Oleh Abd Razak Osman
19 Mac 2023, 17:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Sebanyak 400 orang peserta menyertai Program Kembara Bermotosikal dalam usaha mempromosikan tapak warisan geologi negara, Jerai Geopark.

Mereka berpeluang singgah di kaki Gunung Jerai, Pantai Murni Yan, Tapak Arkeologi Sungai Batu Merbok, dan Pantai Merdeka untuk melihat pelbagai keindahan di kawasan persekitarannya.

Dalam program anjuran Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) itu, Pengarah Jabatan Pembangunan dan Pelancongan MPSP, Mohd Amin Ali berkata, banyak perkara sedang dilakukan bagi menarik minat pelancong tempatan dan luar negara melawat ke Jerai Geopark.

Program Kembara Bermotosikal merupakan sebuah daripada inisiatif MPSP bagi memberikan pendedahan langsung kepada peserta tempatan akan potensi tinggi melancong ke negeri Kedah dengan kos yang mesra rakyat.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat menyampaikan ucapan dalam Program Kembara Bermotosikal Jelajah Jerai Geopark 2023.

“Penunggang dan pembonceng motosikal pasti gembira apabila berpeluang menyertai program ini dan mereka diberikan pelbagai kemudahan percuma, termasuk kemeja-T dan minyak motosikal.

“Usaha yang dilakukan ini berjaya mengeratkan hubungan baik antara penunggang motosikal pelbagai jenama dari beberapa negeri,” katanya.

Datuk Adnan Mat melakukan upacara pelepasan peserta di hadapan Menara MPSP.

Hal ini turut disokong oleh peserta kembara, Nazri Abdullah, 37, dari Sungai Petani yang berkata, program promosi begini perlu dilakukan secara meluas bagi menarik pelancong, terutama penduduk tempatan untuk melawat kawasan Jerai Geopark.

Upacara pelepasan peserta kembara dilakukan oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat di hadapan Menara MPSP.

Upacara penutupan pula dilakukan oleh Setiausaha MPSP, Noorulhuda Mohammed Ali di Galeri Tsunami Kota Kuala Muda, diikuti dengan cabutan nombor bertuah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.