Oleh Jamil Hashim
20 Oktober 2022, 15:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Identiti sebuah negara merdeka dan ketinggian martabatnya terserlah pada penampilan jata negaranya sebagai lambang rasmi kebesaran dan kekuasaan kerajaan serta kedaulatan jati diri negara yang harus dihormati.

Setiap jata yang dipaparkan mempunyai falsafah dan membawa maksud, ciri dan nilai tersendiri bagi sesebuah negara berdasarkan lambang, warna dan gabungan subjek utama yang dimilliki negara berkenaan.

Secara visual, jata negara menampilkan bentuk perisai yang dihiasi dengan objek yang melambangkan bentuk alam, haiwan, manusia, tumbuhan dan mercu tanda utama di samping turut dilengkapi dengan slogan atau cogan kata yang menterjemahkan falsafah dan semangat sesebuah negara serta prinsip hidup rakyatnya.

Begitu juga dengan Malaysia yang berdaulat dan merdeka pada tahun 1957 turut mempunyai jata negara tersendiri sebagai simbol rasmi kemegahan negara, bahkan lebih awal lagi, iaitu sewaktu terbentuknya Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1895 yang menggabungkan negeri Pahang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Jata awal memaparkan gambar dua ekor harimau yang menyokong kakinya pada perisai yang mempunyai empat warna, iaitu merah, kuning, hitam dan putih yang mewakili warna keempat-empat negeri berkenaan.

Versi pertama Jata negara yang mula diperkenalkan pada tahun 1895.

Mahkota yang terletak di bahagian atas pula mewakili identiti empat kesultanan negeri manakala pada bahagian bawahnya terdapat cogan kata “Dipelihara Allah” dalam tulisan Jawi yang diapit dengan dua butir bintang berbucu lapan. Jata ini kekal digunakan sehingga zaman Malayan Union pada tahun 1946 yang turut menggabungkan penyertaan beberapa negeri lain di Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, pemerintahan Malayan Union tidak bertahan lama dan dibubarkan kerana mendapat tentangan hebat daripada rakyat termasuklah Raja-raja Melayu. Penentangan tersebut membawa kepada pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.

Jata negara Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.

Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu yang menggabungkan 11 buah negeri turut melibatkan perubahan pada jata negara yang menonjolkan bulan sabit berwarna kuning dengan bintang pecah 11 menggantikan objek mahkota. Empat warna yang mewakili Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dalam jata negara yang asal dikekalkan dengan penambahan lambang ombak laut dan tembok kota pada kiri jata yang mewakili Pulau Pinang dan gerbang Kota A Famosa pada kanan jata yang mewakili Melaka. Kedua-duanya merupakan sebahagian daripada Negeri-Negeri Selat. Begitu juga dengan lambang lima bilah keris pada bahagian atas perisai yang melambangkan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, iaitu Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Dua ekor harimau pada kiri dan kanan perisai sebagai lambang Negeri-Negeri Melayu turut dikekalkan dengan penambahbaikan. Cogan kata yang asal juga ditukar kepada “Bersekutu Bertambah Mutu” dalam tulisan Jawi serta dalam bahasa Inggeris, iaitu “Unity is Strength”. Jata ini diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja Melayu pada 30 Mei 1952 dan kemudiannya diwartakan.

Jata negara selepas pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

Peristiwa pascakemerdekaan negara melibatkan gabungan Singapura, Sabah dan Sarawak dalam Persekutan Tanah Melayu pada 16 September 1963 yang membentuk Malaysia turut membawa perubahan pada jata negara, terutama yang melibatkan lambang dan slogan. Penambahan tiga negeri baharu itu dalam Malaysia telah melebarkan bentuk perisai jata. Bentuk bintang 11 bucu yang diperbaharui menjadi 14 bucu mewakili negeri yang bersekutu dalam negara bersama-sama anak bulan sabit yang terletak pada bahagian atas menjadi lambang agama Islam yang diangkat sebagai agama rasmi Malaysia.

Objek harimau direka letak semula yang melibatkan perubahan pada posisi anggotanya berada di sisi perisai. Penyesuaian kecil juga dibuat pada penampilan rentang dan bulan sabit dengan bintang persekutuan 11 bucu diperbaharui untuk melambangkan 14 buah negeri. Cogan kata Inggeris dibuang dan cogan kata “Bersekutu Bertambah Mutu” dalam tulisan Melayu Rumi pada bahagian kiri dan dalam tulisan Jawi pada sebelah kanan selaras dengan pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, unsur-unsur kolonial serta simbol bukan Islam yang terdapat pada lambang negeri Pulau Pinang dan Melaka yang menjadi Negeri-Negeri Selat pada suatu masa dahulu turut dimansuhkan daripada jata negara. Lambang Kota A Famosa, Melaka digantikan dengan lambang pokok Melaka. Pelepah dan bulu yang mewakili Pulau Pinang digantikan dengan pokok pinang, manakala tembok digantikan dengan jambatan yang siap dibina pada era 1980-an.

Jata negara pada tahun 1965 selepas Singapura keluar daripada Malaysia.

Keputusan Singapura untuk keluar daripada Malaysia pada tahun 1965 turut melibatkan pemansuhan lambang negeri itu dalam jata negara dan digantikan dengan lambang bunga raya yang diisytiharkan secara rasmi sebagai bunga kebangsaan pada tahun 1960. Pada tahun 1988 juga dilaksanakan perubahan dengan menampilkan jata terkini Sarawak dan Sabah yang pada tahun 1963 memaparkan bendera negeri itu dipegang oleh dua lengan manusia.

Penampilan harimau yang berdiri pada sisi jata negara juga ditampilkan melalui wajah yang lebih realistik dan agresif yang melambangkan kekuatan, kegagahan, keberanian dan keperkasaan negara. Satu perkara lagi yang turut diperkenalkan adalah jata rasmi Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang dikelilingi dengan dua berkas padi berwarna keemasan yang melambangkan kemewahan atau kemakmuran. Pada penciptaan logo sebelum ini, sememangnya terdapat warna kuning pada awan-awan yang melambangkan warna diraja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Jata negara sejak tahun 1988 sehingga kini.

Cogan kata “Bersekutu Bertambah Mutu” dalam tulisan Melayu Rumi pada bahagian kiri dan dalam tulisan Jawi pada sebelah kanan jata negara terus dikekalkan. Cogan kata keramat ini memberikan inspirasi agar setiap negeri dan rakyat Malaysia perlu terus bersatu padu, saling menyokong dan bersedia untuk bergerak secara bersama-sama dalam segala usaha yang dilakukan demi mencapai dan merealisasikan hasrat kemajuan negara dan kesejahteraan hidup rakyat.

Walaupun sudah lama slogan ini dicetuskan dan menjadi sebahagian daripada sejarah, namun slogan ini tidak boleh dianggap klise kerana memang ternyata dalam apa-apa jua situasi, negara sememangnya memerlukan rakyat yang mempunyai kekentalan jiwa dan semangat. Penyatuan dan kerjasama rakyat secara tersusun dan bersepadu amat penting bagi menghadapi pelbagai cabaran terutama pada alaf baharu. Cogan kata keramat ini masih terus relevan untuk menjadi pegangan dan diterapkan dalam setiap jiwa rakyat Malaysia.

Hal ini berkaitan dengan gerakan bersepadu memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat, maju dalam pendidikan kemampuan menguasai teknologi serta banyak lagi usaha dan pendekatan untuk memacu kejayaan.

Jata Yang di-Pertuan Agong yang dikelilingi oleh dua berkas padi emas.

Demi keselamatan hidup rakyat dan negara pula, setiap anggota masyarakat perlu bersama-sama membanteras jenayah dan musuh negara seperti pengedaran dan penagihan dadah, penyeludupan masuk migran serta menyeludup keluar barangan bersubsidi ke luar negara termasuklah menghadapi ancaman pandemik COVID-19 yang masih segar dalam ingatan rakyat.

Jika pada awalnya, slogan “Bersekutu Bertambah Mutu” menampakkan kelebihan gabungan pelbagai negeri yang membentuk Malaysia, namun pada masa kini, slogan itu masih relevan dan menjadi tunjang kepada penyatuan pelbagai unsur kehidupan bagi mencapai setiap matlamat gagasan negara. Begitu juga dengan penampilan pelbagai slogan lain yang dicipta bagi menggerakkan sesuatu program dan gagasan besar yang menuntut setiap rakyat bangkit bersama-sama untuk menjayakannya seperti aspirasi Keluarga Malaysia sekarang.

Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengajak seluruh rakyat Malaysia menghayati aspirasi Keluarga Malaysia.

Dalam konteks negara sebagai Keluarga Malaysia yang lebih besar, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang mencetuskan idea itu sentiasa mengajak setiap rakyat untuk bersama-sama saling menanamkan rasa cinta seperti persaudaraan dalam keluarga yang terikat teguh dengan jalinan silaturahim dan kasih sayang yang  kukuh serta tidak mudah goyah, terungkai atau terputus. Pendekatan sebegini dilihat lebih praktikal dan berkesan demi mencapai hasrat impian dan murni melalui ciri dan nilai “Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.