14 Mac 2023, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persatuan Seni Warisan Artistik Digital (PSWAD) dengan kerjasama KL Gateway serta sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menganjurkan Pesta Cita Rasa Sambal (TOSFE) dari 10 hingga 12 Mac 2023. Pesta yang berlangsung selama tiga hari ini bertujuan untuk menonjolkan keunikan dan kepelbagaian sambal yang terdapat di Malaysia.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Tuan Khairul Firdaus Akbar Khan ketika berucap merasmikan TOSFE.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Yang Berhormat (YB) Tuan Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, pihak MOTAC menyambut baik program TOSFE yang merupakan langkah aktif dan bersifat interaktif dalam mengembalikan martabat warisan bangsa dan disegarkan untuk lebih dihargai oleh generasi pelapis.

Tambah beliau lagi, inisiatif penganjuran program ini juga sejajar dengan objektif MOTAC untuk mempromosikan keunikan seni, budaya dan warisan Malaysia serta produk pelancongan sebagai pemangkin utama pertumbuhan sektor pelancongan dan kebudayaan negara.

“MOTAC juga kekal dengan visi untuk terus meneroka dan mengekalkan khazanah warisan bangsa ke arah pembentukan identiti dan jati diri di samping mampu memberi pulangan ekonomi yang menyakinkan,” ujar YB Tuan Khairul Firdaus ketika berucap merasmikan TOSFE pada 11 Mac lalu.

Jelas beliau lagi, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk terus memperkenalkan produk sambal Malaysia kepada pihak luar, khususnya para pelancong. Manakala dalam konteks warisan budaya, beliau juga berbangga kerana sambal telah diiktiraf dan tersenarai dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

“Antaranya sambal yang telah diiktiraf termasuklah sambal tumis pada tahun 2012, sambal tempoyak daun kayu (2012), sambal rong (2012), sambal goreng (2012), sambal biji getah (2012), sambal hitam ikan bilis (2018) dan sambal (2018),” kata YB Tuan Khairul Firdaus.

Menurut YB Tuan Khairul Firdaus, pihak kerajaan menerusi MOTAC sentiasa memberi ruang dan peluang melalui bantuan serta sokongan kepada pelbagai pihak yang menggerakkan aktiviti yang berkaitan seni, budaya dan warisan seperti ini.

“Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh memainkan peranan yang penting melalui aktiviti atau program yang dapat menggalakkan pembangunan industri pelancongan, seni dan budaya tempatan serta langkah proaktif daripada pengusaha sambal di Malaysia kerana berupaya memperoleh pendapatan luar biasa kepada pengusaha, malah menyumbang serta menjana ekonomi negara dalam sektor kulinari,” kata YB Tuan Khairul Firdaus.

“Justeru, saya melihat inisiatif Persatuan Seri Warisan Artistik Digital Malaysia bersama dengan rakan-rakan strategik memperkenalkan dan mempromosikan pelbagai jenis produk sambal merupakan usaha yang amat baik kerana berupaya membantu sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memasarkan produk masing-masing,” kongsi YB Tuan Khairul Firdaus.

Terdapat pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang tiga hari Pesta Cita Rasa Sambal (TOSFE) berlangsung termasuklah demonstrasi sambal yang mendapat pengiktirafan sebagai Warisan Kebangsaan seperti sambal biji getah, sambal gesek ikan bilis, sambal goreng, sambal rong, sambal tempoyak daun kayu dan lain-lain. Para pengunjung yang hadir juga boleh membeli pelbagai jenis sambal yang ada dijual oleh lebih 50 pengusaha makanan.

Majlis perasmian dan pelbagai program menarik yang berlangsung semasa program TOSFE ini diadakan turut disiarkan melalui laman Facebook SWA TV Media, https://www.facebook.com/SeniWarisanArtistic.TV/videos/1277496259853424.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.