Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pesta Angin Timur Perlis yang dianjurkan sejak tahun 2011 kini bakal diadakan semula pada tahun ini bermula 3 hingga 5 Mac 2023, pukul 10 pagi hingga 11 malam bertempat di Kampung Sungai Padang, Simpang Ampat, Perlis.
Hal ini turut dijelaskan oleh Saifulkhairi Ahmad yang merupakan Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengembangan Seni dan Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dalam temu bual rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini bagi mengupas topik “Pesta Angin Timur Perlis 2023”.
Saifulkhairi Ahmad membuka tirai bicaranya dengan menjelaskan tentang latar belakang berkenaan penganjuran Pesta Angin Timur Perlis. Menurut beliau, pesta tersebut mula dianjurkan pada tahun 2011 dan masih diteruskan hingga kini yang melibatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Perlis. Kerajaan persekutuan diterajui oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) dan diselaraskan oleh JKKN serta pengoperasian dilaksanakan oleh Majlis Kebudayaan Negeri Perlis. Manakala peringkat negeri Perlis pula mendapat kerjasama daripada Kerajaan Negeri Perlis dan agensi-agensi di bawahnya.
“Program ini sebenarnya dijenamakan bersempena dengan peredaran musim sejuk kepada musim panas yang dibawa oleh angin dari sebelah timur ke negeri Perlis. Selepas menuai padi, sementara menunggu petak sawah digenangi dengan air, maka waktu itulah kita mengadakan Pesta Angin Timur,” ujar Saifulkhairi Ahmad.
“Penganjuran Pesta Angin Timur bagi tahun 2023 akan dilaksanakan di Kampung Sungai Padang, Simpang Ampat Perlis. Kawasan kampung ini sememangnya sangat indah, ada sawah padi, pantai dan kita boleh melihat pelbagai aktiviti masyarakat kampung yang sangat unik untuk ditonjolkan,” kata Saifulkhairi Ahmad.
Jelas beliau lagi, matlamat utama penganjuran pesta ini adalah untuk mempromosikan dan menyemarakkan aktiviti kebudayaan, kesenian dan warisan tempatan kepada pelancong domestik dan pelancong antarabangsa di samping mempromosi industri pelancongan di negeri Perlis serta meningkatkan kefahaman dan apresiasi seni budaya kepada segenap lapisan masyarakat ke arah pembentukan perpaduan bangsa yang harmoni sesuai dengan hasrat Malaysia Madani.
Saifulkhairi Ahmad turut menjelaskan bahawa pelbagai aktiviti bakal diadakan dalam pesta tersebut. Antaranya termasuklah larian angin timur (larian di atas batas-batas bendang), pertandingan lumba kerbau besi, pertandingan menangkap itik, pertandingan menggagau ikan, pertandingan ayam serama cantik dan penganjuran “Kenduri Rakyat” yang menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian dan bermasyarakat.
Di samping itu, banyak elemen baharu telah direncanakan untuk diketengahkan kepada para pengunjung yang merangkumi 34 acara secara keseluruhan seperti pertandingan Jerami Ikon, pameran Motor Home, pameran lori berhias, pertandingan kenderaan 4×4 di bendang, demonstrasi memanah berkuda, pertandingan dangau tradisional kreatif, pertandingan melukis dan banyak lagi.
Pada akhir sesi temu bual, Saifulkhairi Ahmad menyatakan bahawa pihak jawatankuasa penganjur Pesta Angin Timur Perlis 2023 sangat berbesar hati dengan kesudian Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis dan DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shareen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis yang berkenan mencemar duli untuk menyempurnakan majlis perasmian yang dijadualkan pada 5 Mac 2023, jam 5 petang. Beliau juga mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk berkunjung ke negeri Perlis pada 3 hingga 5 Mac 2023 bagi memeriahkan lagi Pesta Angin Timur 2023 yang menyediakan pelbagai pengisian.