Oleh Avatar photo Mubarak Ismail
22 Januari 2023, 00:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tahun Baharu Cina merupakan perayaan utama masyarakat Cina bagi menyambut tahun baharu dalam kalendar Cina. Selain itu, Tahun Baharu Cina juga melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari pertama tahun baharu bermula, sanak saudara yang merantau akan kembali berkumpul di rumah ibu bapa.

Dato’ Goh Hin San, Pengerusi Pusat Kebudayaan Han Malaysia.

Tahun Baharu Cina diraikan dengan pelbagai hidangan dan jamuan. Sesebuah keluarga akan makan besar dengan masakan tradisi seperti daging itik, daging salai, kuih pulut, dan limau mandarin. Manakala golongan muda pula akan menziarahi golongan tua dan menerima wang angpau dalam sampul merah sebagai simbolik nasib yang baik atau tuah yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada golongan yang masih belum berkahwin.

Di samping itu, perarakan tarian naga atau tarian singa diadakan sambil diiringi dengan paluan bunyi gendang yang meriah. Bunyi dan aura daripada tarian naga atau tarian singa dipercayai boleh menghalau segala unsur-unsur jahat, musibah dan malapetaka supaya tahun yang baharu menjadi lebih baik. Mercun pula dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya sambutan tahun baharu dan untuk menghalau nasib malang dan unsur-unsur negatif. Rumah-rumah pula dihiasi dengan bunga, pokok limau serta buah limau sebagai simbolik kemurahan rezeki, kebahagiaan dan keamanan.

Hari kelapan tahun baharu dianggap sebagai “tahun baharu” bagi suku kaum Hokkien. Apabila tiba waktu tengah malam pada hari kelapan tahun baharu, suku Hokkien akan memanjatkan doa kesyukuran kepada Maharaja Jed. Penyembahan ini termasuklah penggunaan tebu kerana tebu pernah digunakan untuk melindungi suku Hokkien daripada ancaman penghapusan etnik pada masa lalu, manakala teh dituang sebagai adat bagi menghormati orang-orang ternama dan mercun pula dibakar bagi menandakan bermulanya sambutan tahun baharu pada hari kelapan.

Dato’ Goh Hin San (kanan) bersama-sama anak perempuan, menantu lelaki dan dua orang cucunya.

Sambutan perayaan Tahun Baharu Cina berakhir dengan perayaan Cap Goh Mei (perayaan Tanglung) pada hari ke-15 tahun baharu yang disambut sebagai simbolik berakhirnya perayaan Tahun Baharu Cina. Perayaan Chap Goh Mei diraikan dengan upacara sembahyang secara besar-besaran menggunakan colok besar yang dibakar, diadakan makan besar bersama-sama ahli keluarga, mercun dan bunga api turut dibakar serta tanglung-tanglung dinyalakan.

Menurut Dato’ Goh Hin San, Pengerusi Pusat Kebudayaan Han Malaysia, perayaan Tahun Baharu Cina merupakan satu adat dan budaya turun-temurun yang diwarisi daripada generasi terdahulu dan bukannya sebahagian daripada agama. Tahun Baharu Cina disambut dan diraikan di seluruh dunia terutamanya masyarakat Cina tanpa mengira agama. Namun begitu, terdapat segelintir daripada masyarakat yang menyelitkan unsur agama bersempena dengan perayaan Tahun Baharu Cina.

Contohnya, pada malam sebelum masuk Tahun Baharu Cina, masyarakat Cina akan melakukan upacara penyembahan kepada Tien Gong, iaitu satu entiti Yang Maha Berkuasa yang memberikan kebahagiaan serta tidak diketahui dan tidak dapat dilihat paras rupa dan fizikalnya.

Tahun Baharu Cina juga disambut untuk merayakan satu peredaran masa berdasarkan kalendar Cina yang mempunyai falsafah turun-temurun daripada konsep falsafah Cina, iaitu unsur Yin dan Yang yang menggambarkan kuasa yang bertentangan tetapi saling berkaitan dan melengkapi antara satu dengan yang lain dengan matlamat untuk mengekalkan keseimbangan. Yin merujuk simbolik daratan atau bulan, manakala Yang pula merujuk simbolik langit atau matahari. Dalam kepercayaan masyarakat Cina, falsafah Yin dan Yang ini membentuk dunia dan cakerawala.

Zodiak Cina, iaitu kitaran 12 tahun yang terdiri daripada 12 ekor haiwan yang melambangkan 12 jenis personaliti yang berbeza.

“Dalam falsafah Cina, gānzhī merujuk sistem kitaran 60 kombinasi dengan dua kitaran asas, iaitu unsur Yin yang membentuk 12 unsur Dahan Duniawi (dìzhī), manakala unsur Yang pula membentuk 10 unsur Batang Samawi (tiāngān) serta membentuk 60 tahun yang berbeza-beza menjadi satu kitaran pusingan.

Tahun ini merupakan tahun yang ke-40 dalam kitaran tersebut, iaitu tahun Gui Mao yang merujuk unsur Yin, elemen air dan zodiak arnab hitam. Menurut kepercayaan masyarakat Cina, warna hitam melambangkan sesuatu yang negatif dan tidak baik. Berdasarkan falsafah Cina pula, tahun arnab akan membawa kesuburan kepada masyarakat dan kehidupan. Oleh itu, individu yang lahir pada tahun arnab perlu lebih berhati-hati kerana tahun arnab bertentangan dengan cakerawala dunia ini,” ujar Dato’ Goh Hin San.

Dato’ Goh Hin San turut berkata, dalam falsafah Yin dan Yang turut memberikan penekanan terhadap simbolik warna hitam dan putih. Dalam unsur Yang yang mewakili kebaikan, terdapat bulatan kecil berwarna hitam yang melambangkan dalam sesuatu kejayaan atau kebaikan dalam kehidupan, pasti terdapat potensi kerugian atau keburukan yang harus diberikan perhatian dan perlu lebih berhati-hati.

Manakala dalam unsur Yin pula, terdapat bulatan kecil berwarna putih yang melambangkan dalam sesuatu kerugian atau keburukan dalam kehidupan, pasti terdapat harapan dan potensi untuk kembali berjaya dan berubah menjadi lebih baik. Hal ini merujuk konsep bahawa dalam kebaikan pasti ada keburukan dan dalam keburukan pasti ada kebaikan. Semuanya bergantung kepada usaha, cara pemikiran dan sikap seseorang.

Tambah beliau lagi, menurut kepercayaan masyarakat Cina, setelah selesai melaksanakan upacara penyembahan pada malam sebelum menjelang Tahun Baharu Cina, individu yang lahir pada tahun arnab perlu mengikat benang berwarna merah sama ada pada tangan atau kaki mereka untuk menghindari sebarang malapetaka, musibah, nasib malang dan unsur-unsur negatif daripada berlaku kepada diri mereka sepanjang tahun arnab ini. Benang berwarna merah pula melambangkan kemegahan, kebahagiaan, kekuatan dan boleh menghalang dan mencegah segala musibah, mudarat, nasib malang, unsur-unsur negatif dan lain-lain.

“Menurut kepercayaan masyarakat Cina, antara perkara yang perlu diberikan perhatian oleh individu yang lahir dalam tahun arnab ialah mereka perlu berfikir sedalam-dalamnya sebelum membuat sebarang keputusan dalam kehidupan. Kedua, mereka perlu berhati-hati dalam urusan perniagaan, pelaburan dan jodoh. Ketiga, mereka perlu berhati-hati sewaktu memandu atau semasa berada dalam perjalanan menuju ke suatu destinasi. Keempat, mereka perlu berwaspada dalam hal yang berkaitan dengan pemakanan. Oleh hal yang demikian, sesiapa yang lahir pada tahun arnab sangat perlu berhati-hati pada tahun ini. Namun begitu, terdapat segelintir masyarakat Cina terutamanya generasi muda moden yang sudah tidak mengamalkan kepercayaan ini,” jelas Dato’ Goh Hin San.

Dato’ Goh Hin San (tengah) makan besar bersama-sama ahli keluarganya bersempena dengan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

Dato’ Goh Hin San turut menyatakan bahawa budaya dan amalan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina ini tidak akan dilupakan oleh generasi muda, namun falsafah, amalan dan kepercayaan yang terdapat dalam perayaan tersebut mungkin tidak akan dipraktikkan lagi secara 100 peratus, terutamanya bagi golongan generasi muda.

“Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak tentang budaya dan amalan yang perlu dilakukan bersempena dengan sambutan perayaan Tahun Baru Cina. Antaranya termasuklah seperti tunduk hormat sambil menghidangkan minuman kepada ibu bapa, memberikan angpau, makan malam secara beramai-ramai pada sehari sebelum menjelang Tahun Baharu Cina dan lain-lain. Hal ini amat penting supaya warisan, budaya dan tradisi ini berkekalan buat selama-lamanya dan tidak dilupakan.

Seterusnya, pendidikan juga amat penting bagi melahirkan insan dan generasi yang berilmu pengetahuan dan cakna tentang budaya, adat dan warisan masyarakat Cina. Menerusi pendidikan, masyarakat khususnya generasi muda tidak akan lupa tentang asal usul, budaya dan jati diri keturunan mereka. Jika seseorang itu tidak mempunyai jati diri kebudayaan, kepercayaan dan adat yang diwarisi, maka kehidupan mereka akan mudah goyah tanpa sebarang pedoman yang membimbing dan membentuk akhlak, sahsiah dan disiplin diri mereka,” kata Dato’ Goh Hin San.

Menurut Goh Ming Lee yang merupakan anak Dato’ Goh Hin San yang lahir dalam tahun arnab, Tahun Baharu Cina bersempena dengan tahun Gui Mao yang merujuk unsur Yin, elemen air dan zodiak arnab hitam mempunyai dua kesan, iaitu sama ada kehidupan menjadi lebih baik atau kehidupan menjadi lebih buruk jika gagal mengatasi ujian atau dugaan yang melanda. Justeru, individu yang lahir dalam tahun arnab perlu lebih berhati-hati apabila membuat sebarang keputusan merangkumi diri sendiri, keluarga, masyarakat dan lain-lain.

Goh Ming Lee yang lahir dalam tahun arnab bersama-sama anaknya.

“Saya turut berasa tertekan dan risau kerana tahun ini merupakan tahun arnab yang merupakan tahun kelahiran saya. Walau bagaimanapun, saya masih lagi mempraktikkan amalan-amalan kepercayaan yang diwarisi daripada generasi terdahulu seperti memakai benang merah pada tangan. Di samping itu, saya juga akan mewariskan ilmu pengetahuan tentang budaya dan amalan-amalan kepercayaan masyarakat Cina serta mendidik anak-anak saya dengan warisan dan tradisi ini supaya mereka mempunyai jati diri yang tinggi dan kenal dengan budaya, warisan dan tradisi keturunan mereka,” kongsi Goh Ming Lee.

Tambah Goh Ming Lee lagi, pemberian angpau bersempena dengan Tahun Baharu Cina juga merupakan sebahagian daripada budaya dan warisan masyarakat Cina dan amalan tersebut bukanlah sebahagian daripada ritual agama seperti yang disalahtafsirkan oleh segelintir masyarakat pada hari ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.