleh pihak Roots & Shoots Malaysia menerusi pengumpulan maklumat gambar-gambar dan siaran video yang ditayangkan ialah anakanda sulung baginda, Yang Teramat Mulia (YTM) Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis (Pelancongan), Puan Wan Badariah Wan Saad.

“Objektif utama penubuhan pusat ini adalah untuk merungkai kepelbagaian biologi di Taman Negeri Perlis dan seterusnya didokumenkan untuk menjadi bahan rujukan kepada para penyelidik pada masa hadapan. Pusat ini menggalakkan aktiviti dan kegiatan penyelidikan serta pembelajaran untuk menjadikan Wang Kelian sebagai rujukan sumber kepelbagaian biologi di zon utara tanah air,” ujar Ag. Shaffie Ag. Ahmadni, Pengarah Perhutanan Negeri Perlis.

Di samping itu, beliau turut melaporkan pembangunan Wang Kelian dan secara khususnya pembangunan Pusat Kepelbagaian Biologi Negara Wang Kelian di bawah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis menerusi peruntukan daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dari tahun 2021 hingga tahun 2023.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan berkunjung ke kedai makan Dapur Kak Neng yang beroperasi di Kampung Wang Kelian yang mempunyai latar belakang panorama yang indah meliputi pemandangan sawah padi dan Banjaran Nakawan. Selain menyediakan menu makanan yang enak, kedai makan Dapur Kak Neng turut menjadi lokasi tumpuan untuk memerhati burung Bendang dan burung-burung yang menggunakan kawasan banjaran ini sebagai laluan utama mereka.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mencemar duli mengadakan lawatan ke sekitar kawasan Kaki Bukit dan Wang Kelian di Perlis.

Di samping itu, baginda juga berkenan menyaksikan aktiviti “Jiwa Murni” yang disempurnakan oleh Rejimen 504 Askar Wataniah yang diketuai oleh Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji yang melaksanakan aktiviti gotong-royong membersihkan longgokan sampah yang tersangkut di dalam sungai berhampiran gua di sekitar kawasan Kaki Bukit bagi menjayakan inisiatif “Perlis Hebat! Rakyat Hidup Bersih” serta berkunjung ke empat lokasi menarik di sekitar Kaki Bukit, iaitu Tokong Kaki Bukit, Pekan Sayur, Jalan Tasik Meranti dan Kem Hujan-Hujan Gua Kelam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.