Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangLaksamana Do Re Mi merupakan filem terakhir yang dihasilkan dan dilakonkan oleh Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee. Tarikh 29 Mei 2023 menandakan genap 50 tahun P. Ramlee meninggalkan kita semua. Selepas 50 tahun pemergian beliau, karya-karyanya terus digali bagi mendapatkan makna-makna tertentu. Perkataan Laksamana yang menjadi tajuk filem ini merujuk kepada pangkat tertinggi dalam tentera laut, seakan-akan seniman ini sudah mencapai kemuncak dalam pengkaryaan sebelum pergi buat selama-lamanya.
P. Ramlee dalam filem ini telah dilantik sebagai Laksamana Do bersama-sama dua orang rakannya, iaitu Laksamana Re dan Laksamana Mi. Imej terakhir beliau di layar perak ialah terbang ke langit di atas tikar, tanpa diketahui arah tuju. Sebelum terbang, watak laksamana bertiga tersebut berlari menyeberang sungai di atas jambatan. Sungai merupakan lambang penghijrahan, sebagaimana yang pernah ditampilkan dalam filem Pendekar Bujang Lapok (1959).
Setelah berbakti kepada negara dengan menumpaskan Menteri Fasola yang jahat, Raja telah menghadiahkan kepada mereka tiga orang dayang istana yang sudah tua. Apakah yang dapat dibaca daripada babak ini? Adakah mungkin ini satu sindiran; pembesar negara tidak menghargai pengorbanan dan jasa para pahlawan yang telah bermandi darah di medan tempur sedangkan mereka hanya duduk menunggu sahaja di istana? Atau ini keluhan P. Ramlee sebagai anak seni? Setelah berhempas-pulas berjuang untuk seni tanah air, mereka tidak dihargai dengan setimpal dan perlu “berhijrah” ke alam lain, barulah jasa mereka akan disebut-sebut?
Untuk kali terakhir, mereka naik tikar dengan berdiri, tidak lagi duduk bersila seperti sebelumnya. Dialog terakhir dalam filem terakhir lakonan Seniman Agung ini ialah ‘’Hei,mampuslah!’’, yang diucapkan oleh A.R Tompel. P. Ramlee hanya ketawa mengejek melihat insiden lucu di bumi. Adakah P. Ramlee meninggalkan tanda-tanda yang dapat dibaca sebagai ‘’Kami akan pergi dan nasib anak seni akan terus menjadi jenaka, tidak dipedulikan oleh sesiapa?
Satu lagi hal yang menarik untuk diperhatikan ialah lagu Tiga Sahabat yang menjadi runut bunyi Laksamana Do Re Mi. Lagu ini dikatakan lagu terakhir yang dinyanyikan oleh P. Ramlee di layar perak. Lagu Tiga Sahabat disadur dari Aikoku Koshinkyoku, sebuah lagu yang dicipta ketika meletus Perang Cina-Jepun ke-2 pada tahun 1937. Kerajaan Jepun menganjurkan satu sayembara mencipta lagu bagi menyuburkan semangat kenegaraan dalam kalangan rakyatnya. Pendudukan Jepun telah menyebarluaskan lagu ini bukan sahaja di Tanah Melayu, malah di Indonesia dan juga Filipina.
Dapat dikatakan hampir semua yang terlibat dalam Laksamana Do Re Mi pernah mengalami kehidupan di zaman pendudukan Jepun. Lagu yang penuh semangat ini dipilih oleh P. Ramlee ketika tiga sahabat terbang di atas tikar pandan buat pertama kali ke angkasa untuk mencari kerja dan memulakan hidup baru. Lirik Aikoku Koshinkyoku mengobarkan semangat Asia Raya dengan baris yang berbunyi;
Lihatlah fajar menyingsing di ufuk timur
Jika sinaran matahari terpancar jauh
Menandakan semangat alam berkobar-kobar
Dan keinginan membara di Oyashima.
Lirik versi bahasa Melayu adalah seperti berikut;
Kami tiga sahabat
Nasib timbul tenggelam
Susah hanya sekejap
Senang pun tak lama
Sekarang mulai sihat
Berkat sabar di hati
Rezeki pun naik meningkat
Dapat senjata yang sakti
Kami tiga sahabat
Seia dan sekata
Berpadu dan sepakat
Riang dan gembira
Di atas tikar terbang menjelajah dunia
Kerana ingin berbakti
Untuk sesama manusia.
Dalam lagu asal, citra “fajar menyingsing” digunakan bagi sebuah negara yang akan bangkit merdeka. Citra yang sama turut digunakan dalam sebuah lagi lagu patriotik tempatan, iaitu Bahtera Merdeka. Negara yang selama ini berada dalam kegelapan (malam) akan berada dalam keadaan cerah (subuh) dan matahari membawa harapan untuk kemakmuran.
P. Ramlee memahami pengkaedahan Melayu dalam lagu ini; ada unsur tawaduk, percaya kepada nasib dan ujian hidup, percaya kepada rezeki, percaya bahawa sabar akan membawa berkat serta mementingkan kebaktian dan bukan kekayaan. Baris ‘’kerana ingin berbakti untuk sesama manusia’’ menggambarkan diri P. Ramlee sendiri sebagai seorang pejuang seni yang merendah diri dan lebih mementingkan nilai manusiawi. Lagu yang sering dinyanyikannya sebelum bergelar anak seni dinyanyikan kembali untuk filem terakhirnya. Apakah P. Ramlee sengaja ingin mengimbau kenangan atau ada sesuatu pada semangat lagu tersebut yang mesti diulang pesan?
Senjata hikmat yang diberikan kepada Do, Re dan Mi dimanfaatkan sebaik-baiknya. Jika mahukan kekayaan, mereka boleh terus minta diberikan wang dan harta. Tetapi mereka meminta ditunjukkan peluang pekerjaan melalui teropong hikmat. P. Ramlee menekankan konsep ikhtiar walaupun dalam gaya komedi. Re marah bila Do meminta teropong hikmat menunjukkan nombor ekor yang bakal “menang” minggu depan. Dalam sebuah pertandingan mencari pendekar, mereka juga berikhtiar dengan meminta diberikan “makjun kuat salasa” untuk menjadikan mereka lebih gagah. Mereka juga meminta teropong hikmat menunjukkan cara mengalahkan Fasola,bukannya meminta agar Fasola terus mati.
Dengan persembahan yang penuh komedi dan lawak-lawak yang dianggap agak kasar, pesan Islamik dalam filem terakhir Seniman Agung ini masih dapat dibaca. Namun setelah selesai penggambaran Laksamana Do Re Mi, P.Ramlee telah merancang untuk menerbitkan dan mengarahkan filem Sandera, yang diadaptasi daripada novel Arenawati (Sasterawan Negara).
Penggambaran dijangka bermula pada Januari 1973. Lebih seribu orang pelakon, termasuk pelakon tambahan diperlukan. P. Ramlee mahu membuat penggambaran di Sulawesi, Indonesia. Badan-badan seperti PERNAS, UDA dan MARA turut disarankan supaya memberi bantuan modal untuk produksi Sandera. Walau bagaimanapun, hasrat ini tidak kesampaian dan P. Ramlee pun menghembuskan nafas terakhirnya pada 29 Mei 1973.