30 Mac 2023, 12:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Nasyid merupakan antara genre muzik di negara kita yang mekar dan berakar. Perkembangan pesat teknologi pula kian mengurangkan batas dan sempadan dunia, justeru membuka ruang dakwah yang luas.

Dalam kepelbagaian, kebebasan dan kreativiti industri muzik tanah air, muncul Zawfan, iaitu sebuah kumpulan nasyid yang lahir daripada kerinduan mereka kepada lagu-lagu dakwah yang menggunakan 100 peratus pergendangan, kompang atau alat perkusi gendangan.

Zawfan bermatlamat menghidupkan semula nasyid yang mereka rindui dan hanya dinyanyikan dengan vokal berharmoni diiringi kompang dan pergendangan sahaja. Mereka percaya bahawa lagu dakwah sebegini amat dirindui masyarakat.

Sementelah di laman media sosial, Zawfan berjaya menghidupkan sebuah komuniti perindu nasyid yang memiliki keyakinan yang sama seperti mereka. Zawfan yakin kerinduan kepada lagu-lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan nasyid seperti Raihan, Nadamurni dan The Zikr tidak hanya dikongsikan dalam komuniti kecil mereka, tetapi juga dirasai lebih ramai pendengar di luar sana.

Justeru, membesar dengan lagu-lagu nyanyian Raihan, Nadamurni dan TheZikr, mereka berpendapat nasyid klasik yang disampaikan pada sekitar tahun 80-an dan 90-an amat sederhana, tetapi berjaya dihayati masyarakat.

“Hanya dengan lirik yang jelas, melodi ringkas, nyanyian yang sederhana oleh vokal berharmoni, serta diiringi kompang dan pergendangan sahaja, mereka mampu membawa mesej keagamaan, ketuhanan, kemanusiaan dan kerohanian dengan penyampaian yang sangat menyentuh jiwa masyarakat,” ujar Hafiz Tarmizi, salah seorang anggota Zawfan.

Setelah muncul dengan lagu tunggal pertama, iaitu Rasul Kita pada tahun 2021, Zawfan menerbitkan lagu tunggal kedua, iaitu Bismillahir Rahmanir Rahim yang meneruskan susunan muzik yang menggunakan 100 peratus perkusi. Melodi dan lirik kedua-dua lagu berkenaan dihasilkan oleh Sirr Muhammad dan Hafiz Tarmizi. Dari sudut perkusi pergendangan, melodi dan lirik kedua-dua lagu adalah hasil daripada susunan pemuzik seperti Zufar Adzahan dan Fadzli Radzi.

Gabungan gubahan dan susunan berserta alunan vokal berharmoni dalam lagu Bismillahir Rahmanir Rahim pasti mengimbau nostalgia pendengar kepada nasyid pada era 90-an. Melodi yang santai, ringkas dan lirik yang jelas serta rangkap korus yang berulang-ulang sememangnya merupakan resipi yang menjadikan lagu ini mudah dinyanyikan oleh setiap lapisan umur masyarakat.

“Dari sudut pandang muzik, lagu ini mengambil pelbagai unsur dan pengaruh merangkumi Nusantara, Timur Tengah, Eropah, Asia dan Amerika Latin yang tidak asing dalam nasyid asal kerana ciri-ciri muzik Islam yang sejagat sifatnya harus mengambil dan memanfaatkan seluruh tradisi kemanusiaan sama ada dari Timur mahupun Barat,” jelas Fadzli Radzi yang juga penyusun muzik.

Menurut Yasir Tarmizi pula, gabungan beliau selaku penyanyi utama Zawfan dengan bekas penyanyi utama Raihan, iaitu Nazrey Johani adalah kolaborasi suara yang padu dan sangat baik.

“Vokal kami berdua saling melengkapi dan penyampaian yang sederhana berjaya menggamit pendengar mengikuti irama yang asal seperti pada awal kemunculan Raihan dahulu,” jelas Yasir Tarmizi.

Nazrey Johani (dua dari depan) bersama-sama kumpulan Zawfan yang dianggotai Hafiz Tarmizi (belakang), Fadzil Radzi (dua dari belakang) dan Yasir Tarmizi (depan).

Menurut Nazrey Johani pula, beliau amat berbesar hati apabila dijemput oleh Zawfan untuk menjayakan Bismillahir Rahmanir Rahim. Jelas beliau, keadaan itu “seperti orang mengantuk disorongkan bantal”. Di samping itu, kerinduan kepada nasyid semasa bersama-sama Raihan terubat dengan penampilan beliau dalam Bismillahir Rahmanir Rahim yang menjalani proses rakaman di Hotsound Studio, Lexa Residence, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

“Saya mengakui irama nasyid Zawfan sememangnya dirindui ramai kerana merupakan irama nasyid yang asal dan berjaya mengangkat hasil karya tempatan ke mata dunia serta mendapat pengiktirafan paling tinggi dalam industri muzik. Inilah nasyid pada takrifan yang paling asas serta persembahan paling murni dan tulen,” tambah Nazrey Johani.

Paduan vokal berharmoni Zawfan yang disusun oleh Fadzli Radzi dan Hafiz Tarmizi dalam lagu tunggal kedua mereka ini menggamit kenangan semasa Nazrey Johani bersama-sama Raihan dahulu. Kendatipun tidak lagi menganggotai Raihan, Zawfan sedikit sebanyak dapat mengubati kerinduan tersebut.

Dalam perkembangan terbaharu, sebuah video muzik Bismillahir Rahmanir Rahim yang telah berada pada peringkat suntingan terakhir, bakal dilancarkan dalam laman YouTube Zawfan pada bulan Ramadan ini.

Bismillahir Rahmanir Rahim diterbitkan oleh Zawfan sendiri menerusi Hafiz Tarmizi dengan bantuan Ikhwan, Jeffriezal (CJ), Hanis sebagai jurutera rakaman serta Muhd A. Sani (jurutera adunan dan jurutera utama). Bismillahir Rahmanir Rahim akan diedarkan secara digital oleh Soofi Media dan boleh didapati pada semua platform digital seperti Spotify dan Apple Music serta boleh didengari di IKIM.fm, ZAYAN dan radio-radio tempatan lain di seluruh negara.

Sehubungan dengan itu, Zawfan dan Nazrey Johani berharap agar irama nasyid terus mendapat tempat dalam hati masyarakat yang benar-benar menginginkan hiburan yang mendidik jiwa.

“Semoga usaha kami ini sedikit sebanyak dapat mengangkat dan menjulang semula irama nasyid yang kini semakin jauh ditinggalkan oleh masyarakat dalam arus perdana,” tegas Zawfan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.