Oleh Abd Razak Osman
29 November 2022, 15:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Program Semarak Perpaduan Negeri Kedah yang dihadiri oleh 120 orang peserta telah berlangsung di The Jerai Hotel, Sungai Petani, Kedah semalam. Program ini berupaya menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul berkaitan perpaduan dan muhibah dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Kelab Sukan dan Kebajikan (KESBEB), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Kedah berpuas hati dengan penganjuran program tersebut yang bermula pada jam 3.30 petang dan berakhir pada jam 7.00 malam.

Menurut Pengerusi KESBEB, Mohd Fakhzan Nasir, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak pengurusan kelab untuk meningkatkan bidang kerjaya setiap ahlinya dari semasa ke semasa.

“Pihak kelab turut menerima pelbagai rungutan, termasuklah isu kenderaan-kenderaan jabatan yang uzur di beberapa buah lokasi, kekosongan jawatan di tempat-tempat tertentu yang belum diisi serta lain-lain lagi. Walau bagaimanapun, apabila setiap masalah itu berjaya diselesaikan oleh pihak Kementerian Perpaduan Negara (KPN), tugas guru pendidikan di Tabika Perpaduan, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negeri ini sudah tentu menjadi bertambah baik,” kata Mohd Fakhzan Nasir.

Dato’ Hajah Norison Ramli menyampaikan Peralatan KPN Prihatin: Gerak Kerja Pasca Bencana Banjir Tahun 2022 kepada Pegawai JPNIN Daerah Yan, Nasriza Long sambil diiringi Mohd Fakhzan Nasir.

Pada masa ini, seramai 277 orang kakitangan bertugas di JPNIN Negeri Kedah dan setiap ahli kelab akan turut menikmati pelbagai bantuan sumbangan khas, termasuklah kes kematian keluarga.

Di samping itu, Ketua Pengarah JPNIN, Dato’ Hajah Norison Ramli semasa merasmikan program itu berkata, langkah-langkah yang diambil oleh KESBEB seperti penganjuran program seumpama ini adalah amat baik dan memberangsangkan.

Tambah beliau lagi, para petugas di agensi ini perlu bersahabat dengan sesiapa sahaja dan membina rangkaian hubungan yang kuat, termasuklah dalam kalangan artis tanah air bagi mengeratkan keharmonian hubungan antara satu dengan yang lain.

“Saya akan cuba menyelesaikan setiap masalah yang wujud, bukan hanya masalah di Negeri Kedah sahaja, bahkan merangkumi seluruh negara termasuklah Sabah dan Sarawak. Selain itu, saya berharap apabila Parlimen Malaysia membentangkan belanjawan untuk tahun 2023 nanti, JPNIN akan turut menerima pelbagai manfaat berdasarkan peruntukan yang diberi untuk menyelesaikan setiap isu dan masalah dalam JPNIN,” jelas Dato’ Hajah Norison Ramli.

Seterusnya, Pengarah JPNIN Negeri Kedah, Ahmad Puat Junus menyatakan bahawa sesi dialog yang diadakan berjaya merungkai beberapa masalah dan penduduk di setiap daerah di negeri Kedah boleh mendapat pelbagai manfaat apabila saling bekerjasama untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan, merangkumi agihan bantuan bencana banjir dan sebagainya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.