23 Oktober 2022, 09:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Kedah – Festival Kota Kuala Kedah anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya, Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Kedah dan Pertubuhan Silat Berkeris Malaysia (PEKERIS) julung-julung kalinya diadakan di Muzium Kota Kuala Kedah. Festival ini berlangsung dari 20 hingga 22 Oktober 2022 bermula jam 9.00 pagi hingga 11.00 malam.

Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Hajah Saraya Arbi menyempurnakan Majlis Perasmian Festival Kota Kuala Kedah.

Majlis perasmian festival ini disempurnakan oleh Ketua Setiausaha MOTAC, Yang Berbahagia Datuk Hajah Saraya Arbi dan telah berlangsung dengan meriah. Menurut Datuk Hajah Saraya, festival yang julung-julung kalinya diadakan ini merupakan simbolik berdasarkan sejarah Kota Kuala Kedah yang dibina pada tahun 1771 hingga tahun 1880 yang ditandai dengan pintu gerbang Kacapuri.

“Festival yang bertemakan Genderang Seribu Pendekar adalah sebagai naratif sejarah bagi menggamit semula semangat juang dalam membina jati diri anak bangsa berdasarkan perjuangan pahlawan dan pendekar negeri Kedah dalam mempertahankan kedaulatan negara terutamanya sewaktu berlakunya Perang Musuh Bisik pada tahun 1821 hingga tahun 1842,” ujar Datuk Hajah Saraya dalam ucapan majlis perasmian.

Datuk Hajah Saraya turut berkata, festival ini disertai oleh 1000 orang ahli dalam bidang persilatan, pergendangan, memanah, penggiat busana, penggiat seni dan budaya, jabatan-jabatan kerajaan dan para hadirin yang ada antaranya datang jauh dari negara jiran tetangga.

“Festival Kota Kuala Kedah juga bertepatan dengan visi MOTAC untuk mengangkat Malaysia sebagai destinasi lestari kaya budaya dan pihak MOTAC akan menaik taraf Muzium Kota Kuala Kedah ini menjadi produk pelancongan bertaraf antarabangsa,” jelas Datuk Hajah Saraya.

Tambah beliau lagi, Festival Kota Kuala Kedah ini menarik kerana penganjurannya melibatkan model gabungan kepakaran antara agensi kerajaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti PEKERIS dan persatuan-persatuan silat, budaya, sejarah dan warisan di negeri Kedah serta negeri-negeri lain di Malaysia.

Mengakhiri ucapannya, Datuk Hajah Saraya turut berkata, muzium bukanlah hanya sebagai sebuah gedung yang menyimpan koleksi dan artifak negara semata-mata, bahkan peranannya adalah lebih besar selain bersifat holistik dan dinamik kerana muzium berfungsi menjadi jambatan bagi menghayati kehidupan yang lalu dan menghubungkan sejarah lampau dengan kehidupan manusia pada hari ini.

Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Hajah Saraya Arbi sedang menyampaikan ucapan.

Sebanyak tujuh das tembakan dilepaskan semasa majlis perasmian festival ini sebagai simbolik kepada tujuh orang panglima negeri Kedah yang telah gugur syahid sewaktu mempertahankan Kuala Kedah dari serangan musuh pada masa dahulu. Majlis perasmian tersebut juga diserikan dengan persembahan pantomin Perang Musuh Bisik yang dijayakan oleh PEKERIS selain perarakan 40 orang pendekar yang membawa Panji Harimau Menerkam.

Seluruh Keluarga Malaysia dijemput hadir untuk memeriahkan Festival Kota Kuala Kedah yang berlangsung selama tiga hari dan terdapat pelbagai aktiviti dan program menarik yang diadakan sepanjang festival berlangsung. Antaranya seperti pertandingan memancing, cabaran memanah, pertandingan kesenian dan kecantikan ayam serama dan lain-lain lagi. Majlis Perasmian Festival Kota Kuala Kedah tersebut turut disiarkan secara dalam talian melalui platform facebook Jabatan Muzium Malaysia, https://www.facebook.com/nationalmuseumkl/videos/502672431509629.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.