13 Mac 2023, 12:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Galeri UNITI yang dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bersama-sama rakan strategik AEON Co. (M) Bhd telah memasuki edisi ke-5 dan kini berlangsung di AEON Alpha Angle, Wangsa Maju, Kuala Lumpur dari 10 hingga 12 Mac 2023.

Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang (tengah) menyerahkan momento Rakan Strategik kepada Ketua Pegawai Sumber Manusia AEON Co. (M) Bhd, Dr. Kasuma Satria Mat Jadi semasa majlis perasmian.

Program ini merupakan inisiatif di bawah Kembara Perpaduan Malaysia MADANI yang menyediakan pelbagai aktiviti silang budaya dengan mempersembahkan keunikan dan keistimewaan etnik yang terdapat di Malaysia.

Program Galeri UNITI juga disifatkan sebagai platform terbaik untuk menterjemahkan semangat penyatuan rakyat sekali gus mewujudkan kehidupan masyarakat yang lebih harmoni.

Antara pengisian utama program ini termasuklah pameran Rumah Kami, Cita rasa Menu Keluarga Malaysia, Persembahan Busana Etnik Keluarga Malaysia, pameran reruai agensi di bawah KPN, galeri Momen UNITI dan aktiviti sukan tradisional. Pengunjung yang hadir ke program tersebut juga berpeluang menyertai pertandingan seperti pertandingan mewarna bagi kanak-kanak dan roda perpaduan selain aktiviti cabutan bertuah.

Majlis perasmian Program Galeri UNITI disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara, Yang Berhormat (YB) Datuk Aaron Ago Dagang. Beliau turut menyerahkan momento Rakan Strategik kepada Ketua Pegawai Sumber Manusia AEON Co. (M) Bhd, Dr. Kasuma Satria Mat Jadi sewaktu majlis perasmian berlangsung.

Pihak KPN akan meneruskan usaha memperkasa agenda perpaduan dengan sokongan daripada pelbagai pihak termasuklah agensi awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan yang akan terus dipertingkatkan demi membangunkan Malaysia MADANI.

Terdahulu, pada awal bulan ini, Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang telah melancarkan Program Kembara Perpaduan Malaysia MADANI di Dataran Muzium Negara, Kuala Lumpur. Program ini merupakan satu daripada inisiatif menerusi Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam usaha memperkasakan agenda perpaduan negara dan integrasi nasional di bawah Ikhtiar 11: Menjamin keharmonian dan perpaduan rakyat.

Program ini memayungi tiga kluster program yang berpaksikan kepada pencapaian objektif Dasar Perpaduan Negara menerusi penglibatan dan kerjasama semua pihak termasuklah pemimpin, agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Civil Society Organisation (CSO) dan masyarakat secara keseluruhannya.

Tiga kluster utama yang digariskan di bawah Kembara Perpaduan Malaysia MADANI ialah Program Semarak Kenegaraan, Program Semarak Perpaduan dan Program Komuniti Rahmah.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha KPN, Dr. Kang Tong Hum dan ketua pengarah jabatan dan agensi di bawah KPN serta para pegawai kanan KPN.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.