12 Mei 2022, 08:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarhamah Puan Sri Saloma merupakan dua tokoh seni yang cukup terkenal dan ikonik dalam bidang seni perfileman dan muzik negara kita. Hingga kini, filem-filem lakonan mereka masih ditayangkan di kaca televisyen dan masyarakat tidak pernah jemu menontonnya berulang-ulang kali. Filem tersebut boleh dikatakan malar segar sepanjang zaman. Atas faktor tersebut, pusat beli-belah, Fahrenheit88 dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia membawakan pameran khas “P. Ramlee dan Saloma: Aku, Dia dan Lagu” bersempena dengan kempen “Raya Melodies”.

Sumber: Facebook Pustaka Peringatan P. Ramlee dan Fahrenheit88 Shopping Mall.

Pameran khas tersebut yang pada mulanya dijadualkan hanya berlangsung dari 14 April 2022 hingga 16 Mei 2022 telah dilanjutkan hingga 31 Julai 2022 disebabkan oleh sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai. Keluarga Malaysia boleh mengunjungi pameran tersebut sepanjang tarikh tersebut bermula dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam di tingkat dua, Pusat Beli-belah Fahrenheit88 Exhibition Hall, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Pusat Beli-belah Fahrenheit88 memilih Arkib Negara Malaysia sebagai rakan strategik kerjasama kerana jabatan ini bertanggungjawab menyimpan, memelihara dan mempamerkan koleksi artifak milik Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarhamah Puan Sri Saloma di Pustaka Peringatan P.Ramlee, Kuala Lumpur dan Rumah Kelahiran P. Ramlee di Pulau Pinang.

Sumber: Facebook Pustaka Peringatan P. Ramlee dan Fahrenheit88 Shopping Mall.

Pameran khas ini mempamerkan pelbagai koleksi terpilih milik seniman agung dan biduanita negara tersebut serta barangan peribadi mereka yang jarang-jarang dipamerkan kepada khalayak umum. Antara barangan tersebut termasuklah busana yang digunakan oleh P. Ramlee dalam beberapa lakonan beliau, koleksi pakaian peribadi Saloma, mesin taip P. Ramlee yang digunakan untuk menulis lirik, nota tulisan asal, kamera, alatan muzik dan replika beca yang digunakan dalam filem pertama arahan beliau, Penarik Becha.

Para pengunjung sudah pastinya berasa teruja dapat melihat secara lebih dekat barangan peribadi milik seniman dan biduanita negara tersebut selain info berkaitan dengannya jika mengunjungi pameran tersebut. Pameran ini sewajarnya diteruskan dari semasa ke semasa di seluruh negara dalam usaha memperkenalkan kedua-dua tokoh tersebut kepada masyarakat Malaysia terutamanya generasi muda.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.