Oleh Chai Loon Guan
23 Januari 2023, 12:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tahun Baharu Cina menandakan hari pertama dalam bulan pertama takwim masyarakat Cina. Tahun Baharu Cina kebiasaannya jatuh antara 21 Januari dengan 20 Februari dalam tahun Masihi kerana selepas matahari memasuki zodiak Aquarius, anak bulan hanya kelihatan dalam tempoh tersebut. Tahun Baharu Cina mempunyai tiga maksud penting, iaitu permulaan sesuatu bulan dan permulaan sesuatu musim, cuti umum bagi semua orang Cina tanpa mengira agama serta usia setiap orang Cina dianggap menjangkau setahun lebih.

Tarian singa bersempena Tahun Baharu Cina.

Tahun Baharu Cina sering dikaitkan dengan legenda popular yang menerangkan asal usul perayaan, yakni keberadaan raksasa yang dinamakan Nian (Tahun) yang amat takut terhadap tiga perkara di bumi ini, iaitu bunyi, cahaya dan warna merah. Petang Tahun Baharu Cina dan jamuan makan bersama-sama merupakan masa untuk anggota setiap keluarga kembali ke kampung halaman (rumah leluhur) untuk makan bersama-sama bagi mengeratkan hubungan ukhuwah dan perpaduan dalam kalangan keluarga. Majlis tersebut dipanggil sebagai Tuan Nian atau Wei Lu yang bermaksud berkumpul bersama-sama di depan batu dapur.

Sewaktu semua anggota keluarga sudah berkumpul di rumah pada waktu petang, jamuan makan malam bersama-sama lazimnya secara besar-besaran dimulakan. Bagi keluarga yang konservatif, roh-roh nenek moyang juga dijemput hadir. Selepas jamuan makan, anggota yang lebih tua dan dewasa akan berada di dalam rumah menunggu kedatangan Tahun Baharu atau Shou Sui. Kanak-kanak juga digalakkan turut bersama-sama kerana dipercayai bahawa mereka yang menanti sehingga tibanya Tahun Baharu Cina akan mendapat usia yang panjang.

Seterusnya, menurut kepercayaan masyarakat Cina, antara pukul 11 malam hingga pukul enam pagi mengikut waktu yang bersesuaian dalam takwim, para dewa-dewi terutamanya Dewa Kekayaan akan dipersembahkan semula dalam upacara keraian tahun baharu.

Lilin merah, kertas suci dan colok dibakar dan kebiasaannya disertai pembakaran mercun. Dalam upacara ini, sayur-sayuran mentah, buah-buahan seperti tembikai, limau, pisang di samping bunga seperti mawar dan anggerik serta tiga cawan teh dihidangkan. Kertas merah yang mempunyai reka bentuk tertentu dilekatkan pada setiap hidangan yang melambangkan maksud tertentu seperti nasib, kekayaan, kejayaan, panjang umur, kesempurnaan hidup dan supaya dikurniakan zuriat keturunan yang banyak.

Amalan memuja nenek moyang seperti yang terkandung dalam ajaran Kung Fu Tze pula mengenai kewajipan berbakti kepada orang tua, iaitu ibu bapa yang sedia ada haruslah dihormati dan begitu juga dengan ibu bapa yang telah meninggal dunia haruslah dikebumikan dan disembah secara hormat.

Perayaan Tahun Baharu Cina lazimnya disambut selama 15 hari bermula pada hari pertama dalam bulan pertama. Dalam tempoh ini, beberapa hari mempunyai makna yang tertentu. Antara hari yang dimaksudkan ialah:

Kai Nian, iaitu hari yang menunjukkan bermulanya sesuatu tahun. Pada hari tersebut, kedai-kedai orang Cina akan dibuka untuk berniaga dan kebiasaannya, satu kenduri atau jamuan makan diadakan. Kai Nian boleh jatuh pada hari kedua, keempat, keenam atau kelapan dalam Tahun Baharu Cina tetapi jarang bermula pada hari ganjil.

Hari Ketujuh merujuk kepada hari jadi manusia. Masyarakat Cina akan memakan salad yang dipanggil sebagai Sang Choy (dalam dialek Kantonis) dan ikan mentah yang dipanggil sebagai Yee Sang (dalam dialek Kantonis). Memakan Sang Choy (bermaksud sayur hidup) dan Yee Sang (bermaksud ikan hidup) melambangkan hidup untuk selama-lamanya.

Hari Kesembilan pula merupakan hari kelahiran Tian Gong (Maharaja Jed) atau Dewa Syurga. Hari Kesembilan mempunyai pengertian yang istimewa bagi masyarakat Cina yang berketurunan Hokkien dan diraikan secara besar-besaran. Pada malam hari kesembilan, masyarakat Cina akan berkunjung ke kuil-kuil Maharaja Jed selain upacara sembahyang di luar rumah, yakni di kaki lima, di tepi jalan ataupun di halaman rumah. Manakala sepasang batang tebu yang diikat di sebelah kiri dan kanan hujung meja yang bersegi empat menandakan kehijauan, kemudaan dan tenaga. Kam Che dalam dialek Kantonis bermaksud emas (kam) dan terima kasih (che) sebagai tanda terima kasih kepada Maharaja Jed.

Hari Kelima Belas dalam tahun baharu menandakan tamatnya perayaan Tahun Baharu Cina dan disambut secara besar-besaran bersempena dengan kehadiran bulan purnama yang pertama pada tahun itu. Hari tersebut dikenali sebagai Capgome atau Cap Goh Mei yang bermaksud Malam ke-15 dalam dialek Hokkien. Golongan muda Tionghoa menganggap malam tersebut sebagai “Malam Bercinta di Bawah Sinaran Bulan”.

Tahun Baharu Cina pada tahun ini dengan zodiak arnab akan disambut oleh seluruh masyarakat Cina pada 22 Januari 2023 bersama-sama masyarakat majmuk Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan latar belakang seperti bak kata Kung Fu Tze, “Di dalam lingkungan keempat-empat lautan, semua adalah saudara”. Yang pastinya, pasti terdapat limau mandarin, kuih bakul, angpau, pembakaran mercun atau bunga api dan tarian singa untuk memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini. Selamat Tahun Baharu Cina 2023. Gong Xi Fa Cai.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.