Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMencari Ramlee merupakan karya pertama Megat Shahrizal. Oleh itu, penulis merasakan filem tersebut sebuah naskhah yang sangat peribadi dan istimewa.
Megat Sharizal terkenal sebagai seorang pelakon. Kali ini, beliau telah mencabar dirinya untuk menghasilkan sebuah filem pertama arahannya, iaitu Mencari Ramlee. Bukan sahaja berperanan sebagai pengarah, Megat sendiri juga terlibat sebagai penulis skrip, penerbit dan juga pelakon pembantu untuk filem ini.
Mencari Ramlee berlatar belakang 30 Mei 1973, sehari selepas kematian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, dan membawa kisah tentang Zakaria lakonan Tony Eusoff, seorang peniru gaya P. Ramlee yang bergelut dengan masalah kewangan serta dalam waktu yang sama perlu menanggung yuran perbelanjaan adiknya Yasmin (Mimi Lana) yang menuntut di universiti dalam pelajaran seni teater.
Konflik Zakaria semakin serius apabila Yusuf (Megat Sharizal), seorang samseng yang meminjamkan Zakaria wang, telah mengugut nyawanya jika hutangnya tidak dilangsaikan. Dalam waktu yang sama, kakak Yusuf, iaitu Zaiton (Sofia Jane) terserempak dengan Zakaria dan menyangkakan Zakaria ialah P. Ramlee. Zaiton rupanya menghidap penyakit amnesia dan menyangkakan beliau masih hidup di zaman 50-an.
Oleh itu, Yusuf merangka pelan dengan Zakaria supaya berlakon menjadi P. Ramlee yang sebenar supaya boleh membahagiakan kakaknya dan dalam waktu sama melangsaikan hutang Zakaria.
Apabila menggunakan P. Ramlee sebagai subjek utama, sudah tentu akan menggunakan figura ini sebagai watak utama. Namun begitu, filem tersebut bukanlah sebuah biopik atau dokumentari yang mengisahkan tentang P. Ramlee.
Latar belakang, tema dan elemen yang disampaikan dalam filem ini memberikan penghormatan dan penterjemahan secara halus tentang susuk legenda seniman agung.
Melalui watak Zakaria, yang namanya sahaja menjadi sebuah penghormatan kepada nama sebenar P. Ramlee, iaitu Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Putih, merupakan seorang peniru lagak P. Ramlee. Beliau berjaya meniru gaya, keterampilan, personaliti dan juga suara P. Ramlee.
Namun begitu, ketika berjumpa dengan Zaiton, apabila ditanya berkenaan perkara-perkara yang mempengaruhi karya-karya P. Ramlee, beliau tidak tahu! Untuk lebih mengetahui P. Ramlee secara mendalam, Zakaria perlu meminta pertolongan dari Yasmin yang lebih arif tentang dunia seni perfileman dan seni persembahan.
Perkara tersebut menjadi satu jentikan halus penulis filem untuk memberitahu bahawa P. Ramlee lebih lagi dari sekadar sebuah bintang hiburan. Penulis juga merasakan ini satu perkara yang sangat bijak dalam menterjemahkan figura P. Ramlee.
Latar kisah Zakaria, Yasmin, Zaiton dan Yusuf dalam filem memberikan penghormatan kepada filem-filem lama P. Ramlee baik dari segi dialog mahupun penceritaan. Tema yang disampaikan itu walaupun bukan menggunakan kisah hidup P. Ramlee, tapi telah mengelilingi aura P. Ramlee itu sebagai elemen utama.
Bagaimana naik dan jatuhnya Zakaria serta pelibatan Zaiton dan Yasmin dalam kehidupannya semua itu berkait rapat juga dengan lumrah yang terjadi dalam kehidupan P. Ramlee.
Penceritaan sebegini tidak akan mengasyikkan tanpa arahan yang kreatif dan memberangsangkan dari Megat Sharizal yang tekun dalam memastikan filem ini disampaikan dalam bentuk sesempurna yang mungkin.
Ketelitian dalam pengarahan penting untuk memastikan apa yang ingin disampaikan kepada penonton itu meyakinkan. Melalui Mencari Ramlee, telah menonjolkan kreativiti Megat sebagai pengarah. Bahkan, kesinambungan babak yang cantik serta syot-syot kamera yang dipaparkan membawa maksud dan ceritanya tersendiri kepada setiap babak yang ditunjukkan.
Malahan, runut bunyi yang cukup merdu dan bertepatan dengan tema yang disampaikan dalam filem ini melalui kumpulan muzik Pitahati. Tiada satu babak yang dibiarkan kosong dan tergantung serta perjalanan filem dari awal hingga ke akhir berjaya menjadi hidup dan menyerap penonton masuk ke dunia yang disampaikan.
Lakonan Tony Eusoff sebagai Zakaria perlu dipuji kerana beliau telah membawa sebuah watak yang bukanlah hero tempelan semata-mata. Zakaria adalah watak kelabu yang mempunyai masalah dan kesilapannya tersendiri dan ini dicantikkan lagi dengan bantuan Sofia Jane dan Mimi Lana yang berperanan cukup bagus dalam membantu menaikkan semangat watak Zakaria.
Mencari Ramlee merupakan sebuah manifestasi yang bukan ingin mengangkat nama P. Ramlee sebagai sebuah ikon semata-mata, tetapi juga merupakan sebuah testimoni yang telah berjaya mengubah tanggapan kita kepada individu yang telah menjadi sebuah mitos dan dongeng melalui penceritaan yang disampaikan dalam filem.