Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBaling – Jabatan Warisan Negara (JWN) memulakan kerja penyelamatan dan pemindahan jumpaan perahu jalur di Sungai Ketil pada 5 Februari 2022 setelah dijumpai oleh penduduk kampung dua hari lepas. Paras air sungai yang cetek akibat kemarau menyebabkan perahu lama yang dipercayai peninggalan pedagang zaman dahulu timbul di tepi tebing sungai.
Menurut Ketua Penghulu Mukim Kupang, Baling, Badrol Hisham Che Li, perahu jalur lama tersebut dijumpai oleh penduduk kampung yang menjala ikan di Sungai Ketil sebelum bertindak melaporkannya kepada beliau. “Perahu ini berkemungkinan digunakan oleh pedagang pada zaman dahulu sebagai salah satu cara pengangkutan mereka kerana Sungai Ketil berhubung dengan Sungai Kuala Muda dan terus ke laut,” katanya.
Kerja penyelamatan dan pemindahan jumpaan perahu jalur di sungai tersebut juga turut disertai oleh wakil Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nasha Roziadi Khaw. Menurut beliau, penemuan tersebut penting kepada penting Kampung Lela, Kuala Pegang sebagai sebuah pengkalan perdagangan Kedah Tua. Tambah beliau, pihaknya akan cuba membantu JWN daripada segi konservasi dan analisis saintik perahu jalur tersebut.
Pihak JWN akan berkerjasama dengan pihak berkuasa daerah untuk mengalihkan perahu lama tersebut untuk melindunginya agar proses konservasi dapat dijalankan dengan lebih lanjut bagi menentukan tarikh dan usia sebenar perahu jalur tersebut.