24 Mac 2023, 15:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sepang – Pameran Eksklusif Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee anjuran bersama-sama Arkib Negara Malaysia (ANM) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam memperkenalkan ikon seni hebat negara dan pelbagai karya peninggalannya kepada pengunjung luar.

YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara ketika berucap merasmikan Pameran Eksklusif Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee di KLIA.

Pameran eksklusif tersebut dianjurkan bersempena dengan 50 tahun pemergian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang bertujuan untuk menyebarluaskan maklumat berkaitan ketokohan dan sumbangan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang telah banyak berjasa kepada negara selain merupakan sebahagian daripada peranan Arkib Negara Malaysia dalam melahirkan masyarakat yang mempunyai jati diri yang tinggi serta cintakan sejarah negara.

Majlis Perasmian Pameran Eksklusif Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee ini disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara, Yang Berhormat (YB) Datuk Aaron Ago Dagang pada 22 Mac 2023.

Menurut Datuk Aaron Ago Dagang, pameran ini yang merupakan kerjasama pertama antara Arkib Negara Malaysia dengan MAHB pada tahun ini membawa makna yang amat besar dalam usaha memartabatkan ketokohan serta sumbangan Tan Sri P. Ramlee dalam bidang seni dan hiburan di Malaysia.

YB Datuk Aaron Ago Dagang turut menyatakan bahawa jalinan kerjasama seperti ini amat penting dalam usaha memelihara khazanah warisan negara yang sentiasa disimpan oleh pihak Arkib Negara Malaysia di samping menyeru agar syarikat korporat lain turut bekerjasama menjayakan kerjasama seperti ini.

“Karya seni peninggalan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee merupakan satu khazanah dan buah fikirannya mengandungi mesej keharmonian, penyatuan, kebersamaan serta saling menghormati antara kaum yang berbilang bangsa,” ujar YB Datuk Aaron Ago Dagang ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pameran Eksklusif Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee.

Tambah beliau lagi, filem-filem yang dihasilkan oleh Tan Sri P. Ramlee mampu menjadi medium untuk mengukuhkan perpaduan antara kaum dan selari dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan sebuah “Masyarakat Madani” yang bersatu padu dan saling hormat-menghormati merangkumi kepelbagaian bangsa, budaya dan agama. Selain itu, semangat perpaduan boleh diterapkan menerusi karya seni sebagaimana yang dihasilkan oleh Tan Sri P. Ramlee.

“Pameran ini juga membolehkan rakyat Malaysia serta para pelancong asing menatap dengan lebih dekat barangan koleksi Tan Sri P. Ramlee serta dapat menambah pengetahuan mereka tentang tokoh hebat ini,” jelas YB Datuk Aaron Ago Dagang.

YB Datuk Aaron Ago Dagang berkunjung ke pameran selepas majlis perasmian berakhir.

Orang ramai dijemput hadir ke Pameran Eksklusif Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee dengan tema “Hanya Dikau” yang akan berlangsung selama tiga bulan bermula dari 21 Mac hingga 31 Mei 2023 di Aras 5, Terminal 1 KLIA. Majlis Perasmian Pameran Eksklusif Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee turut disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Arkib Negara Malaysia, https://www.facebook.com/myarkibnegara/videos/164603573118665.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.