Oleh Mubarak Ismail
18 Januari 2023, 11:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan mencemar duli menyempurnakan penutupan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) yang bertajuk “Sharing the Joy of the Rabbit Chinese New Year 2023” yang dianjurkan oleh Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dengan kerjasama YTF menerusi platform Zoom pada petang semalam.

DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menyempurnakan penutupan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) yang bertajuk “Sharing the Joy of the Rabbit Chinese New Year 2023”.

“Sambutan Tahun Baharu Cina merupakan sambutan yang amat penting bagi komuniti berbangsa Cina di Malaysia. Di samping itu, sambutan ini menjadi sebuah platform untuk saudara-mara dan sahabat handai untuk berkumpul bersama-sama dan saling mendoakan kesejahteraan masing-masing untuk tahun-tahun yang mendatang.

Tambahan pula, matlamat sambutan Tahun Baharu Cina juga adalah untuk melupakan perkara-perkara yang sudah berlalu serta untuk mengalu-alukan perkara-perkara yang baik, positif dan baharu.

Bagi masyarakat Cina, Tahun Baharu Cina juga merupakan tempoh masa untuk memperingati nenek moyang mereka serta saling mendoakan kesejahteraan hidup dan dimurahkan rezeki masing-masing,” titah DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merupakan Pengerusi YTF turut bertitah bahawa webinar “Sharing the Joy of the Rabbit Chinese New Year 2023” ini berjaya memainkan peranan sebagai sebuah platform yang terbaik untuk mengukuhkan dan mengeratkan hubungan masyarakat yang berbilang bangsa, agama dan budaya di negara ini.

Webinar “Sharing the Joy of the Rabbit Chinese New Year 2023” menampilkan barisan enam orang panel, iaitu Profesor Madya Dr. Cheah Phaik Kin, Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey, Profesor Dr. Wu Ming Chu, Profesor Ts. Dr. Lim Yang Mooi, Cik Foo Mei Lee dan Cik Kor Eng Choon. Manakala Ahli Pemegang Amanah Yayasan Tuanku Fauziah, Tan Sri Dato’ Sri Prof Dr. Ng Yen Yen bertindak selaku moderator webinar dan Presiden UTAR, Profesor Dato’ Ir. Dr. Ewe Hong Tat menyampaikan kata alu-aluan sebelum webinar bermula.

Majlis perasmian pembukaan webinar tersebut disempurnakan oleh DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merupakan Penasihat Diraja YTF pada awal pagi semalam.

Di samping itu, rakyat Perlis dijemput secara beramai-ramai untuk menghadiri Karnival Pekan Lama Arau sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang diadakan selama tiga hari bermula pada 18 hingga 20 Januari 2023 pukul 7 hingga 11 malam.

Program yang dilaksanakan dalam kawasan Projek Diraja Transformasi Komuniti Pekan Lama Kota Raja Arau itu dianjurkan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perlis dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.