10 Disember 2022, 15:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Yang Berhormat (YB) Dato’ Sri Hajah Fatimah Abdullah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak hadir ke Majlis Makan Malam Tahunan Kelab Peminat P. Ramlee Sarawak (KPPRS) yang bertemakan “Semalam di Taman Firdausi” di Hotel Penview, Kuching, Sarawak pada 9 Disember 2022.

YB Dato’ Sri Hajah Fatimah Abdullah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak menyampaikan sijil penghargaan kepada Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBP Cawangan Sarawak.

Beliau hadir bagi mewakili Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat (YAB) Tan Sri Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg pada majlis yang amat bermakna tersebut. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Datu Dr. Haji Adi Badiozaman Tuah selaku Presiden KPPRS serta Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBP Cawangan Sarawak).

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyebut tentang tempoh sedekad penubuhan KPPRS yang seharusnya diwarisi oleh generasi sekarang dari segi keterlibatan ahli dalam persembahan seni dan nyanyian. Beliau turut berkata, peranan yang dimainkan oleh kelab-kelab berasaskan seni dan persembahan perlu lebih giat, aktif dan rancak dirancang serta dilaksanakan agar dapat terus memacu agenda perancangan kerajaan negeri Sarawak pada tahun 2023 kelak.

Dalam majlis yang gilang-gemilang tersebut juga, dif-dif kenamaan dan tetamu yang hadir disajikan dengan pelbagai persembahan yang menarik. Antaranya termasuklah persembahan Gendang Selamat Datang, Dendangan Nyanyian dan Lakonan Semula filem-filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee seperti filem Madu Tiga, Taman Firdausi, Malam Ku Bermimpi, Joget Malaysia, Entah di Mana, Gurindam Jiwa dan lain-lain. Unik dan menariknya dalam majlis tersebut, Tuan Haji Saiee Driss, iaitu Setiausaha KPPRS telah mempuisikan bacaan doa buat julung-julung kalinya di hadapan para tetamu yang hadir.

YB Dato’ Sri Hajah Fatimah Abdullah memotong pulut kuning bersempena dengan ulang tahun KPPRS.

Selain itu, dalam majlis tersebut juga turut diadakan upacara tradisi KPPRS, iaitu memotong pulut kuning bersempena dengan ulang tahun KPPRS dan penyampaian sijil penghargaan kepada rakan sinergi serta rakan kongsi KPPRS. Tidak dilupakan juga penyampaian sumbangan kebajikan kepada waris ahli-ahli KPPRS yang telah pulang dijemput Ilahi.

Kelab Peminat P. Ramlee Sarawak (KPPRS) ditubuhkan pada 30 Jun 2012 dan diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada 1 Oktober 2012 dengan nombor pendaftaran PPM-028-13-01102012. Dalam Mesyuarat Agung pertama KPPRS yang diadakan pada 27 Januari 2013, jawatankuasa KPPRS tahun 2013 – 2014 telah dibentuk dan diberikan kuasa penuh untuk menggunakan pengalaman dan kebijaksanaan ahli-ahli yang dipilih dalam menggerakkan perancangan program dan visi kelab ini.

Diharapkan semoga KPPRS akan semakin giat aktif dalam merancang perjalanan aktiviti dan program di samping menyemarakkan aktiviti seni budaya dan persembahan kreatif di seluruh Sarawak serta pada peringkat antarabangsa. Insya-Allah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.