22 Mac 2023, 15:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pendaftaran hanya akan dibuka bermula pada April 2023 nanti, tetapi Festival Filem Antarabangsa Malaysia ke-6 (MIFFest6) telah disahkan bakal berlangsung pada 23 hingga 29 Julai 2023 dengan kerjasama BMW Shorties dan MIFFest.

Bront Palarae (kiri) sebagai Duta Festival Filem Antarabangsa Malaysia ke-6 (MIFFest6) buat kali keempat.

Sidang media MIFFest6 yang diadakan minggu lalu di Parkroyal Collection Kuala Lumpur yang menjadi hotel rasminya, mengumumkan beberapa buah siri aktiviti untuk festival tahun ini termasuklah tema baharu New Take, kerjasama pertama dengan BMW Shorties sebagai salah satu platform pertandingan filem pendek paling dikenali yang telah berlangsung di Malaysia selama 16 tahun serta TikTok Malaysia sebagai rakan kongsi rasmi MIFFest6 di samping kerjasama berterusan dengan Festival Filem Udine Far East (FEFF) di Itali.

Sidang media tersebut turut mengumumkan penampilan semula pelakon handalan Malaysia, Bront Palarae sebagai Duta MIFFest. Justeru, ini adalah kali keempat Bront Palarae dilantik sebagai duta festival berkenaan.

Menurut Bront Palarae dalam ucapannya, kini Malaysia telah memasuki era pascapandemik COVID-19, maka tiada keperluan yang lebih penting bagi para pembikin filem dan penggiat industri selain daripada lebih bersemangat dan kreatif dalam menggerakkan industri seni negara.

“Saya sangat berharap agar wabak maut dalam tempoh tiga tahun yang lalu itu tidak membunuh keyakinan para karyawan dalam industri perfileman, sebaliknya sentiasa menantikan detik ini dan bersedia untuk memulakan semula aktiviti seni milik masing-masing,” ujar Bront Palarae.

Menerusi pengumuman pada MIFFest6, sebagai rakan kerjasama terbaharu setelah bergiat selama 16 tahun dan berjaya menarik lebih 1000 penyertaan filem pendek tempatan, BMW Shorties juga merupakan pertandingan filem pendek yang paling dikenali di Malaysia.

Menurut pengasas MIFFest, Joanne Goh, kerjasama ini juga merupakan berita baik untuk semua para karyawan dan penggiat industri filem tanah air dalam memanfaatkan platform antarabangsa MIFFest untuk membolehkan generasi muda pembikin filem Malaysia memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada dengan semangat yang jitu.

“Hal ini juga membuka jalan untuk para karyawan dan penggiat industri filem tanah air mencari lebih banyak peluang untuk mempamerkan bakat mereka, menceritakan kisah dan pengalaman masing-masing serta menjadi batu loncatan untuk kerjaya profesional dan kreatif,” kata Joanne Goh.

Pengasas MIFFest, Joanne Goh sedang menyampaikan kata alu-aluan.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser turut berkata bahawa pihaknya mendapat inspirasi daripada tema 2022, iaitu New Take yang menonjolkan gabungan bakat kreatif generasi baharu dengan pengalaman unik daripada kesan wabak itu ke dalam penceritaan mereka.

“Daya kreatif dan kebolehsuaian mereka menunjukkan kepada kita bahawa inovasi boleh muncul dalam sebarang keadaan dengan potensi besar menunggu untuk dicungkil dalam industri kreatif yang sentiasa berkembang ini,” kata Hans de Visser.

Tambah beliau lagi, tema MIFFest6 ialah Evolve seiring dengan BMW Shorties yang berkembang maju dalam mencabar konvensyen biasa pada era ini dengan pemikir kreatif yang berani terus melangkah masa kini bagi mencapai kejayaan masa depan. Selain itu, pertandingan filem pendek bertemakan Evolve mencabar pencipta filem untuk berkembang dan meningkatkan penceritaan mereka serta mencabar konvensyen biasa dan berfikir ke hadapan untuk mendapatkan pengalaman terbaik, di samping mencipta potensi yang lebih baik.

Pemenang hadiah utama pertandingan tersebut akan menerima Geran Pengeluaran bernilai RM80 000 serta 11 buah hadiah istimewa lain. Selain kerjasama berterusan dengan FEFF di Itali pada tahun lalu, MIFFest6 dan FEFF juga akan mengadakan sesi tayangan khas.

Hasil kerjasama daripada kedua-dua festival filem berkenaan diharapkan dapat terus membawa cetusan baharu kepada budaya filem tanah air menerusi slogan “Dari Timur ke Barat”. Selain itu, MIFFest6 juga berperanan membantu meningkatkan mutu dan kualiti filem tempatan supaya lebih ramai orang dari seluruh dunia dapat melihat keunikan serta keindahan Malaysia.

MIFFest6 bakal berlangsung di LaLaport BBCC dan Majlis Anugerah Global Emas Malaysia atau MGGA akan diadakan pada hari terakhir festival, iaitu di Zepp Kuala Lumpur. Untuk maklumat lanjut mengenai MIFFest6, sila layari miffest.com.my.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.