Oleh Mubarak Ismail
17 Januari 2023, 20:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mencemar duli merasmikan pembukaan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) yang bertajuk “Sharing the Joy of the Rabbit Chinese New Year 2023” yang dianjurkan oleh Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dengan kerjasama YTF menerusi platform Zoom pada pagi tadi.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berucap merasmikan pembukaan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) yang bertajuk “Sharing the Joy of the Rabbit Chinese New Year 2023”.

“Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum dengan terdapat kepelbagaian etnik, bahasa dan agama serta masih mengekalkan dan mempraktikkan adat dan budaya yang diwarisi daripada warisan nenek moyang masing-masing. Sehubungan dengan itu, masyarakat Malaysia terus mempamerkan pelbagai gaya hidup, kepercayaan, budaya dan sambutan yang berbeza-beza.

Tahun Baharu Cina merupakan satu perayaan yang mengetengahkan beberapa aspek keunikan budaya dan tradisi kaum Cina. Perayaan yang disambut oleh kaum Cina ini juga merupakan masa yang terbaik untuk semua ahli keluarga berkumpul bersama-sama bagi mengeratkan ikatan persaudaraan di samping bermain bunga api dan mercun, menghayati tarian Singa, menikmati buah limau Mandarin serta memberi dan menerima angpau, yakni wang dalam sampul kecil yang diberikan sebagai hadiah, sumbangan atau pemberian pada hari atau majlis tertentu, terutamanya pada hari Tahun Baru Cina,” titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merupakan Penasihat Diraja YTF berasa amat teruja apabila menjadi sebahagian daripada Webinar YTF pada kali ini yang bertujuan untuk belajar dengan lebih mendalam tentang sambutan Tahun Baharu Cina di negeri dan negara kita. Baginda juga menjangkakan bahawa sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini bakal menjadi sambutan yang terbesar dan paling meriah buat kaum Cina di Malaysia dan juga di seluruh dunia.

Dalam majlis yang sama, Presiden UTAR, Profesor Dato’ Ir. Dr. Ewe Hong Tat menyampaikan kata alu-aluan sebelum webinar yang dikendalikan oleh Ahli Pemegang Amanah YTF, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen bermula.

Webinar “Sharing the Joy of the Rabbit Chinese New Year 2023” menampilkan barisan enam orang panel, iaitu Profesor Madya Dr. Cheah Phaik Kin, Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey, Profesor Dr. Wu Ming Chu, Profesor Ts. Dr. Lim Yang Mooi, Cik Foo Mei Lee dan Cik Kor Eng Choon.

Majlis penutupan webinar tersebut disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merupakan Pengerusi YTF.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.